Mengapa Perlu Berniaga? (1)
Artikel ini saya tulis bukanlah untuk merendah-rendahkan sesiapa. Tetapi anda perlu fikirkan realitinya.
Pada zaman Rasulullah, baginda telah buktikan bahawa berniaga merupakan punca rezeki paling besar dalam kehidupan. Sepanjang kehidupan baginda, berniaga menjadi faktor kepada perkembangan agama Islam. Jadi mengapa kita pada hari ini tidak memilih untuk mengikut cara hidup nabi yang sangat memberikan kesan kepada dunia.
Mengapa bangsa Melayu tidak suka berniaga? Tahukah anda bahawa gaji seorang penjual goreng pisang boleh melebihi gaji seorang pengarah? Mengapa perlu pilih kerja yang mungkin standard pada pandangan mata jika anda boleh dapat lebih dari itu?
Wang bukanlah segala-gala tetapi sesiapa yang menguasai dunia pasti mampu membentuk dunia ini mengikut acuan mreka. Dan kita yang tidak tahu kuasa dunia bukan pada politik tetapi pada kuasa wang. Siapa yang banyak wang boleh beli sesiapa sahaja yang mereka mahu. Jadi kuasa politik dunia sebenarnya diuasai oleh siapa yang banyak wang.
Dan tidak mustahil jika kita orang Islam lebih ramai memilih untuk makan gaji atau bekerja di sektor perkhidmatan awam, tidak mustahil satu masa kuasa politik negara ini bakal berubah kepada bangsa lain. Anda tentunya tidak mahu melihat negara Malaysia dimiliki oleh bangsa lain, namun tindakan kita sebenarnya kita mahu tampuk pemerintahan negara ini berubah ke arah itu. Jadi jangan warisi zuriat anda untuk hidup di bawah orang lain. Pilihlah untuk berdikari dan berniaga.
Guru Sepanjang Hayat
Bila hidup niat untuk berbakti pada manusia tidak perlu bertanya pada diri bilakah waktu akan menamatkan kerja tersebut kerana berbakti tidak ada had umur dan tidak ada waktu persaraan. Selagi hidup berbuat baiklah dan berbaktilah kepada sesiapa sahaja yang anda inginkan. Profesion guru adalah antara kerjaya yang mulia. Bila anda menjadi guru walaupun telah bersara namun masyarakat tetap mengiktiraf anda sebagai guru. Rata-ratanya akan tetap menyebut panggilan nama anda dengan nama ‘cikgu’.
Fakta menarik yang ingin saya kongsikan tentang seorang wanita yang berumur 92 tahun di Amerika Syarikat, Bernice Bates merupakan guru yoga yang tertua di dunia. Walaupun menceburi aktiviti yoga ketika berusia 50 tahun, namun Bates tetap berusaha sehingga mampu menjadi seorang nenek dan juga guru yoga di usia emasnya.
Beliau mengajar yoga di Pusat Komuniti Pesara yang tahap usia mereka 20-30 tahun lebih muda daripadanya. Bates percaya bahawa yoga adalah senaman yang sangat baik ketika di akhir usia kerana ianya membantu mengimbangkan tubuh badan dan mengelakkan diri dari mudah terjatuh.
Bates contoh yang baik untuk kita fikirkan. Jika seorang yang mengajar yoga pun diiktiraf dalam Guinness Book of Records, apatah lagi anda yang menjadi guru dan menyampaikan ilmu-ilmu dunia dan akhirat pastinya Allah akan memberikan pengiktirafan yang lebih tinggi.
Menang Untuk Diri Sendiri
Misi kemenangan skuad Harimau Muda menumbangkan Garuda sebenarnya adalah misi membuktikan kepada diri sendiri bahawa keyakinan akan berjaya mendorong untuk melakukan perkara-perkara yang sukar. Perjuangan di tempat lawan yang dipenuhi dengan senjata psikologi bukan mudah untuk menghasilkan kemenangan.
Pemain negara membuktikan bahawa percaya kepada diri sendiri dan mengikut arahan jurulatih amat penting untuk menyerap segala tekanan emosi dan mental sepanjang menghadapi 120 minit di dalam padang. Apa yang menarik kata-kata jurulatih skuad Harimau Muda Malaysia, Ong Kim Swee kepada pemain-pemain Malaysia semasa perlawanan final tempoh hari:
“MEREKA tak hormati kamu, tak hormat bendera kita, tak hormat raja kita dan mereka tak hormat ibubapa KAMU. Kalau KAMU benarkan ia (kekalahan) berlaku, maka KAMU adalah pengecut. Kamu mesti ajar mereka kehebatan seorang warganegara Malaysia..” “Kita kalahkan mereka bukan sekali tapi dua kali dihadapan jutaan penyokong setia mereka. Kita tunjukkan bagaimana melakukannya.”
Pemain-pemain berjaya membuktikan kebenaran kepada diri mereka bahawa mereka boleh bangkit untuk menang!
Always Say Yes!
Mungkin anda pernah melihat filem Yes Man terbitan Warner Bros Pictures, lakonan Jim Carrey yang sangat melucukan. Hidup seorang pekerja bank menjadi tidak bermaya dan membosankan hanya dengan kerana selalu menyatakan ‘Tidak’ pada diri sendiri. Sekalipun begitu banyak peluang untuk hidup dengan ceria dan bermakna lalu di hadapan mata, tetapi akhirnya berlalu begitu sahaja sehinggalah seorang kawan menawarkan kepadanya untuk pergi ke satu seminar motivasi yang bertajuk ‘YES is the new NO”. Dari sinilah segala kehidupannya mula berubah dan beliau mula menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.
Tiada yang mustahil untuk dilakukan jika hati anda mula mengatakan YA walaupun pada sesuatu yang sukar kerana YA menyuburkan peluang yang ada dan menjadikannya sebagai satu kenyataan.
Hanya bermula dengan YA, Taslim Kosni seorang OKU yang berumur 60 tahun berjaya menawan Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Dalam usia sebegini biasanya kita mengambil peluang untuk ke surau dan masjid tetapi bagi insan yang berkehendak usia bukan menghalang untuk mendapat kepuasan dan makna dalam hidup. Membuktikan pada diri bahawa jika hati mahu, kekurangan fizikal bukanlah persoalan utama untuk disebutkan.
“Memang saya tidak dapat melihat langsung keindahan yang terbentang di depan mata, malah saya teraba-raba sepanjang pendakian tetapi saya dapat menyentuh batu-batu, merasai rerumput yang pendek, air yang mengalir di kaki serta udara yang sejuk dan mendamaikan di puncak gunung.” Jelas kepuasan yang dirasainya setelah berjaya menawan puncak Kinabalu.
Formula Sedekah
Jika saya bertanya pada anda,
10 – 1 = 9 betul tak? Kerana tolak bermaksud pengurangan dari jumlah.
Tetapi bagaimana pula dengan 10 – 1 = 19? Mengapa pula jadi bertambah? Inilah yang formula matematik dalam sedekah. Sekalipun bersedekah bermaksud pengurangan pada mata manusia tetapi hakikatnya di sisi Allah tidak berkurang sedikit pun. Allah menjadikan -1 tadi hanya sebagai syarat untuk mendapat lebih banyak nikmat yang lain. Formula ini diambil dari surah Al-An’aam ayat 160 yang bermaksud:
“Barang siapa yang melakukan amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda dan barang siapa yang melakukan perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya.”
Jadi ketika anda mempunyai 10 lalu disedekahkan 1 maka hasilnya bukanlah 9 sebab 1 akan dikembalikan dengan nilai 10. Nilai 1 adalah bagi yang tidak berkemampuan. Maka jika anda mengeluarkan lebih dari jumlah itu Allah mempunyai formula tersendiri mengikut kehendaknya untuk memberikan keuntungan balik kepada anda. Itulah disebut sebagai The Miracle of Giving.
Pegawai Imigresen Pertama Punan
Siapa kenal dengan Felicia Alow? Namanya tidak gah seperti nama-nama artis atau celebriti yang anda kagumi. Tetapi bagi saya beliau sekarang sudah boleh berbangga dengan diri kerana merupakan pegawai pertama dari suku kaum Punan di Bintulu, Sarawak.
Felicia yang baru berumur 28 tahun, merupakan anak Punan pertama yang menjawat jawatan bertaraf penguasa di Jabatan Imigresen. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pas Penggajian jabatan itu, Felicia bakal ditempatkan di Putrajaya – Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memiliki bangunan serba moden. Kalau dahulu Melayu boleh berbangga kerana semuanya untuk Melayu tetapi sekarang persaingan dalam bidang kerjaya dalam sektor kerajaan lebih terbuka.
Menurut Felicia, etnik Punan Sarawak yang berjumlah 50,000 orang adalah berbeza daripada kaum Penan walaupun kedua-duanya merupakan penghuni tebing sungai-sungai di negeri itu. Gadis lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kelihatan segak dalam persalinan seragam putih Jabatan Imigresen. Berwajah manis, kulit Felicia putih bak telur dikupas.
Di hati saya Felicia akan menjadi satu inspirasi kepada suku-suku kaum yang lain di Sarawak dan di Sabah bahawa jika berusaha dan berani mencuba tiada apa yang mustahil untuk dikatakan. Peluang tidak selalu terhidang di depan mata. Dan pastinya kita sebagai golongan majoriti di Malaysia patut berasa malu jika masih termenung dan menunggu peluang lalu di depan mata baru nak bertindak. Atau lebih parah lagi walaupun peluang dah terhidang tetap tidak mahu menyambarnya.
Bonus! Bonus! Bonus!
Semalam pastinya semua penjawat awam menanti-nanti pemberitahuan tentang bonus penjawat awam ketika pembentangan Belanjawan 2012. Dan akhirnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak mengumumkan tentang RM500 bonus tambahan gaji 1.3 juta kakitangan kerajaan sebagai mengiktiraf dan menyokong mereka dalam pembangunan negara.
Janganlah terlalu gembira dengan bonus yang diberikan jika anda bekerja di bawah kadar patut tetapi mendapat bonus. Bagi yang layak ianya adalah sebagai tanda penghargaan kerana komitmen dan usaha yang telah anda berikan tidak ternilai jika dibandingkan dengan nilai RM500.
Tetapi jika anda yang bekerja hanya mengharapkan bonus dan gaji semata-mata tetapi tidak memberikan nilai kerja anda setimpal dengan apa yang anda dapat maka bonus ini adalah sebagai peringatan bahawa adakah anda sebenarnya layak untuk menerimanya tetapi tidak memperbaiki mutu kerja anda.






