Mengenali Potensi Diri (6)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 13-02-2010

2

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda mungkin masih ingat tentang artikel pertama saya tentang potensi diri. Anda mungkin masih ingat beberapa kategori manusia yang tidak memanfaatkan potensi. Di sini saya nyatakan beberapa kategori manusia

  • Manusia yang tidak tahu potensi diri
  • Manusia yang tahu potensi diri tetapi salah guna
  • Manusia yang tahu potensi tetapi tidak mahu menggunakannya
  • Manusia yang tahu potensi dan menggunakannya

Begitulah antara kategori manusia yang ada di dunia. Jadi anda di kategori yang mana? Bukan mudah untuk termasuk dalam kategori yang tahu potensi diri dan tahu bilakah masa untuk menggunakannya. Ramai yang tidak mampu menyenaraikan potensi diri mereka. Sebenarnya jika potensi diri ini anda lihat dari satu aspek sahaja maka memang tidak banyak yang boleh anda senaraikan. Allah SWT menjadikan manusia bukan hanya satu atau dua kemahiran sahaja. Pastinya Allah memberikan banyak kelebihan kepada kita kerana kita ditugaskan menjadi khalifah untuk mentadbir alam.

Namun kefahaman yang cetek terhadap potensi menyebabkan anda rasa sukar untuk menyenaraikannya. Fahamilah anda semua bahawa apa sahaja yang positif pada diri anda sebenarnya adalah potensi yang boleh anda bangkitkan menjadi manusia yang hebat di mata orang lain. Jadi apabila anda analisa sesuatu yang positif pada diri anda, saya dapat buat kesimpulan ringkas paling kurang anda boleh menulis sekurang-kurangnya 20 potensi dalam diri anda. Lihatlah 20 aspek positif tersebut dan adakah anda berdiri sebagai seorang pekerja sekarang anda mempunyai kelebihan-kelebihan ini? Anda ada jawapannya!

Amalan Perubahan Diri (5)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 03-02-2010

6

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Baca Al-Quran / Dengar bacaan-bacaan Al-Quran

Setiap hari ketika anda dalam perjalanan ke tempat kerja, saya pasti ramai yang akan mendengar celoteh DJ di stesen radio kegemaran. Mendengar lagu-lagu terkini sambil menghadapi kesesakan jalan raya yang setiap hari anda perlu lalui. Sekali sekala anda tergelak mendengar celoteh DJ yang melawak.

Apa salahnya jika anda mulakan kehidupan anda dengan satu perubahan yang baru. Jika sebelum turun dari rumah untuk menuju ke tempat kerja, anda bacalah Al-Quran dalam 10 ayat sebagai mengisi waktu pagi dengan keberkatan. Tetapi saya pasti adakalanya anda agak sukar untuk mengisi waktu ini dengan aktiviti baca Al-Quran. Namun anda masih berpeluang mendengar bacaan Al-Quran.

Jika setiap hari anda boleh mendengar lagu-lagu terkini dari radio, tiada salahnya juga anda mula mendengar Al-Quran ketika anda memandu dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Bukan sahaja hati anda lebih tenang, bahkan Allah berikan pula ganjaran pahala. Jom cuba! Untuk permulaan anda boleh dengar bacaan Al-Quran ketika baca blog saya ini :)

Listen to Quran

Memiliki Kualiti Diri (1)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 01-02-2010

8

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah hari ini saya berpeluang untuk menulis sekalipun sedikit kesibukan. Anda pernah membaca tentang kualiti diri? Selalunya jika anda pengunjung setia blog ini, saya sering sekali menulis tentang potensi diri. Saya percaya sehingga ke hari ini walaupun tidak banyak anda pasti sedang mengexplorasi diri di manakah potensi anda?

Bagusnya potensi ada kaitan dengan kualiti diri. Begitu ramai insan yang berpotensi namun gagal menggunakan potensi dalam meningkatkan kualiti diri. Diri anda semakin berkualiti jika anda tahu bagaimana menggunakan potensi anda dengan tepat. Sebenarnya ada beberapa aspek untuk melihat kualiti diri anda. Insya Allah entri sebagai mukadimah untuk anda lebih memahami potensi dan hubungkaitnya dengan kualiti diri.

Jadi apa salahnya saya ingin berbicara dua hala secara maya dengan anda, apakah yang anda rasa dapat menunjukkan diri anda seorang yang berkualiti? Tinggalkan respon anda dengan menjawab persoalan ini :)

Mengenali Potensi Diri (5)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 29-01-2010

9

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Membentuk potensi yang luar biasa

Potensi diri adalah sesuatu yang luar biasa bagi anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa bakat dan kelebihan yang dianugerahkan Allah adalah menunjukkan perbezaan dan keunikan anda berbanding orang lain. Sayangnya apabila Allah SWT sudah memberi peluang kepada anda untuk menyerlah tetapi anda pula tidak mengambil peluang itu.

Saya mengambil satu contoh mudah. Cuba anda saksikan klip video ini.

Saya pasti ramai yang dapat menimbang bola. Tetapi tidak ramai yang mampu melakukan sebagaimana aksi dalam klip video ini. Kemahiran menimbang bola ini boleh dilatih, namun apa yang perlu anda pelajari ialah bagaimana anda mula membentuk sesuatu yang luar biasa dari potensi anda. Gaya menimbang bola yang anda lihat ini jika anda sedari telah dibentuk gaya yang luar biasa.

Kemahiran asas hanyalah menimbang bola. Tetapi setelah potensi ini diluarbiasakan (istilah saya sendiri) maka anda lihatlah hasilnya. Saya pasti anda menyebut, “Wow! Memang menakjubkan!”

Amalan Perubahan Diri (4)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 22-01-2010

10

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berpakaian putih lebih menginsafkan

Berapa pasangkah pakaian yang anda beli setahun? Saya pasti bagi anda yang bekerja membeli paling kurang dalam 20 pasang setahun bagi perempuan berbanding lelaki yang mungkin lebih kurang kuantitinya. Bagaimana pula fesyennya? Sukar nak saya terangkan tentang ini memandangkan saya bukan peragawati dan model. Namun selalunya kita membeli pakaian suka pada fesyen terbaru, corak yang cantik dan juga kena sedondong antara kain, baju, tudung, kasut dan juga beg tangan bukan?

Sebenarnya kerana pakaian beginilah kita banyak terpesong dari landasan akhlak yang baik. Kerana pakaian cantik kita lupa bahawa masih ada yang tidak mampu membeli pakaian. Kerana pakaian kita kadang-kadang menunjuk-nunjuk di hadapan orang lain tentang fesyen baju kita. Perbanyakkanlah menggunakan warna putih dalam kehidupan anda selepas ini. Warna putih adalah warna tema seluruh umat Islam di dunia ini.

Warna pakaian ketika kita diusung nanti hanya warna putih kosong. Warna putih adalah warna fitrah manusia yang dilahirkan suci dan dikebumikan juga dalam keadaan suci. Mudah-mudahan hati kita sedikit berbekas dengan cara kita memilih pakaian pada hari ini. Konsep warna putih akan sentiasa mengingatkan diri kita tentang kematian yang tidak tahu bilakah akan menjemput kita.

Amalan Perubahan Diri (3)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 19-01-2010

6

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Peluk anak-anak dan isteri / suami setiap hari

Saya tersenyum sendiri sewaktu menulis entri hari ini. Mungkin anda juga turut tersenyum membacanya. Seakan melucukan tetapi adakah anda melakukannya setiap hari? (bagi yang sudah berkahwin). Satu bentuk praktikal yang akan merangsang emosi anda pada hari itu untuk menjadi seorang yang hebat.

Jika anda membaca entri saya dua hari lepas berkenaan menangani stres, tahukah anda dengan memberikan pelukan pada anak-anak dan isteri anda setiap hari emosi anda akan menjadi jauh lebih stabil dari biasa. Kestabilan ini jika dijadikan kebiasaan setiap hari akan mampu menepis segala tekanan sama ada di tempat kerja atau sebab-sebab yang lain.

Apa yang bagusnya juga, anda juga merangsang orang lain mempunyai emosi yang stabil. Anak-anak akan membawa kehangatan pelukan ayah dan ibunya ke sekolah setiap hari. Sudah pasti kasih sayang yang dibawa bersama memberikan emosi dan pemikiran positif untuk anak-anak belajar dan menumpukan perhatian. Suami dan isteri juga akan pergi ke tempat kerja dengan perasaan kasih sayang kepada keluarga, sudah pasti kasih sayang ini akan memberikan ketenangan dalam meneruskan kerja dan kehidupan setiap hari.

Amalan Perubahan Diri (2)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 16-01-2010

21

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pamerkan senyuman yang ikhlas

Setiap hari anda pergi ke tempat kerja. Apa yang anda lakukan apabila anda terserempak dengan orang lain di pejabat anda? Jangan lokek untuk mempamerkan senyuman yang ikhlas kepada sahabat-sahabat anda atau kepada pelanggan anda. Senyuman adalah cerminan pertama siapa anda di pandangan orang lain. Senyuman akan menimbulkan kemesraan anda dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada pelanggan anda.

Ramai orang yang bekerja tidak menunjukkan mereka menghargai pelanggan. Jangan memberikan salam, senyuman pun mereka tidak memberikannya. Sudah pasti sedikit sebanyak pelanggan anda merasakan organisasi anda adalah organisasi yang menakutkan kerana tidak mesra pelanggan. Tetapi perlu diingat juga, senyuman perlu diiringi dengan kata-kata yang baik. Jika sebaliknya tiada gunanya anda senyum kerana senyuman anda hanyalah kepura-puraan.

Tidak sukar untuk senyum. Jangan tunggu esok untuk senyum kepada orang lain kerana senyuman yang ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah. Jika senyuman anda dapat menyenangkan hati orang lain maka anda akan lebih mudah didampingi ketika di tempat kerja anda.

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.