Amalan Perubahan Diri (4)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berpakaian putih lebih menginsafkan

Berapa pasangkah pakaian yang anda beli setahun? Saya pasti bagi anda yang bekerja membeli paling kurang dalam 20 pasang setahun bagi perempuan berbanding lelaki yang mungkin lebih kurang kuantitinya. Bagaimana pula fesyennya? Sukar nak saya terangkan tentang ini memandangkan saya bukan peragawati dan model. Namun selalunya kita membeli pakaian suka pada fesyen terbaru, corak yang cantik dan juga kena sedondong antara kain, baju, tudung, kasut dan juga beg tangan bukan?

Sebenarnya kerana pakaian beginilah kita banyak terpesong dari landasan akhlak yang baik. Kerana pakaian cantik kita lupa bahawa masih ada yang tidak mampu membeli pakaian. Kerana pakaian kita kadang-kadang menunjuk-nunjuk di hadapan orang lain tentang fesyen baju kita. Perbanyakkanlah menggunakan warna putih dalam kehidupan anda selepas ini. Warna putih adalah warna tema seluruh umat Islam di dunia ini.

Warna pakaian ketika kita diusung nanti hanya warna putih kosong. Warna putih adalah warna fitrah manusia yang dilahirkan suci dan dikebumikan juga dalam keadaan suci. Mudah-mudahan hati kita sedikit berbekas dengan cara kita memilih pakaian pada hari ini. Konsep warna putih akan sentiasa mengingatkan diri kita tentang kematian yang tidak tahu bilakah akan menjemput kita.