Amalan Perubahan Diri (8)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pimpin orang buta melintas jalan

Sering kali anda berjalan menuju mana-mana destinasi, anda akan bertemu situasi orang buta ingin melintas jalan. Si buta selalunya menunggu lama di lampu isyarat untuk lampu hijau untuk melintas ke seberang jalan. Walaupun merah sudah bertukar hijau, tetapi si buta tetap tidak berganjak kerana tidak tahu bilakah pertukaran warna lampu tersebut. Lantas begitu ramai yang lalu lalang di laluan melintas tiada seorang pun yang memegang tangan si buta untuk membawanya ke seberang. Seakan tidak perasan bahawa ada manusia yang berdiri di situ.

Namun si buta tidak meminta sesiapa untuk membawanya ke sana. Hanya menunggu dengan sabar agar terbuka hati mana-mana insan yang lalu di situ membawanya ke seberang. Begitulah realiti kehidupan yang pahit ditelan si buta. Apalah salahnya kita sama membantu si buta tersebut melintas jalan. Bukankah ianya satu tindakan yang mulia. Ramai yang tahu tentang itu. Tetapi kenapa hanya melihat sahaja?

Melihat tongkat di tangan si buta, hati kita mengatakan mereka boleh melakukannya. Sedarkah bahawa di hati mereka begitu takut untuk melintas dalam keadaan begitu. Ini bukan silap mata tetapi takdir Allah jadikannya begitu. Janganlah kita yang celik ini menjadi lebih teruk dari mereka kerana buta hati. Mudah-mudahan kita dapat sama-sama mengamalkan dan cuba mengubah diri kita lebih sensitif terhadap orang lain.