Apa Sumber Inspirasi Anda?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setiap orang pasti mempunyai sumber inspirasi untuk membina langkah-langkah baru dalam kehidupannya. Sumber inspirasi inilah akan memastikan bahawa dirinya akan berusaha sedaya mungkin ke arah itu untuk berjaya. Segala kudrat akan diperah untuk memastikan impiannya tercapai. Saya pasti anda yang sedang membaca sekarang juga mempunyai sumber inspirasi dalam hidup anda.

Wang ringgit

Ada orang meletakkan wang ringgit sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Meletakkan sasaran jutawan adalah kebanyakkan inspirasi manusia yang ingin berjaya. Oleh kerana itu ramai yang mula meletakkan minda jutawan dalam diri mereka. Tidak salah meletakkan wang sebagai inspirasi untuk berjaya, cuma yang tidak bagus jika kita hilang punca kerana wang. Jangan menjadi hamba kepada wang. Jika berinspirasi untuk membantu orang lain dengan wang itu adalah cara yang paling baik kerana Islam sememangnya mengajak muslim membina kekayaan dengan syarat perlu membantu orang lain.

Pangkat dan jawatan

Sebahagiannya pula meletakkan inspirasi kepada jawatan tinggi dalam kerjaya. Mungkin anda sudah berimpian untuk menjadi CEO pada masa akan datang, atau mungkin Pengurus Besar dalam organisasi anda. Tidak salah juga anda meletakkan posisi itu sebagai inspirasi anda ingin lebih berjaya asalkan anda mengikut cara yang betul dan berusaha keras. Semakin tinggi jawatan yang disandang bermakna anda membina perubahan pada diri anda.

Besarkan empayar

Bagi seorang ahli perniagaan atau ahli korporat, perluasan empayar perniagaan ke serata dunia adalah inspirasi utama. Setiap hari anda akan mencongak bagaimanakah cara untuk melebarkan sayap perniagaan anda. Tidak salah juga anda berinspirasi begini kerana anda akan menjadi contoh kepada dunia. Lebih-lebih lagi anda menjadi seorang korporat sufi yang taat kepada Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim.

Keluarga bahagia

Tapi saya? Saya melihat tiga perkara di atas akan lebih bernilai jika saya berjaya membina keluarga bahagia. Bahkan memang ramai juga orang meletakkan keluarga bahagia sebagai inspirasi utama untuk mereka lebih maju pada masa hadapan. Mungkin tiga perkara di atas mudah untuk anda laksanakan, tetapi mendapat keluarga bahagia bukan semudah diharapkan. Kerana inspirasi inilah ramai yang berusaha gigih ke arah itu. Wang ringgit, pangkat dan empayar perniagaan yang luas belum lagi menjamin kebahagiaan keluarga. Bukankah itu adalah inspirasi yang lebih hebat? :biggrin: