Bagaimana Perancangan Tahunan Anda?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam kerinduan buat anda semua pengunjung aktif atau pengunjung senyap di blog ini. Lama juga saya tidak menulis entri celoteh sebegini. Sedikit kesibukan dan urusan keluarga yang perlu dibereskan secepat mungkin. Maaf juga pada anda yang selalu ke sini untuk info motivasi kerja namun mungkin sehari dua ini anda sedikit hampa kerana tiada update dari saya.

Cuti Maulidur Rasul yang lepas saya balik ke kampung memandangkan isteri saya akan bersalin tidak lama lagi. Mudah-mudahan Allah berikan keselamatan dan permudahkan segala urusan. Tempoh cuti 4 hari lebih kurang, saya mula rasa masa begitu pantas berlalu. Sudah dua bulan berlalu dalam pejam celik yang tidak disedari. Saya mula menghitung bulan dan hari, dengan tugasan kerja yang mula banyak dan urusan keluarga yang dipertanggungjawabkan satu lagi yang perlu anda fikirkan ialah berkenaan perancangan anda yang lepas. Bagaimanakah azam baru anda? Adakah sudah terkubur?

Pasti anda mula tersedar tentang azam anda sekarang. Dan tidak hairan juga ada yang sudah tidak menghiraukan apa yang diazamkan pada awal tahun baru-baru ini. Sekalipun sibuk dengan tugasan wajib seperti kerja dan urusan keluarga, kemajuan dan kualiti diri perlu difikirkan juga. Adakah dalam 10 tahun ini kehidupan anda meningkat dari sudut kehidupan seluruhnya. Jika tidak, adakah anda ingin terus berada di tahap itu? Sukar jika sekadar menjawab soalan ini tanpa anda melakukan apa-apa.

Apa yang perlu anda lakukan sekarang?

  1. Senaraikan kembali perancangan anda yang telah anda tulis
  2. Pilih ikut keutamaan yang ingin anda capai terlebih dahulu
  3. Lakarkan pelan tindakan dan strategi untuk anda mulakannya
  4. Buat post-mortem berkala untuk pastikan pergerakan mengikut strategi

Jika anda mempunyai masalah pengurusan masa dan tidak tahu untuk melakukan perancangan kerja dan ibadah anda saya cadangkan anda ke blog sahabat saya. Anda boleh pelajari dengan terperinci bagaimana merancang kerja dengan baik.