Aspirasi Diri

Memiliki Kualiti Diri (2)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Membina kualiti ilmu

Nilai diri anda akan menjadi lebih mahal apabila anda menyedari pentingnya diri mempunyai kualiti dalam setiap aspek kehidupan. Hanya kerana itu dalam apa cara sekalipun anda perlu meningkatkan dan cuba untuk membina kualiti diri.

Selain dari aspek kualiti iman yang menjadi tunjang kepada kualiti seorang hamba Allah, ilmu adalah menjadi unsur kedua paling penting dalam meletakkan seseorang itu berkualiti atau tidak. Lihat saja dunia menilai manusia dengan sekeping sijil atau segulung ijazah hanya kerana ingin meletakkan seseorang itu mempunyai tanda aras dalam ilmu. Inilah yang menjadi prinsip pertama yang Allah SWT ajarkan kepada baginda Rasulullah.

Iqra’ menjadi teras utama dalam memastikan proses ilmu berlaku. Iqra’ akan membebaskan kejahilan yang bersarang dalam minda dan arus pemikiran yang tidak baik. Lebih-lebih dalam arus globalisasi seperti sekarang, kehidupan yang memerlukan informasi pastinya anda akan tidak mampu mengejar zaman jika anda masih tenggelam dalam budaya tidak mahu membaca.

Kualiti ilmu bukan hanya dilihat dari sudut sejauh mana input yang anda dapat untuk diri, sebaliknya perlu diukur berdasarkan sedauh mana yang dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar. Jika anda seorang pekerja pastikan ilmu-ilmu yang diperolehi dikongsikan kepada orang lain dan juga diamalkan setiap masa.

1 comment - What do you think?

Sesi Temuramah Santai

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sebenarnya baru sahaja selesai gunting di sebuah kedai gunting yang selalu saya singgah sebab berada di bawah pejabat tempat saya bekerja. Sudah hampir empat tahun saya bekerja, tetapi hari ini baru berpeluang bersembang panjang. Seorang rakyat Madras datang ke Malaysia makan gaji sebagai tukang gunting yang telah berpengalaman hampir lima tahun. Lebih awal setahun sejak saya bekerja di Bangi ini.

Sesi temuramah santai kami bermula apabila rambut saya mula digunting oleh Kumar:

MK: Kumar sekarang you sorang saja ke kerja? Mana you punya kawan?

Kumar: Saya punya kawan itu balik India, mahu kahwin.

MK: You sudah kahwin ke belum?

Kumar: Abang, saya masih belum kahwin. Ini sekarang mahu kerja kumpul wang mahu kahwin.

MK: Kumar, saya banyak suka gunting sama awak. Saya punya stail pun you sudah tau.

Kumar: Biasalah bang. Lama-lama kerja abang satu kali datang saya sudah ingat abang punya stail.

MK: You berapa lama sudah duduk Malaysia?

Kumar: Saya sudah lima tahun. Saya ingat tahun saya mahu balik India. Bikin kedai gunting sendiri.

MK: Bagus tu. Sana berapa modal kalau mahu buka kedai gunting?

Kumar: Dalam 50,000 rupi (RM5000). Beli kerusi, bikin kedai semualah.

MK: Ooo..kalau macam tu tarak banyaklah. Gaji you kerja sekarang berapa?

Kumar: Itu bos saya kasi RM750 sebulan.

MK: Ooo..habis berapa banyak you hantar wang kampung sana? (Saya pun dah tukar cakap macam india)

Kumar: Satu bulan saya hantar RM700 sama saya punya amma.

MK: Banyak tu. Macam mana you belanja dekat sini?

Kumar: Saya punya bos kasi RM10 satu hari untuk makan, jadi itu duit gaji saya kasi sama amma lah. Saya punya amma sudah tinggal satu orang. Saya punya ayah juga sudah meninggal. Jadi saya kasih banyak sikit.

MK: Bila mau balik India?

Kumar: Saya ingat tahun depanlah bang, balik sana terus takde datang sini lagi. Mahu buka kedai gunting.

MK: Baguslah. Jangan kerja dengan orang lama-lama. You Malaysia mana sudah pergi?

Kumar: Saya sudah pergi itu Genting, Langkawi, Melaka, N9. Ini tahun saya ingat mahu pergi Cameron la bang.

MK: Bagus tu..

Dalam lebih kurang 10 minit Kumar dah selesai gunting rambut saya. Dah empat tahun saya jadi pelanggan tetap dia. Apa yang anda dapat dari temubual santai saya ni?

5 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (13)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bersedekahlah walaupun sedikit

Antara amalan yang mengalirkan kebaikan tanpa henti ketika anda berada di akhirat nanti ialah sedekah yang anda berikan dengan ikhlas kepada orang lain. Bila cerita tentang sedekah ramai di antara kita memandang remeh perkara ini. Sekalipun duit banyak, terasa saya untuk hulurkan 20 sen kepada mereka yang memerlukan. Terasa 20 sen itu tidak akan mencukupkan perbelanjaannya jika diberikan kepada orang lain.

Yakinlah bahawa sedekah adalah satu keajaiban. Sebenarnya duit yang anda berikan pada orang dengan niat membantu Allah SWT tidak akan biarkan duit hilang begitu sahaja. Tetapi Allah SWT akan tambah tanpa anda sedari. Allah SWT memberikan jaminan dengan menggantikannya.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh )orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa
dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia Kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Al Baqarah: 261)

Jom mulakan sedekah pada hari ini dengan jumlah yang anda mampu!

4 comments - What do you think?

Menjadi Insan Bermagnet (2)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bagaimana anda mampu menjadi perhatian orang lain? Mudah untuk saya berikan jawapan tetapi sukar untuk anda melakukannya kerana insan bermagnet mempunyai daya tarikan yang tinggi. Siapa melihatnya pasti tertawan dengan segala aspek keperibadiannya.

Ucapan berpengaruh

Bukan mudah untuk menyampaikan sesuatu dan berjaya mempengaruhi orang lain. Ucapan berpengaruh mampu menarik orang lain berfikir. Ucapan yang baik akan memberikan kesan kepada hati yang mendengarnya. Itulah ucapan yang bermagnet. Anda terpukau bukan kerana ayatnya power sahaja, tetapi keikhlasan dan kebenaran dari apa yang disampaikannya.

Hanya kerana itulah ketika mana Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah terakhir ramai para sahabat gembira sehingga kerana jelas bahawa Islam sudah berkembang. Tetapi dalam kegembiraan itu hanya Umar yang menangis teresak-esak. Lantas sahabat-sahabat lain bertanya kepadanya “Wahai Umar mengapa kamu menangis?” Maka Umar menjawab “Apabila tiba kesempurnaan, akan lahirlah kecacatan. Rasulullah akan meninggalkan dunia yang fana ini.” Para sahabat yang lain mula memahami keadaan itu dan mereka semua menangis.

Jika anda hayati khutbah terakhir Rasulullah anda akan merasakan pengaruh di sebalik ucapan baginda. Mengapa khutbah baginda begitu mengesankan hati para sahabat? Jelas sekali kerana kebenaran dan keikhlasan baginda. Kata-kata seorang insan bermagnet bukan hanya terbit dari bibir tetapi dari hati dan iman. Jika anda ingin membina medan magnet dalam diri anda berkatalah perkara yang benar dengan ikhlas.

Dapatkan khutbah Rasulullah di sini.

Be the first to comment - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (12)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Belajar memaafkan orang lain sebelum tidur

Meminta maaf kepada orang yang melakukan kesilapan bukan perkara mudah kerana ia melibatkan memecahkan rasa ego dalam diri. Sebab itu tidak ramai orang bersalah tetapi mampu meminta maaf di atas kesilapan dirinya. Hanya kerana ego maaf tidak dituturkan di bibir. Kesalahan diri dianggap perkara kecil yang boleh disembunyikan.

Namun perkara lebih besar dari meminta maaf kepada orang lain, memberi maaf juga melibatkan keegoan dalam diri. Kita yang tidak bersalah belum tentu mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain yang telah dilakukan kepada kita. Oleh kerana itulah ada seorang sahabat Rasulullah s.a.w, baginda telah menyebut-nyebut namanya di hadapan sahabat-sahabat yang lain sebagai ahli syurga.

Hairan para sahabat kerana Rasulullah menyebut namanya sebagai ahli syurga sebanyak tiga kali di hadapan mereka. Maka para sahabat mula menyiasat dan bertanya kepada sahabat tersebut. “Wahai sahabat apakah rahsia yang menyebabkan Rasulullah s.a.w menyebut namamu sebagai ahli syurga?” Maka sahabat tersebut menjawab, “Tiada apa yang istimewa yang saya lakukan dalam hidup saya melainkan saya selalu memaafkan kesalahan orang lain terhadap saya sebelum tidur.”

Meminta maaf atas kesilapan kerana sebagai pengakuan kita bersalah, tetapi orang yang memberi maaf benar-benar menunjukkan anda seorang yang berjiwa besar.

Be the first to comment - What do you think?

Kuasa Kemaafan (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa khabar anda semua? Harap semuanya sihat. Bagaimana tidur anda malam tadi? Adakah anda masih dibayangi kesalahan-kesalahan yang pernah anda lakukan kepada orang lain? Jika anda mengalaminya percayalah bahawa hidup anda akan terus dilanda resah jika tidak memohon maaf dari mereka yang anda lakukan kesilapan.

Saya ingin kongsikan kisah dua orang sahabat karib yang sedang berkelana di padang pasir. Sedang dalam perjalanan berkelana, berlaku salah faham antara mereka sehingga menyebabkan mereka bergaduh. Akhirnya salah seorang sahabat menampar muka sahabat karibnya. Kerana terlalu sedih sahabat yang ditampar mukanya telah menulis di pasir, “HARI INI SAHABAT KARIBKU TELAH MENAMPAR MUKAKU”.

Selepas peristiwa itu mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka tiba di satu kawasan oasis. Maka mereka berehat untuk bersuci dan mandi di situ. Ketika sedang mandi-manda tiba-tiba sahabat yang kena tampar tadi telah lemas. Nasib baik sahabat yang telah menampar mukanya tadi berjaya menyelamatkannya. Maka sahabat selamat dari lemas itu menulis di batu, “HARI INI SAHABAT YANG SAYA SAYANGI TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU.”

Melihatkan ukiran itu, sahabat yang menyelamatkan sahabatnya yang lemas tadi bertanya, “Wahai sahabatku mengapa ketika aku menampar mukamu kamu menulisnya di pasir tetapi apabila aku menyelamatkanmu, kamu menulisnya di batu.”

Maka sahabat tadi menjawab, “Aku menulisnya di pasir kerana berharap hembusan angin kemaafan akan menghilangkan kesalahan yang telah kau lakukan. Tetapi aku menulis di batu kerana aku tidak mahu melupakan kebaikan yang telah kau lakukan kepadaku.”

Gambar: Kredit kepada iluvislam.com

5 comments - What do you think?

Produktiviti Seorang Penjawat Awam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kerja selalunya dikaitkan dengan produktiviti. Produktiviti pula akan dikaitkan dengan kualiti. Skop kerja sebagai penjawat awam, bagaimanakah mengeluarkan produktiviti berkualiti? Apabila anda bekerja di sektor perkhidmatan awam sudah pasti produktiviti adalah berdasarkan hebatnya perkhidmatan yang diberikan. Cepat dan telus. Tetapi apa yang menjadi persoalan bagaimana perkhidmatan awam boleh meningkat jika birokrasi juga meningkat?

Saya banyak mendapat pengalaman dari orang awam, bahkan juga rakan taulan tentang pengalaman mereka ketika ke jabatan-jabatan kerajaan. Ada yang tiba di jabatan X (sebagai contoh) terpaksa turun naik lif hanya kerana nak selesaikan urusan mereka. Dan paling memeningkan bila pekerja yang lain tidak memberikan maklumat jelas tentang bagaimana untuk selesaikan masalah yang dihadapi. Turun naik lif yang tinggi, tapi urusan masih tak selesai.

Pernah juga seorang tua dari kampung naik bas dua jam ke satu jabatan untuk urusan tertentu. Apabila sampai kakitangan jabatan tersebut asyik suruh tunggu sahaja. Akhirnya berakhir waktu pejabat makcik ini masih lagi menunggu. Bayangkanlah seorang tua yang tidak tahu apa-apa tidak pula dilayan sebaik mungkin pastinya akan memberikan tanggapan buruk orang kepada sektor perkhidmatan awam.

Saya juga memahami setiap urusan akan melalui proses-proses tertentu sebagaimana dalam piagam pelanggan. Namun tidak semuanya dipatuhi sebaik mungkin. Birokrasi sedikit sebanyak melambatkan proses dalam pengurusan. Bayangkan jika anda berada di tempat makcik tua tadi. Bagaimana perasaan anda? Dalam akhbar Berita Harian semalam 2 Mei 2010, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa kumpulan sokongan akan diubah nama kepada kumpulan pelaksana, sebagai cara bertindak lebih kreatif dan inovatif. Seharusnya juga perubahan mind setting turut berubah. Jika tidak perubahan hanya dari sudut nama tapi kualiti pengurusan masih di tahap sama.

8 comments - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline