Aspirasi Diri

Memiliki Kualiti Diri (3)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya masih ingin menyambung penulisan saya tempoh hari tentang kualiti iman sebagai kualiti diri. Sejak akhir-akhir ini saya rasa terpanggil juga untuk menulis tentang senario gejala sosial yang sangat meruncing pada hari ini. Di dada-dada akhbar boleh dikatakan setiap hari kita akan sama-sama mendengar berita tentang pembuangan bayi dan juga kezaliman dalam keluarga. Aduhai! Sedih rasa hati bila mendengar berita ini. Apa yang anda terfikir tentang berita-berita ini?

Saya mula memikirkan bahawa kita sedang menghadapi masalah gejala seks bebas yang sangat sangat meruncing ketika ini. Boleh kita simpulkan bahawa ramai ramaja yang suka buat anak sekarang ini. Mungkin istilah ini agak kasar tetapi biarlah sedikit kasar agar kita sekurang-kurangnya melatah bahawa ini adalah masalah maruah kita sebagai umat Islam dan juga rakyat berminda timur.

Bila teringatkan artikel saya tentang kualiti iman itu, dapat saya rasakan kita sebagai rakyat Malaysia masih kurang penghayatan terhadap agama. Kita hanya berkumpul mengingati hari-hari tertentu sahaja. Adakah usaha kita sekadar itu? Lembah-lembah durjana seperti hotel-hotel murah, cd-cd porno sememangnya sukar dibasmi sepenuhnya. Wahai rakyat Malaysia seluruhnya apa yang kita boleh lakukan? Lakukanlah apa yang terdaya, paling tidak kita buat solat hajat mohon pada Allah bukakan pintu hati anak belia kita dari terus menjatuhkan martabat diri sendiri.

Apa yang menjadi perbandingan di fikiran saya, masyarakat Eropah mereka tidak kisah tentang seks bebas dan bertukar pasangan. Bahkan mereka melakukan seks bebas semata-mata untuk mendapat anak. Tetapi saya dan anda semua rasanya tidak pernah terbaca mana-mana kenyataan yang menunjukkan mereka membuang anak. Fikirkanlah! Walaupun mereka tidak Islam tetapi mereka tidaklah sekejam kita.

10 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (6)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sebutlah Insya Allah apabila berjanji

Satu tip mudah untuk anda lakukan pada hari ini. Saya tahu dan amat yakin anda sendiri telah tahu mengenai tip ini. Tapi berapa kali anda lakukannya setiap kali anda berjanji kepada seseorang? Biasalah sebagai manusia pasti ada masanya kita terlupa jua untuk melakukannya sekalipun kita maklum tentang perkara itu.

Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 23-24:

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.

Mengapa kita perlu menyebut Insya Allah?

  • Supaya anda tidak menyandarkan bahawa setiap perkara itu anda mampu lakukan. Setiap hari kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku dalam kehidupan kita. Malang tidak berbau. Berjanji bermakna anda memberikan komitmen tetapi jika tidak mampu ditunaikan pastinya berdosa.
  • Ketahuilah bahawa setiap perkara adalah di bawah kekuasaan Allah. Tanpa iradat dan kudratNya anda tidak akan mampu melakukan sebarang pekerjaan pun.
  • Supaya kita menyedari bahawa hanyalah hamba Allah. Jangan terlalu yakin untuk segala-galanya. Sandaran kepada Allah akan mendekatkan diri kita kepada Allah.

8 comments - What do you think?

Memiliki Kualiti Diri (2)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apabila anda search di Google.Com anda akan lihat ada 2,270,000 carian tentang potensi diri berbanding 626,000 carian untuk kualiti diri. Apa yang anda fikirkan? Saya terfikir bahawa orang ramai hanya ingin mengenali potensi diri tetapi tidak terfikir untuk membina kualiti diri. Potensi diri sahaja belum tentu dapat menjadikan anda seorang yang berkualiti jika anda hanya tahu potensi diri tetapi tidak tahu menggunakannya. Dalam artikel ini saya ingin mengajak anda semua kita membina kualiti diri dari beberapa aspek yang penting.

Pertama: Kualiti Iman

Wow! anda pasti terkejut. Sama ada terkejut atau sebaliknya sedarilah hakikat sebenar kita akan dihitung oleh Allah apa jua yang kita lakukan. Justeru kualitikan diri anda dengan perkara asa terlebih dahulu. Keimanan kepada Allah Subhanu Wataala adalah pegangan utama antara kita dengan pencipta. Sejauh mana keyakinan tehadapNya, itulah menjadi punca hidup anda berkualiti. Di dunia mungkin keimanan tidak menjadi kayu ukur kualiti diri bagi sesetengah manusia, namun sebagai mukmin kita perlu percaya bahawa nilai dan martabat kita akan dipandang tinggi oleh Allah apabila kita hidup berlandaskan apa yang dikehendaki olehNya.

Apabila berpegang teguh di atas jalan Allah, ada dua perkara utama yang wajib dilihat iaitu melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah Subhanahu Wataala. Anda selalu membacanya di dalam mana-mana buku dan di blog saya juga anda terus membaca dan menghafalnya. Adakah dua perkara ini sudah memadai untuk tingkatkan kualiti iman kita? Saya tidak mengatakan memadai, tetapi ianya adalah perkara paling asas untuk anda lakukan supaya anda tidak jauh menyimpang dari jalan yang lurus sebagaimana yang disebut di dalam Surah Al-Fatihah – ayat 7:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. “

Seterusnya anda perlu lakukan perkara-perkara kebaikan yang lain yang melibatkan hubungan manusia dengan Allah seperti ibadah dan juga hubungan manusia sesama manusia dalam muamalat dan sebagainya.

5 comments - What do you think?

Mengenali Potensi Diri (6)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda mungkin masih ingat tentang artikel pertama saya tentang potensi diri. Anda mungkin masih ingat beberapa kategori manusia yang tidak memanfaatkan potensi. Di sini saya nyatakan beberapa kategori manusia

  • Manusia yang tidak tahu potensi diri
  • Manusia yang tahu potensi diri tetapi salah guna
  • Manusia yang tahu potensi tetapi tidak mahu menggunakannya
  • Manusia yang tahu potensi dan menggunakannya

Begitulah antara kategori manusia yang ada di dunia. Jadi anda di kategori yang mana? Bukan mudah untuk termasuk dalam kategori yang tahu potensi diri dan tahu bilakah masa untuk menggunakannya. Ramai yang tidak mampu menyenaraikan potensi diri mereka. Sebenarnya jika potensi diri ini anda lihat dari satu aspek sahaja maka memang tidak banyak yang boleh anda senaraikan. Allah SWT menjadikan manusia bukan hanya satu atau dua kemahiran sahaja. Pastinya Allah memberikan banyak kelebihan kepada kita kerana kita ditugaskan menjadi khalifah untuk mentadbir alam.

Namun kefahaman yang cetek terhadap potensi menyebabkan anda rasa sukar untuk menyenaraikannya. Fahamilah anda semua bahawa apa sahaja yang positif pada diri anda sebenarnya adalah potensi yang boleh anda bangkitkan menjadi manusia yang hebat di mata orang lain. Jadi apabila anda analisa sesuatu yang positif pada diri anda, saya dapat buat kesimpulan ringkas paling kurang anda boleh menulis sekurang-kurangnya 20 potensi dalam diri anda. Lihatlah 20 aspek positif tersebut dan adakah anda berdiri sebagai seorang pekerja sekarang anda mempunyai kelebihan-kelebihan ini? Anda ada jawapannya!

2 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (5)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Baca Al-Quran / Dengar bacaan-bacaan Al-Quran

Setiap hari ketika anda dalam perjalanan ke tempat kerja, saya pasti ramai yang akan mendengar celoteh DJ di stesen radio kegemaran. Mendengar lagu-lagu terkini sambil menghadapi kesesakan jalan raya yang setiap hari anda perlu lalui. Sekali sekala anda tergelak mendengar celoteh DJ yang melawak.

Apa salahnya jika anda mulakan kehidupan anda dengan satu perubahan yang baru. Jika sebelum turun dari rumah untuk menuju ke tempat kerja, anda bacalah Al-Quran dalam 10 ayat sebagai mengisi waktu pagi dengan keberkatan. Tetapi saya pasti adakalanya anda agak sukar untuk mengisi waktu ini dengan aktiviti baca Al-Quran. Namun anda masih berpeluang mendengar bacaan Al-Quran.

Jika setiap hari anda boleh mendengar lagu-lagu terkini dari radio, tiada salahnya juga anda mula mendengar Al-Quran ketika anda memandu dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Bukan sahaja hati anda lebih tenang, bahkan Allah berikan pula ganjaran pahala. Jom cuba! Untuk permulaan anda boleh dengar bacaan Al-Quran ketika baca blog saya ini :)

Listen to Quran

6 comments - What do you think?

Memiliki Kualiti Diri (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah hari ini saya berpeluang untuk menulis sekalipun sedikit kesibukan. Anda pernah membaca tentang kualiti diri? Selalunya jika anda pengunjung setia blog ini, saya sering sekali menulis tentang potensi diri. Saya percaya sehingga ke hari ini walaupun tidak banyak anda pasti sedang mengexplorasi diri di manakah potensi anda?

Bagusnya potensi ada kaitan dengan kualiti diri. Begitu ramai insan yang berpotensi namun gagal menggunakan potensi dalam meningkatkan kualiti diri. Diri anda semakin berkualiti jika anda tahu bagaimana menggunakan potensi anda dengan tepat. Sebenarnya ada beberapa aspek untuk melihat kualiti diri anda. Insya Allah entri sebagai mukadimah untuk anda lebih memahami potensi dan hubungkaitnya dengan kualiti diri.

Jadi apa salahnya saya ingin berbicara dua hala secara maya dengan anda, apakah yang anda rasa dapat menunjukkan diri anda seorang yang berkualiti? Tinggalkan respon anda dengan menjawab persoalan ini :)

9 comments - What do you think?

Mengenali Potensi Diri (5)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Membentuk potensi yang luar biasa

Potensi diri adalah sesuatu yang luar biasa bagi anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa bakat dan kelebihan yang dianugerahkan Allah adalah menunjukkan perbezaan dan keunikan anda berbanding orang lain. Sayangnya apabila Allah SWT sudah memberi peluang kepada anda untuk menyerlah tetapi anda pula tidak mengambil peluang itu.

Saya mengambil satu contoh mudah. Cuba anda saksikan klip video ini.

Saya pasti ramai yang dapat menimbang bola. Tetapi tidak ramai yang mampu melakukan sebagaimana aksi dalam klip video ini. Kemahiran menimbang bola ini boleh dilatih, namun apa yang perlu anda pelajari ialah bagaimana anda mula membentuk sesuatu yang luar biasa dari potensi anda. Gaya menimbang bola yang anda lihat ini jika anda sedari telah dibentuk gaya yang luar biasa.

Kemahiran asas hanyalah menimbang bola. Tetapi setelah potensi ini diluarbiasakan (istilah saya sendiri) maka anda lihatlah hasilnya. Saya pasti anda menyebut, “Wow! Memang menakjubkan!”

9 comments - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline