Pemikiran 2H Bantutkan Bangsa Melayu
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 14-10-2009
6
Tajuk entri hari ini mungkin agak berlainan berbanding entri-entri yang lain. Mungkin sebelum saya memanjangkan penulisan ini, saya terlebih dahulu memohon maaf andai ada yang tersinggung dan terasa dengan apa yang saya tulis ini. Saya menulis tentang ini kerana ingin berkongsi rasa hati terhadap bangsa sendiri yang masih jauh ketinggalan dari sudut pemikiran berbanding orang lain.
Setiap hari anda sendiri melihat senario yang berlaku di dalam negara kita ini. Mengapa Melayu makin berpecah? Mungkin jawapan yang diberikan oleh ialah “Melayu mudah lupa”. Ada juga kebenarannya. Selama 52 tahun kita merdeka, terlalu jauh hebatnya negara kita jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain. Dari segi ekonomi, sosial dan politik negara masih dapat bertahan berbanding negara luar. Tapi kemajuan fizikal sahaja tidak menjamin minda rakyatnya juga begitu. Minda kita masih jauh terkebelakang hanya kerana 2 pemikiran ini:
Pemikiran hiburan
Mungkin anda bersetuju dengan saya jika saya katakan, bahawa minda rakyat terlalu digula-gulakan dengan hiburan.
Tidak salah untuk berhibur. Tetapi bila hiburan sudah menjadi hedonisme akan memberi impak yang tidak baik juga. Pemikiran akan hanya terdorong dan terlorong untuk berfikir untuk mendapatkan hiburan semata-mata. Anda lihatlah rancangan-rancangan di TV. Terlalu banyak hiburan berbanding informasi dan motivasi yang dapat meransang minda untuk berfikir. Rancangan-rancangan seperti Konsert Jom Heboh, Akademi Fantasia, Sehati Berdansa, Jangan Lupa Lirik, adakah rancangan ini yang anda harapkan untuk membina minda yang baik?
Hedonisme inilah yang membentuk jiwa kita menjadi sentimental. Terlalu manja dan tiada semangat juang yang tinggi. Ditambah pula sikap mudah meniru dan terpengaruh dengan artis-artisĀ Barat meletakkan identiti bangsa Melayu itu jatuh ke dalam gaung yang curam .
Tidak hairanlah jika bermula tahap umur kanak-kanak sehinggalah ke umur sebaya 50-an, topik paling hangat dibincangkan ialah pasal hiburan, pasal artis kahwin cerai, pasal artis pergi umrah, pasal artis cari publisiti murahan dan banyak lagi kalau ingin disebutkan semua. Sebab itulah majalah-majalah hiburan lebih laris berbanding buku-buku motivasi yang berada di pasaran.
Pemikiran Hantu
Satu lagi yang menjadi faktor pemikiran bangsa Melayu, ialah masalah hantu yang terlalu menghantui kita. Rasanya bentuk pemikiran pasal-pasal hantu ni bukanlah perkara baru. Dari zaman turun ke zaman. Dari moyang turun ke atuk, kemudian turun ke anak, turun lagi ke cucu. Apa yang ditanamkan dalam pemikiran mereka ialah berkaitan dengan hantu, mistik, jembalang, jin dan seangkatan dengannya.
Bayangkanlah berzaman sudah elemen hantu ini ditanam, sudah tentu bukan mudah untuk membentuk mind setting yang baru. Bangsa Melayu kita lebih teruja cerita hantu dari cerita pasal-pasal ketuhanan. Bangsa Melayu kita lebih percaya pada hantu berbanding tuhan (Allah SWT).
Saya bukan menafikan kewujudan makhluk halus di alam ini, cuma kadang-kadang bangsa kita ini terlalu melampau sehinggakan meletakkan 2H ini sehingga membantutkan pemikiran sendiri. Atau mungkin bahasa yang lebih baik pemikiran 2H ini melumpuhkan Melayu itu sendiri untuk maju ke hadapan.
Pendapat admin: Ayuh kita sama-sama muhasabah diri kita. Jadilah muslim dan bangsa Melayu yang kenal diri sendiri, adat dan kebudayaan sendiri. Jangan kita sendiri memberikan kesamaran pada agama dan bangsa kita.


S
Fahdi: Terima kasih atas komentar sangat baik. Setiap kali dalam posting saya Fahdi memberikan komen membina dan bernas. Saya tidak menghukum Melayu yang menonton rancangan AF untuk kadar sekali sekala dan mengambil tahu suasana hiburan di negara kita. Cuma bagi mereka yang TERLALU inilah bagi saya sedikit merbahaya, percakapan, pemikiran dan minat semuanya diletakkan pada hiburan. Sudah tentu tidak akan membuahkan kecenderungan terhadap ketuhanan.
Sebagai orang yang bermotivasi seperti Fahdi, kita perlu melihat dengan niat membuat tinjauan dan pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Dan mungkin atas sebab itu saya menulis tajuk ini.
p/s: Komen Fahdi lagi panjang lagi bagus!
Nash: Itulah yang kita takutkan. Ramai orang lebih takutkan hantu dari TUHAN.