Amalan Perubahan Diri (4)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Berpakaian putih lebih menginsafkan
Berapa pasangkah pakaian yang anda beli setahun? Saya pasti bagi anda yang bekerja membeli paling kurang dalam 20 pasang setahun bagi perempuan berbanding lelaki yang mungkin lebih kurang kuantitinya. Bagaimana pula fesyennya? Sukar nak saya terangkan tentang ini memandangkan saya bukan peragawati dan model. Namun selalunya kita membeli pakaian suka pada fesyen terbaru, corak yang cantik dan juga kena sedondong antara kain, baju, tudung, kasut dan juga beg tangan bukan?
Sebenarnya kerana pakaian beginilah kita banyak terpesong dari landasan akhlak yang baik. Kerana pakaian cantik kita lupa bahawa masih ada yang tidak mampu membeli pakaian. Kerana pakaian kita kadang-kadang menunjuk-nunjuk di hadapan orang lain tentang fesyen baju kita. Perbanyakkanlah menggunakan warna putih dalam kehidupan anda selepas ini. Warna putih adalah warna tema seluruh umat Islam di dunia ini.
Warna pakaian ketika kita diusung nanti hanya warna putih kosong. Warna putih adalah warna fitrah manusia yang dilahirkan suci dan dikebumikan juga dalam keadaan suci. Mudah-mudahan hati kita sedikit berbekas dengan cara kita memilih pakaian pada hari ini. Konsep warna putih akan sentiasa mengingatkan diri kita tentang kematian yang tidak tahu bilakah akan menjemput kita.
Amalan Perubahan Diri (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Peluk anak-anak dan isteri / suami setiap hari
Saya tersenyum sendiri sewaktu menulis entri hari ini. Mungkin anda juga turut tersenyum membacanya. Seakan melucukan tetapi adakah anda melakukannya setiap hari? (bagi yang sudah berkahwin). Satu bentuk praktikal yang akan merangsang emosi anda pada hari itu untuk menjadi seorang yang hebat.
Jika anda membaca entri saya dua hari lepas berkenaan menangani stres, tahukah anda dengan memberikan pelukan pada anak-anak dan isteri anda setiap hari emosi anda akan menjadi jauh lebih stabil dari biasa. Kestabilan ini jika dijadikan kebiasaan setiap hari akan mampu menepis segala tekanan sama ada di tempat kerja atau sebab-sebab yang lain.
Apa yang bagusnya juga, anda juga merangsang orang lain mempunyai emosi yang stabil. Anak-anak akan membawa kehangatan pelukan ayah dan ibunya ke sekolah setiap hari. Sudah pasti kasih sayang yang dibawa bersama memberikan emosi dan pemikiran positif untuk anak-anak belajar dan menumpukan perhatian. Suami dan isteri juga akan pergi ke tempat kerja dengan perasaan kasih sayang kepada keluarga, sudah pasti kasih sayang ini akan memberikan ketenangan dalam meneruskan kerja dan kehidupan setiap hari.
Amalan Perubahan Diri (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Pamerkan senyuman yang ikhlas
Setiap hari anda pergi ke tempat kerja. Apa yang anda lakukan apabila anda terserempak dengan orang lain di pejabat anda? Jangan
lokek untuk mempamerkan senyuman yang ikhlas kepada sahabat-sahabat anda atau kepada pelanggan anda. Senyuman adalah cerminan pertama siapa anda di pandangan orang lain. Senyuman akan menimbulkan kemesraan anda dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada pelanggan anda.
Ramai orang yang bekerja tidak menunjukkan mereka menghargai pelanggan. Jangan memberikan salam, senyuman pun mereka tidak memberikannya. Sudah pasti sedikit sebanyak pelanggan anda merasakan organisasi anda adalah organisasi yang menakutkan kerana tidak mesra pelanggan. Tetapi perlu diingat juga, senyuman perlu diiringi dengan kata-kata yang baik. Jika sebaliknya tiada gunanya anda senyum kerana senyuman anda hanyalah kepura-puraan.
Tidak sukar untuk senyum. Jangan tunggu esok untuk senyum kepada orang lain kerana senyuman yang ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah. Jika senyuman anda dapat menyenangkan hati orang lain maka anda akan lebih mudah didampingi ketika di tempat kerja anda.
Hebatnya Kemaafan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 133-134:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Alangkah indahnya susunan ayat-ayat Allah. Memaafkan kesalahan orang lain bukan sesuatu yang senang mereka sebahagian daripada kita. Memberi maaf menunjukkan seseorang individu itu berjiwa besar di sisi Allah, bahkan jua di sisi manusia sendiri. Bukan mudah memaafkan orang lain terutama ketika anda sedang marah pada individu tersebut. Memohon maaf ketika mereka sedang marah bukanlah cara terbaik untuk dimaafkan. Ramai di antara kita tidak menyedari situasi ini.
Namun nilai kemaafan ini makin tinggi nilainya apabila anda mampu melakukannya demikian. Mengapa begitu sukar memaafkan orang lain? Adakah anda sedar bahawa Rasulullah sendiri memaafkan kesalahan umatnya, apakah anda lebih hebat dari nabi. Satu yang menjadi persoalan kita, seandainya orang yang memohon maaf itu melakukan kezaliman yang hebat kepada anda, adakah setelah anda memaafkan mereka anda mampu membina persaudaraan seperti sedia kala?
Sukar untuk dijelaskan kerana ianya melibatkan hati masing-masing. Tetapi apa yang paling utama, kemaafan akan perlahan-perlahan menjernihkan suasana yang keruh. Sekalipun kejernihan perhubungan itu tidak sejernih sebelumnya, sekurang-kurang anda telah membina hati yang besar di dalam diri anda.
Motivasi Dari Doa (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Doa dari Surah Ali Imran ayat 38:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa menerima doa permohonan.”
Anak adalah penyambung keturunan dalam sesebuah keluarga. Anak juga adalah penyeri kepada kehidupan berumahtangga bagi suami dan isteri. Kehadiran anak pastinya akan memberikan hiburan dan juga gelak tawa yang akan lebih mengharmonikan suasana rumahtangga. Oleh sebab itu Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan anak sebagai rezeki.
Namun sedihnya tidak ramai di antara kita menerima anugerah ini dengan rasa syukur. Ketika anak tiada, hati tidak putus-putus berdoa kepada Allah. Tetapi bila diberikan anak, mereka tidak menjaganya dengan baik sekali. Anak dianggap sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu jahanam mereka. Tidak kurang pula yang menzalimi anak dengan mendera mereka sebagai haiwan. Pukul dan terajang sesuka hati.
Anak adalah amanah dan ujian
Sedar atau tidak anak bukan sekadar menjadi penyeri kepada kehidupan dunia. Anak adalah amanah Allah untuk manusia. Menjadikannya Islam atau Nasrani atau Majusi adalah atas kehendak ibu bapa mereka. Anak bukan sekadar dibesarkan dan diberi makan pakai sahaja. Anak kita perlu ditanamkan nilai-nilai dan ilmu-ilmu Islam agar mereka boleh menjadi rahmat ketika di alam akhirat nanti. Tidak ramai yang menyedari hakikat ini.
Ukuran anak yang berjaya hari ini dilihat dari sudut pengajian akademiknya sahaja. Bijak belajar sehingga ke luar negeri dianggap ibu bapa mereka tahu mendidik anak-anak. Jauh bezanya di zaman nabi Muhammad dahulu, anak-anak mereka dianggap hebat apabila mereka keluar berjihad menentang musuh. Tidak bijak akademik tidak mengapa asalkan mereka berpegang teguh pada ajaran Islam sepenuhnya.
Sedari atau tidak inilah budaya pendidikan anak-anak hari ini. Ibu bapa tidak kisah berhabis duit menghantar anak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi ibu bapa merasa rugi untuk membelanjakan sedikit wang mengajarkan anak-anak mereka tentang akidah dan ibadah yang akan membantu mereka dan anak mereka kelak.
Mengenali Potensi Diri (4)
“Jika seseorang mempunyai bakat tetapi tidak menggunakannya, ia gagal. Jika ia mempunyai bakat tetapi menggunakan sebahagiannya sahaja, ia gagal pada bahagian yang lain. Jika dia mempunyai bakat dan belajar menggunakan sepenuhnya maka ia mendapat kemenangan dan kebahagiaan yang hanya dilihat oleh mereka yang sedikit.” – Thomas Wolfe
Sebelum anda membaca entri ini, seeloknya anda membaca entri saya tajuk yang sama siri ketiga. Bakat dan potensi yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala secara istimewa sejak dilahirkan tidak diperolehi oleh semua insan. Tetapi bakat dan potensi tetap dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua. Sama anda menyedari atau tidak sahaja bagaimana potensi itu berada dalam diri anda.
Sejauh mana kejayaan anda boleh dinilai dari sejauh mana anda menggunakan sepenuhnya potensi dalam diri anda. Jika 50% yang anda gunakan pastinya 50% jualah yang anda kecapi. Jika anda cuba mencari sepenuhnya cara menggunakan bakat anda maka sudah pasti itulah kejayaan yang bakal anda kecapi.
Percayalah tidak ramai yang berusaha untuk mengenali potensi mereka. Oleh kerana itu banyak kursus-kursus pengembangan bakat, rancangan realiti TV berkenaan bakat bahkan universiti-universiti untuk mengeluarkan dan menguruskan potensi turut ada di dunia ini. Sekarang cuba anda ambil sehelai kertas A4, apa yang saya kehendaki anda cuba senaraikan 20 potensi dan bakat dalam diri anda!
Lakukan aktiviti ini dan anda tunggu artikel saya akan datang! Saya akan huraikan cara seterusnya. :)
Motivasi Dari Doa (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Doa dari Surah Ali Imran, ayat 8:
“Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberiannya.”
Begitulah lemahnya hati yang berada di dalam jasad manusia. Hati yang kecil yang menjadi penggerak pada setiap amal baik dan buruk yang kita lakukan setiap masa. Sebuku darah yang berfungsi mengawal segala perbuatan yang dilakukan oleh anggota. Antara sifat hati yang dijadikan oleh Allah ini ialah berbolak balik. Mungkin pada waktu ini kita ikhlas melakukan sesuatu, namun dalam tempoh seminit dua lagi kita sudah tidak tahu adakah hati ini masih iklhas atau sebaliknya.
Oleh kerana itu juga kita sering berdoa selepas solat “Ya Allah Ya Tuhan kami, tetapkan hati dalam ketaatan dan agamaMu.”
Allah Subhanu Wataala berkuasa ke atas setiap perkara mengikut kehendakNya dan kekuasaaNya yang mutlak. Allah memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah memesongkan hati mereka kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sebab itu kita perlu sering berdoa kepada Allah agar kita ditetapkan hati untuk terus berada di landasan sebagai mukmin yang taat kepadaNya.
Sebenarnya apa yang kita lakukan di dunia ini adalah kerana rahmat dan kasih sayang Allah. Bukan kerana amalan baik kita secara mutlak. Adakah anda mampu memberi jaminan bahawa amalan-amalan baik yang anda lakukan, meyakinkan Allah untuk memperkenankan segala permohonan kita? Tanpa rahmat dan kasih sayangNya nilai kehidupan kita hanyalah kosong. Bahkan masuknya kita syurga adalah juga atas rahmat ini.
Timbangan dan hitungan amalan kita hanyalah prosedur yang akan Allah lakukan untuk membuktikan ketaatan dan keengkaran kita kepadaNya. Prosedur ini adalah untuk menunjukkan kekuasaan Allah terhadap kita yang hanya hamba di sisiNya.




