Aspirasi Diri

Kuasa Kemaafan (3)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Lebih senang memaafkan seorang musuh dari memaafkan seorang kawan.” – William Blake

Kata-kata nasihat yang sangat bermakna untuk dilihat. Mengapa memaafkan seorang musuh lebih mudah pula berbanding seorang rakan? Hati manusia adalah seketul daging yang lembut dan mudah terasa. Anda tidak kenal seorang musuh, maka apabila dia melakukan kesalahan anda terus boleh memaafkannya. Tetapi apabila seorang kawan yang anda telah kenali dirinya, hati budinya dan kasih sayang, apabila dia melakukan kesalahan pastinya anda merasakan luka yang dalam.

Anda merasakan bahawa kawan yang anda sayangi telah mempermainkan anda dan menipu anda. Pastinya apabila situasi ini berlaku hati manusia yang mudah terasa akan sukar memaafkan orang yang lebih rapat berbanding seorang musuh yang anda tidak kenal dirinya.

10 comments - What do you think?

Gunakan Bakat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Saya menggunakan kepintaran dalam kehidupan; saya menggunakan bakat dalam kerjaya.” – Oscar Wilde

Perkara paling asas untuk memastikan kecemerlangan ialah anda menyedari bahawa bakat perlu dikeluarkan dari dalam diri anda. Tanpa bakat anda tidak akan mampu mencapai tahap tertinggi dalam bidang atau kerjaya pilihan anda. Kata-kata motivasi ini mencetuskan dua elemen penting dalam kehidupan, kepintaran untuk menyelesaikan masalah. Kehidupan pastinya memerlukan anda membuat keputusan yang tepat.

Bakat pula akan memastikan anda memandu anda mendominasi kerjaya anda dengan lebih mudah dan unik. Sudah pasti dalam bidang kerja memerlukan sesuatu yang hebat dari diri anda bagi memastikan anda mengeluarkan yang terbaik untuk organisasi atau syarikat.

8 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (16)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Habiskan sisa makanan

Sesuatu yang kita tidak perasan betapa Allah SWT amat tidak suka apabila kita melampaui batas dalam segala hal. Lebih-lebih lagi melibatkan rezeki makanan dan minuman. Terutama apabila melihat situasi makan buffet di hotel-hotel. Sedih rasanya apabila sisa makanan ditinggalkan dengan banyaknya sedangkan mereka boleh mengelakkan pembaziran berlaku.

Belajarlah makan dengan rasa syukur agar tidak membazirkan rezeki Allah. Jika sisa makanan itu diberikan kepada mereka yang hidup susah, mereka jauh lebih baik kerana tahu menghargai nilai rezeki Allah. Jika anda tidak mahu tergolong dalam orang-orang yang melampaui batas makanlah dengan sederhana dan perlu sahaja.

Bahkan rezeki jua pasti menangis dan mengadu kerana zalimnya manusia senang lenang membuang lebihan makanan sesuka hati tanpa mengingati kehidupan mereka yang jauh lebih susah dan memerlukan. Ubahlah kebiasaan ini agar kehidupan lebih diberkati.

5 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (15)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Amalkan basmallah sebelum lakukan kerja

Tahukah anda bahawa dalam kehidupan kita sering mengabaikan perkara-perkara kecil yang sebenarnya memberikan kesan besar kepada perubahan diri. Kita lebih berminat membuat perubahan pada perkara yang besar tetapi akhirnya tidak berjaya. Mengapa? Kerana perkara kecil dalam kehidupan kita tinggalkan.

Jangan memandang remeh pada perubahan kecil. Contoh senang adakah setiap kerja atau perbuatan yang anda lakukan anda memulakan dengan menyebut nama Allah SWT? Saya percaya ada waktunya kita terlupa juga untuk menyebut basmallah dalam amal perbuatan kita. Perkara mudah tetapi memberi kesan besar kepada kehidupan. Basmalah menjemput keberkatan pada setiap amalan yang dilakukan. Basmalah menjauhkan rezeki yang tidak halal.

Walaupun dengan hanya membaca basmalah tetapi kerja atau amal yang dilakukan meletakkannya dilakukan untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Mudah-mudahan amalan kecil mampu membina perubahan kerja anda selepas ini.

3 comments - What do you think?

Ramadhan Dan Perubahan Diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Begitu cepat masa berlalu. Dalam sedar tak sedar Ramadhan sudah telah masuk fasa kedua. Bermakna tidak berapa lama lagi bulan mulia akan meninggalkan kita semua. Adakah akan datang kita semua dapat bersama Ramadhan lagi.

Alangkah bagusnya di dalam bulan ini sedikit sebanyak mata kita melihat perubahan manusia ke arah yang lebih baik. Ramai yang berebut-rebut untuk mengerjakan kebaikan di dalam bulan ini. Masing-masing memberikan sedekah, menyediakan hidangan berbuka di masjid, meraikan anak-anak yatim dan pelbagai kebaikan yang lain juga.

Maknanya Ramadhan mengubah diri ke arah kebaikan. Tetapi mungkin tamatnya Ramadhan adakah kita semua masih di dalam momentum yang sama? Jika anda menjawab insya Allah akan terus dengan amalan-amalan ini bermakna perubahan benar-benar berlaku dalam diri anda. Namun jika hanya sekadar beramal baik di bulan ini, bermakna Ramadhan hanya sekadar mampu memberikan kesedaran kepada diri kita.

Sesi persekolahan Ramadhan walaupun hanyalah sebulan sebenarnya adalah tempoh ujian praktikal yang menentukan perubahan diri setiap insan. Istiqamah dan bersegera kepada kebaikan itulah yang menjadi objektif penting kepada kita untuk mendapat nilai dalam ibadah dan aspek kehidupan yang lain. Ramadhan adalah zon perubahan yang perlu anda teliti dan fahami. Puasa sebulan menahan segala kejahatan seharusnya menjadi pemangkin untuk menjadi individu lebih baik selepas Ramadhan dan selamanya.

3 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (14)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berkawan dengan orang-orang soleh

carilah kawan yang bersifat minyak wangi

Dalam usaha membina perubahan dalam diri, anda akan berdepan pelbagai ujian untuk melihat sejauh mana nekad dan keazaman anda untuk ke jalan kebaikan. Allah akan memberikan ujian demi ujian supaya anda lebih cekal dan berhati-hati dalam setiap langkah. Oleh sebab itu carilah sahabat atau kawan yang dapat mendorong anda terus ke jalan yang benar.

Berkawan dengan orang soleh bukan hanya tergolong kepada mereka yang berserban dan berjubah. Orang yang soleh adalah orang yang sentiasa istiqamah menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Anda amat memerlukan insan-insan seumpama ini untuk membantu anda memimpin diri agar lebih kuat mengharungi ujian Allah.

“Perumpamaan sahabat yang soleh dan sahabat yang buruk adalah ibarat penjual minyak wangi dan peniup tungku. Penjual minyak wangi boleh memberimu tanpa kita harus membeli, atau (paling tidak) engkau akan mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan peniup tungku boleh membakar pakaianmu atau engkau akan mencium bau busuk darinya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Orang mukmin adalah cermin kepada orang mukmin yang lain. Jika anda berasa kurang yakin dengan momentum perubahan diri anda eloklah bergaul dan sentiasa mengikut aktiviti-aktiviti sahabat yang dapat memimpin anda ke alam perubahan.

4 comments - What do you think?

Ramadhan Dan Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bulan Ramadhan dah mula melangkah masuk. Tetapi kerja tetap dilakukan seperti biasa. Apabila masuk bulan Ramadhan jangan meletakkan bahawa kerja tidak berkualiti kerana dilakukan dalam keadaan lapar dan dahaga. Ada juga beranggapan Ramadhan membantutkan idea mereka hanya kerana tidak dapat makan dan minum. Jika Rasulullah melihat kita sekarang ini pastinya baginda sedih kerana ibadah agung ini dianggap beban oleh umat Islam sendiri, kerana Islam memenangi peperangan Badar juga dalam bulan Ramadhan.

Menggambarkan bahawa kerja tetap berkualiti sekalipun diharungi dalam situasi lapar dan dahaga. Pastinya rasa berlumba-lumba ingin melakukan yang terbaik di dalam bulan ini memberikan lebih kualiti kepada kerja. Bukankah setiap amalan baik digandakan pada bulan ini? Jadi pasti juga kerja yang anda lakukan dilipatganda kerana ianya sebahagian dari ibadah juga.

Jika anda meletakkan kerja menghalang fokus anda untuk ibadah anda telah mencipta persepsi yang tidak tepat kerana kerja dan ibadah adalah dua perkara yang tidak berpisah. Lakukan ibadah dengan melaksanakan kerja dengan cara yang terbaik kerana Allah SWT pasti memberikan gandaan pada setiap perkara baik yang anda lakukan.

Be the first to comment - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline