Sesuaikah Pencen Pada 58 Tahun?
Persoalan ini sedikit sebanyak membuatkan saya ingin meneliti tentang faktor umur dan kesihatan di negara kita. Jika dibandingkan dengan beberapa buah negara seperti Australia dan Canada umur persaraan di negara kita adalah jauh lebih muda bagi seorang penjawat awam iaitu maksimum 58 tahun berbanding Australia dan Canada pada usia 62-65 tahun. Begitu juga dengan United Kingdom.
Jika dilihat pada faktor kematangan pada usia ini adalah waktu kemuncak dalam berfikir dan membuat keputusan namun ia juga bergantung pada faktor kesihatan individu. Gaya hidup juga turut menyumbang kepada kematangan dalam membuat keputusan dalam kerja.
Di negara kita pada usia 58 tahun secara puratanya telah mengalami masalah kesihatan seperti kencing manis, sakit jantung, buah pinggang dan penyakit-penyakit kronik yang lain. Jika diteliti gaya hidup dan faktor pemakanan menjadi penyebab utama kepada usia persaraan ini.
Statistik umur persaraan di dunia, Mexico adalah negara ranking no1 melewatkan persaraan iaitu ketika umur 73 tahun, diikuti Korea dan Jepun masing-masing pada bersara pada usia 71 dan 69 tahun. Tidak hairanlah mengapa Jepun dan Korea menjadi negara yang maju kerana tenaga pakar mereka masih bekerja sehingga ke umur lingkungan 70 tahun. Pastinya pengalaman dikongsikan sepenuhnya dengan golongan pelapis sebelum bersara.
Bekas Pekerja Bukan Musuh
Mungkin anda sedikit hairan apabila membaca tajuk posting ini. Apa yang saya ingin maksudkan bahawa jika anda adalah majikan, jangan sekali-kali menganggap bekas pekerja anda sebagai musuh. Setiap manusia pastinya ada melakukan kesilapan dalam hidup mereka. Begitu juga dengan pekerja anda. Mungkin sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dengan anda, ada kesalahan yang dilakukannya yang mungkin menyebabkan anda kerugian, atau mungkin anda kurang senang dengan tindakannya atau mungkin juga kesalahan kerana membuat keputusan tanpa memberitahu anda.
Bekerja adalah tempoh belajar sesuatu tentang dunia pekerjaan. Bermakna apabila anda terjun dalam bidang kerja bukan semua perkara telah anda ketahui. Kelemahan pastinya akan membawa kepada kesilapan. Lantas jika anda memberikan hukuman kepada pekerja anda sama ada dengan cara meminta ganti rugi, menggantung kerja, atau lebih teruk memecatnya tidak bermakna boleh terus menerus menghukumnya.
Anda berhak pecat atau memberhentikannya tetapi anda tidak boleh berburuk sangka padanya. Lebih-lebih lagi jika pekerja anda mengakui kesilapan yang telah dilakukannya dan bertanggungjawab di atas perbuatannya. Seorang yang mengakui kesilapan diri adalah manusia lebih baik dari manusia yang hanya tahu menghukum. Tanpa pekerja anda sebagai majikan juga akan mengalami masalah. Tanpa majikan pula tak kan anda peluang pekerjaan. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.
Suami Di Rumah Isteri Di Pejabat
Adakah ianya berlaku pada anda? Apa tanggapan tentang situasi ini? Bolehkah lelaki mengurus rumah tangga sementara isteri bertugas di pejabat? Di negara kita masih belum kedengaran dengan kerap perkara seumpama ini, namun di negara luar ianya adalah sebahagian cabaran kerjaya yang perlu dihadapi. Berkemungkinan pada masa hadapan situasi ini akan berlaku di Malaysia memandangkan 70% yang belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam adalah perempuan. Posisi lelaki untuk mendapat tempat dalam kerjaya lebih mencabar.
Pada pandangan saya adalah perkara biasa saja jika suami menjadi ‘superdad’ di rumah kerana kerja-kerja rumah tangga seharusnya perlu diambil berat juga oleh suami. Rutin harian yang dilakukan oleh seorang isteri bukanlah tugas mutlak baginya. Dan seorang suami juga berperanan dalam hal yang sama.
Sebahagiannya berlaku kerana isteri mempunyai kedudukan dalam kerjaya yang lebih baik berbanding suami, maka untuk lebih mudah menguruskan hal-hal rumah tangga ada baiknya memberikan tanggungjawab pada suami. Perlu difahami bahawa ini tidak akan menjatuhkan maruah sebagai seorang suami. Inilah yang dikatakan berkongsi hidup. Daripada membazirkan duit kepada pusat penjagaan lebih baik wang tersebut diberikan sebagai elaun kepada suami yang juga sebenarnya bekerja di rumah. Suami di rumah bukan goyang kaki tetapi bekerja sebagai Eksekutif Rumah Tangga.
Isteri pula tidak perlu mendabik dada dan memperlekehkan suami dalam hal ini kerana mungkin di peringkat awal pastinya akan mengalami sedikit kesukaran kerana kekok dan tidak biasa :wink:. Tetapi kebiasaan pastinya suami akan dapat menjadikan tugasnya lebih cekap dan mudah.
Dah Nak Pencen? (2)
Pencen atau bersara memberikan makna yang berbeza bagi setiap individu yang bekerja. Takut? Suka? Boring? Semuanya adalah pentafsiran minda masing-masing. Sebenarnya tiada istilah pencen bagi orang yang berniaga tetapi bagi anda yang bekerja dalam sektor perkhidmatan awam pastinya akan menghadapi waktu ini. Apa pun reaksinya mesti akan ditempuhi juga.
Mengapa takut dengan pencen?
Sesetengah individu mungkn telah mendapat posisi yang terbaik dalam kerjaya perkhidmatan awam. Dengan gred yang tinggi dan jawatan yang tinggi, ketika bersara pastinya akan melepaskan apa yang dicapai. Inilah yang dibimbangi sebenarnya. Walaupun yang menghadapinya tidak ramai tetapi begitulah hakikatnya. Dulu mungkin dipandang mulia kerana jawatan, mempunyai pemandu untuk ke sana ke sini, dibentangkan karpet merah, dipalukan kompang tetapi bila pencen pasti akan hilang segalanya.
Tidak perlu berfikir seumpama itu kerana tempoh perkhidmatan anda akan menentukan sama ada anda benar-benar berkualiti atau sekadar ditakuti kerana jawatan semata-mata. Jika anda benar-benar bertanggungjawab sepanjang karier anda percayalah penghormatan akan berterusan tidak kira di mana dan bila waktunya. Jawatan adalah amanah, bukan untuk dimegahkan. Sepatutnya anda gembira kerana bakal melepaskan beban yang berat.
Ramai kenalan saya yang bakal bersara sangat menantikan waktu persaraan mereka kerana sudah tiba masanya untuk memberikan ruang kepada mereka yang lebih berkemampuan. Pencen adalah waktu untuk meneruskan hidup dengan lebih tenang dan boleh fokus kepada makna hidup yang berbaki entah berapa tahun. :mrgreen:
Budaya Copy Paste
Sejak semalam saya sempat untuk blog walking di hampir 20 blog untuk mencari sedikit bahan penulisan, dan sayangnya saya tidak mendapat maklumat yang diinginkan kerana melihat 15 dari 20 blog yang saya lawati mempunyai isi kandungan penulisan yang sama sahaja. Agak menyedih kerana blogger-blogger Malaysia masih berkurangan untuk menyampaikan informasi untuk pengguna-pengguna internet.
Budaya ‘copy paste’ ini bukanlah tidak baik, cuma dari sudut yang lain menunjukkan bahawa kita tidak mempunyai keinginan untuk mencipta sebaliknya hanya ingin menciplak sahaja. Bukankah ianya menunjukkan bahawa pemikiran kita yang ambil mudah dalam setiap perkara. Lebih mudah untuk salin sahaja. Dan paling menyedihkan apabila anda tidak meminta izin untuk salinan yang anda ambil dari orang lain, atau mungkin anda salin sepenuhnya dari artikel tersebut.
Tanpa anda sedari budaya ini memberi banyak impak negatif dari kesan positif dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh saya meneliti dari sudut berniaga, kebanyakkan apabila seseorang dilihat berjaya berniaga nasi ayam akan wujud restoran-restoran berhampiran yang juga akan menjual menu yang sama. Senang kan! Hanya copy paste. Kemudian apabila perniagaan tidak menjadi peniaga pertama disalahkan dan mungkin dituduh menggunakan perkara kotor.
Perkara baik tidak salah ditiru kerana akhlak yang baik jika ditiru pastinya dikira kebaikan juga. Dari aspek perkembangan idea budaya copy paste akan menghalang kreativiti kerana lebih suka menunggu apa yang orang lain buat dan kita hanya tiru. Produktiviti pastinya tidak akan ada yang hebat dan tidak akan memenuhi keperluan kehidupan masyarakat.
Belajarlah Dari Wonder Pets
Siri kartun yang sangat digemari dan berpengaruh selepas animasi Upin dan Ipin adalah Wonder Pets. Boleh saya katakan setiap kanak-kanak mengenali setiap watak dalam siri kartun ini. Watak hamster sebagai Linny, kura-kura sebagai Tuck dan anak itik sebagai Ming Ming sangat mencuitkan hati anak-anak bila menontonnya. Walaupun penceritaannya ringkas dan berulang-ulang namun saya melihat ianya adalah satu kartun yang banyak memberi nilai dalam kehidupan kita seharian. Dan tidak ada dalam siri kartun yang lain begitu banyak elemen positif yang ditonjolkan. Jangan melihat ianya sekadar kartun tetapi mesej dan nilai seumpamanya amat perlu diterapkan dari kecil lagi.
Nilai-Nilai Positif
- Mengajarkan kita tentang bekerjasama dalam apa jua perkara sama ada kecil atau besar.
- Kalau ingin melakukan kebaikan jangan bertangguh.
- Apabila niat baik untuk membantu orang lain pasti akan dipermudahkan.
- Kecil dan lemah jika bersatu akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang besar.
- Berbeza rupa bukan ukuran, tetapi nilai kemanusiaan adalah membantu ketika mereka memerlukan bantuan dan pertolongan.
- Sentiasa menerima pendapat orang lain.
- Menyokong jika pendapat itu benar dan logik tetapi tidak memperlekehkan jika pendapat yang diberikan tidak tepat.
- Tidak pentingkan diri sendiri.
- Kreativiti wujud bila semua orang cuba memberikan idea dan pendapat.
- Kesatuan bermula sekurang-kurang dari 3 orang.
- Jangan cepat putus asa. Sentiasa berusaha yang termampu untuk menyelesaikan masalah.
Beban Profesion Guru
Salam sejahtera untuk anda semua.
Baru beberapa hari yang lepas kita menyambut Hari Guru dengan tema tahun ni Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara. Melihat kepada tema ini saya berpendapat guru mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk acuan pendidikan negara yang cemerlang untuk generasi sekarang dan akan datang.
Beban yang saya maksudkan ialah tanggungjawab dan peranan guru yang perlu diperkemaskan sebaik mungkin memandang realiti yang berlaku hari ini, pelajar tidak matang dalam berdepan hakikat kehidupan lebih-lebih lagi dalam dunia kerjaya. Pelajar hari ini bukan tidak pandai bahkan mereka cemerlang dalam akademik tetapi mereka kekurangan nilai diri yang menjadi tunjang untuk kematangan berhadapan masalah.
Kekurangan nilai meletakkan mereka gagal menyerlah dalam bidang yang diceburi. Tak dinafikan mungkin guru yang di sekolah menengah dan rendah hanya mampu memberikan pelajaran kerana mereka baru di peringkat awal, namun jangan biarkan pelajar terus haus dengan nilai diri kerana ilmu dan pendidikan adalah sesuai yang perlu bergerak selari.
Bagi guru yang berstatus pensyarah, andalah yang menjadi tonggak dalam membina penjelajahan terhadap siswa-siswa untuk lebih bersedia berdepan masalah globalisasi. Jika masyarakat mempertikaikan kualiti siswa maka pensyarah dan universiti perlu bertanggungjawab tetapi jika pelajar sekolah yang bermasalah pastinya guru, pengetua dan sekolah yang perlu bertindak.



