Penjual Air Kelapa
Salam motivasi buat anda semua.
Anda suka minum air kelapa? Saya pasti ramai yang menyebut suka kerana air kelapa sangat sinonim dengan masyarakat Melayu seperti kita. Sesuatu yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang kerjaya sebagai penjual air kelapa. Memang tak dinafikan cuaca sekarang tidak dapat diramalkan. Kekadang hujan tiba-tiba, panas terik yang kering dan merbahaya untuk kesihatan.
Satu hari saya singgah di satu gerai air kelapa muda waktu petang. Sambil menunggu penjual air kelapa tu memproses kelapa tersebut saya bertegur sapa dengan abang yang menjual ni, “Cuaca sekarang panas betulkan bang?”
“Memang panas dik. Bahaya untuk kesihatan.” Saya bertanya lagi, “Macam mana bisnes bang? Ok ke?”
“Boleh la hidup.” Saya bertanya lagi, “Dalam sehari berapa biji kelapa abis bang?”
“Tak tentu dik, bergantung pada hari juga. Tapi biasanya 300 biji sehari tu tak kurang. Kalau masa banyak boleh capai 400 biji sehari.”
Dalam hati saya 400 biji sehari? Banyak tu. Sebungkus air kelapa yang tak campur apa-apa pun RM2.50. Jadi bayangkan 400 biji! Kalau RM1 harga untung pun pakcik ni dah dapat bersih RM400 sehari. Kalah gaji pengarah.
Pengalaman Adalah Ilmu Baru Dalam Hidup
Salam sejahtera buat anda semua.
Sepanjang kehidupan anda agak-agaknya berapa tahun pengalaman hidup yang anda perolehi? Seorang pekerja kilang mungkin berkata “Saya dah 20 tahun kerja kilang.” Agak-agak adakah 20 tahun benar-benar pengalaman yang diperolehinya? Pada saya tidak semestinya. Pengalaman adalah sesuatu perkara baru yang anda pelajari. Semakin banyak perkara baru yang anda alami dalam hidup bermakna pengalaman juga turut bertambah.
Dalam bidang pekerjaan juga dinilai seumpama itu. Apapun jua kerjaya anda, asalkan anda tidak melakukan perkara statik dalam kerja anda pastinya anda mampu pengalaman demi pengalaman dalam kerjaya tersebut. Setiap perkara baru yang anda pelajari akan membantu anda dalam menyelesaikan pelbagai masalah kerja dan juga konflik yang melibatkan persahabatan, rakan sekerja, hubungan dengan majikan atau mungkin juga ahli keluarga.
From Nothing To Beginning
Salam sejahtera buat anda semua.
Nampak seronok melihat kejayaan yang dicapai orang lain. Hati termotivasi dan minda mula mendapat inspirasi untuk membina kejayaan juga. Tetapi bila baru sahaja ingin bermula, segalanya dilihat mempunyai kekurangan. Diri mula melihat kelemahan dan berfikiran negatif. Akhirnya wawasan bertukar menjadi alasan. Nak dah mula jadi tak nak. Ketika baru sahaja ingin bermula akhirnya tiada lagi titik permulaan.
Anda faham maksud saya? Selalunya inilah yang berlaku dalam diri kita ketika mana melihatkan kejayaan orang lain yang begitu mengasyikkan di hadapan mata kita. Kejayaan itu sedikit sebanyak memberikan nilai diri dan motivasi untuk sama-sama berusaha menjadi berjaya. Sayangnya kebanyakan dari kita apabila ingin memulakan sesuatu, apabila tiada sokongan yang mendorong mereka mula tawar hati dan keyakinan mula goyah. Segalanya mengharapkan bantuan dan sokongan tanpa bermula.
Contohnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Sudah ramai orang Melayu berjaya dan mengetuk pintu dunia dalam perniagaan tetapi jumlah masih sangat sedikit. Dan kita terangsang bila melihat anak Melayu yang berjaya dalam perniagaan seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Azizi Ali dan sebilangan yang lain. Percayalah mereka juga bermula dengan nothing. Namun mereka tetap memulakan langkah dengan keputusan, komitmen, keyakinan dan ketabahan. Akhirnya berjaya dan mengubah persepsi bahawa orang Melayu tidak boleh berjaya.
Apa Paling Penting Dalam Bisnes?
Salam sejahtera buat anda semua.
Hari ini saya berkongsi bersama anda tentang satu perkara. Bisnes. Apa halangannya? Sewaktu setahun yang lepas saya melihat untuk memulakan bisnes, perkara paling penting adalah modal. Tanpa modal bagaimana bisnes dapat dijalankan. Dan hari ini saya akui modal bukanlah perkara pertama yang perlu dititikberatkan sekalipun ia perlu.
Idea
Tahukah anda hanya dengan idea anda boleh memulakan bisnes tanpa modal. Idea yang anda ada adalah peluang yang mungkin orang lain tiada. Jadi dari segi nilai idea anda mungkin sudah bernilai beribu-ribu ringgit jika berjaya dilaksanakan. Mudah bukan. Tidak semua orang menggunakan akalnya untuk berfikir dan mengintai peluang di luar sana. Cuma bantu idea anda bagaimana mekanisme untuk melaksanakannya.
Network
Pada saya selepas idea, anda perlu ada jaringan yang luas untuk perniagaan berkembang dengan cepat dan pesat. Jaringan yang besar dan berkualiti akan menambah baik idea anda yang sedia ada dan memberikan peluang lebih besar untuk dikenali. Gunakan jaringan yang anda ada.
Modal
Jadi saya meletakkan modal sebagai elemen ketiga dalam perniagaan kerana dengan idea dan jaringan telah memberikan anda ruang untuk memulakan perniagaan. Bagaimanapun modal juga diperlukan kerana ada sebahagian besar dalam bisnes melibatkan modal sebagai nilai komitmen. Gunakan modal dengan cara yang betul kerana ramai tidak sedar modal perniagaan bukan untuk beli aksesori diri, lebih-lebih lagi jika anda mendapat modal tersebut dari pinjaman.
Apabila Anda Terjun Dalam Dunia Bisnes…
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tahukah anda seronok melihat orang lain berjaya dalam perniagaan. Wangnya nilai jutaan. Benarlah rezeki dalam berniaga disebutkan oleh Rasulullah 9/10 rezeki adalah dari bidang perniagaan. Tetapi adakah anda tahu bahawa risiko untuk gagal juga adalah 9/10. Jadi mereka yang berjaya tentunya mereka yang telah memiliki prinsip yang hebat.
Seorang kawan pernah berkata kepada saya bahawa apabila ingin terjun dalam dunia bisnes anda perlu ada empat perkara. Saya terfikir juga dan saya bersetuju kerana ianya berdasarkan pengalaman bukan teori. Jatuh bangun seorang ahli perniagaan adalah asam garam yang menjadi permainan dan ibarat satu perjudian.
Keputusan
Perkara paling penting ialah adakah anda sudah bersedia untuk meletakkan satu tanda aras baru dalam diri anda. Dulu kerja makan gaji anda tidak perlu fikirkan sangat apa inisiatif untuk kehidupan anda kerana cukup bulan akan dapat gaji. Tetapi apabila anda telah membuat keputusan untuk mulakan dunia perniagaan anda pastinya berubah sama sekali. Tidak boleh meletakkan pergantungan pada orang lain. Segalanya anda yang usahakan. Apabila anda nekad dengan keputusan ini bersedialah untuk hadapi ujian dan cabarannya.
Komitmen
Keputusan sahaja belum cukup untuk pastikan anda berjaya. Nekad untuk jadi ahli perniagaan tetapi komitmen anda umpama orang yang kerja makan gaji, hasilnya tidak akan ke mana. Anda perlu usaha 120% setiap masa. Dalam perniagaan segalanya perlu cepat dan pantas. Peluang tidak boleh ditangguh kerana esok pasti akan jadi milik orang lain. Jika tidak mampu ayuh lupakan keputusan anda. Kembalilah kepada kerjaya anda untuk berkhidmat dengan orang lain.
Keyakinan
Komitmen adalah usaha. Keyakinan terhadap usaha akan membuahkan hasil yang baik. Keyakinan juga menjadikan anda mampu bangun sekalipun gagal. Tidak semua ahli perniagaan mempunyai kecenderungan menjadi seorang yang berjaya. Tetapi mereka meletakkan keyakinan pada usaha mereka. Itulah yang tidak mampu dilihat oleh mata orang lain. Apabila anda melihat sesuatu peluang di hadapan mata, sekalipun orang lain melihatnya dengan keadaan berbeza, lakukanlah dengan yakin.
dan Ketabahan..
Akhir sekali yang sangat saya rasa mampu membakar jiwa saya bila disebut tentang ketabahan. Keputusan, komitmen dan keyakinan akan hilang jika tiada ketabahan. Nilai ketabahan sangat besar untuk diertikan di sini. Tapi saya percaya kunci utama mereka yang berjaya adalah kerana K yang keempat ini.
Berapa Nilai Kerja Yang Anda Lakukan Hari Ini?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Apa khabar anda hari ini? Agak lama saya membiarkan laman kesayangan ini tanpa pengisian untuk diri dan anda. Ketika saya menulis posting ini saya sedang berada dalam satu program bersama anak-anak kakitangan Bernas di Sarawak. Semasa menaiki flight ke sini saya melihat begitu banyak tanah yang diusahakan, begitu tekun pesawah membanting tulang, begitu gigih juga nelayan menangkap ikan di bawah teriknya mentari. Dan begitu juga anda dan kerja yang anda lakukan seharian? Tahukah anda berapa nilai kerja yang anda lakukan? Dan tahukah anda bagaimana mengira nilai kerja yang anda lakukan?
Jika anda dapat menghitung nilai ini anda akan tahu betapa perlunya anda bekerja. Jika anda menilai RM pada kerja yang anda lakukan hari ini nilainya mungkin RM50, RM100, RM1500 atau mungkin lebih tinggi dari itu. Jika anda bekerja sebagai pengurus bank saya percaya nilainya lebih tinggi dari seorang pekerja kontrak. Tetapi adakah nilai kerja anda hanya setakat itu? Saya pula tidak melihatnya begitu.
Kerja seorang petani yang saya sebutkan tadi mungkin nilainya lebih tinggi dari kerja anda yang memegang jawatan sebagai pengurus bank. Kerana seorang petani telah berbakti pada tanah, menghidupkan banyak tanaman untuk orang lain, tekun membaja dan menjaga tanaman, kemudian menuainya untuk diri sendiri dan orang lain. Jika dihitung nilai ini, kerjanya tidak lagi bernilai dengan RM tetapi sudah menjadi tidak ternilai kerana memberikan kehidupan kepada orang lain.
Begitulah juga dengan kerja anda? Jika duit yang anda hitung nilainya mungkin tinggi tapi masih dapat dihitung dalam kiraan. Namun jika dilihat pada aspek kehidupan nilainya menjadi tinggi dan tidak ternilai. Adakah anda masih bekerja untuk RM atau untuk memberikan harapan atau kehidupan kepada orang lain?


