Aspirasi Diri

Menjadi Insan Bermagnet

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berbicara tentang magnet selalunya ramai yang terfikirkan tentang magnet rezeki. Tetapi saya ingin kongsikan pada anda semua tentang bagaimana menjadi insan bermagnet. Maknanya anda menjadi insan yang mampu membina tarikan kepada orang lain.

Terus terang saya katakan Rasulullah adalah contoh insan bermagnet yang patut anda contohi. Jika anda telitikan segala aspek diri baginda mampu menjadi tarikan orang lain. Buktinya sunnah baginda menjadi amalan kita sehingga hari ini.

Insan mempunyai tarikan bukan hanya dilihat pada susuk tubuh yang kuat, wajah yang hensem, cara berjalan sahaja bahkan secara keseluruhannya mempunyai kesempurnaan dari dua aspek penting manusia dalam dan luar. Kesempurnaan inilah yang akan menjadikan anda insan yang mampu menarik orang lain dekat kepada anda.

5 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (11)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ucaplah terima kasih!

Satu lafaz mudah, ringkas dan bermakna tetapi tidak ramai sudi melafazkannya. Ketika anda berjalan menuju ke pejabat pos, sampai di pintu kebetulan ada orang lain bukakan pintu untuk anda. Anda terus sahaja masuk tanpa ucap terima kasih. Sudah lama anda juga tidak menghubungi sahabat karib anda. Akhirnya pada suatu hari sahabat anda menelefon bertanya khabar dan bersembang panjang. Tetapi anda tidak pula mengucapkan terima kasih di atas ingatan sahabat tersebut pada anda.

Lori sampah datang ke rumah anda untuk mengutip sampah seperti selalunya, tetapi anda langsung tidak berminat untuk melihat kepadanya apatah lagi mengucap terima kasih kepadanya. Aneh! Besar pahala jika lafaz terima kasih ini dapat kita ucapkan kepada mereka. Sekalipun itu sekadar kebetulan, ataupun mungkin memang sudah tugasnya tiada salah anda lebih menghargainya dengan dua patah kalimah bermakna ini.

Terima kasih adalah lambang syukur jika dinisbahkan manusia kepada Allah SWT. Namun kalimah ini adalah simbol mahabah antara sesama insan. Kunci untuk mengeratkan ukhuwah antara manusia dengan manusia.

4 comments - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (10)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pupuk minat membaca

Ramai warganegara Malaysia tidak suka membaca. Mengapa? Adakah buku-buku di negara kita tidak berkualiti? Mudah-mudahan tip-tip ini dapat membantu menarik minat membaca.

  • Perkara pertama cuba pergi ke kedai buku terlebih dahulu, anda akan lihat bahawa banyak buku yang menarik minat membaca. Sebelum ini anda hanya pergi ke kedai majalah. Jauh bezanya.
  • Mulakan berjinak-jinak dengan buku-buku yang nipis dahulu. Bila dah rasa seronok barulah baca buku-buku yang tebal.
  • Jangan letakkan target nak habiskan sebuah buku dalam masa yang singkat, kerana itu akan memberikan tekanan pada anda. Jadi akan mengganggu mood anda untuk minat membaca.
  • Letakkan target 1 buku untuk 1 bulan. Setahun anda dah habis 12 buah buku. Hebat!
  • Beli satu rak buku, susun cantik-cantik kerana itu semua akan memberikan mood untuk membaca.
  • Jika berkesempatan bertemu penulis buku, ambil autograf mereka. Percayalah anda akan semangat membaca.
  • Cuba ambil 15 minit sahaja sehari atau mungkin 10 helai untuk setiap kali pembacaan.

Selamat mencuba!

10 comments - What do you think?

Membina Karisma Dalam Diri (3)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bermulanya kehebatan seorang pemimpin adalah kerana tingginya karisma yang terbina dalam dirinya. Karisma tidak hadir dalam bentuk namun hebatnya karisma dapat dilihat. Saya amat tertarik bagaimana Allah SWT membina karisma kepimpinan bagin Rasulullah s.a.w sejak baginda dilahirkan lagi. Lahirnya pemimpin terbilang perlu disedari bahawa karisma itu telah wujud sejak dari kecil.

Allah SWT memula proses membina karisma baginda, apabila baginda Rasulullah s.a.w dilahirkan dalam keadaan yatim. Kehilangan seorang ayahanda yang tercinta ketika dilahirkan sebenarnya memberikan gambaran bahawa baginda perlu mempersiapkan diri untuk hidup berdikari di masa hadapannya. Proses inilah menjadikan bagin da seorang yang berjiwa kental dan tabah dalam menghadapi ujian emosi terhadap dirinya.

Bagi seorang anak yang tidak kenal erti kasih sayang seorang ayah, terasa rendah diri lebih-lebih lagi apabila orang lain sering mempersendakan dan bertanyakan tentang ayah. Seorang rasul juga adalah manusia biasa, perasan sedih tetap dirasai.

Kehidupan sebagai anak yatim ditambah lagi dengan kehilangan bonda tersayang ketika berusia dua tahun. Saya tanyakan kepada anda manakah lebih menyedihkan hati, dilahirkan terus yatim piatu kehilangan ayah dan ibu selepas menerima kasih sayang dari mereka? Belaian ibu yang seketika itu lebih memberikan kerinduan dan kesedihan kerana pastinya kita akan asyik teringatkan sentuhan dan kasih sayang itu. Baginda merasai kesedihan itu dengan memahami bahawa seorang pemimpin perlu tahu menilai perasaan orang lain. Perasaan sedih inilah menjadikan Rasulullah seorang yang tahan tekanan sehingga tidak ada yang mampu menahan baginda digelar pemimpin berkarisma hingga ke hari ini.

2 comments - What do you think?

Bila Terjatuh Jangan Terus Terbaring

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam menghadapi kehidupan yang mencabar ini terlalu banyak yang perlu dipersiapkan untuk terus maju. Bermula dengan keimanan sebagai pegangan hidup sehinggalah kepada membina kepimpinan dan kemahiran diri. Dengan kata lain kehidupan ini memerlukan kegigihan dan kesabaran untuk membina ketahanan diri terhadap ujian. Semua di antara kita tahu hidup pasti ada ujian untuk terus maju. Tetapi bila dilambung ombak belum tentu kesedaran hakikat ujian itu dapat diadaptasi sebaik mungkin.

Sebab itu adakalanya apabila sekali terjatuh tidak ramai yang dapat bangun kembali. Ramai yang terus terbaring kerana tidak dapat mencari lagi tempat berpaut untuk bangun dan berdiri kembali. Apabila diterjemahkan dalam kehidupan ini baik dari apa jua sudutnya kita semua perlu cuba untuk terus berusaha sehingga berjaya. Yang pastinya Allah SWT akan memberikan ujian pada kita semua di dunia ini, tetapi bezanya apakah kita bersedia dan bertekad untuk bangun kembali jika ujian itu tertimpa pada diri kita?

Sehari selembar benang lama-lama menjadi kain jua. Begitulah jua apabila belakang parang yang sering diasah pasti akan hadir tajamnya. Bila gagal sekali tidak bermakna anda sudah berada dalam sial sepanjang masa. Jadi berusahalah sekali anda masih hidup kerana selagi hidup peluang untuk berjaya tidak pernah padam.

2 comments - What do you think?

Syurga Dipenuhi Oleh Orang Miskin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kepada sahabat semua, hayatilah aspirasi diri ini untuk diri kita dan sampaikan kepada insan lain juga. :smile:

Rasulullah bersabda:

“Aku pernah berdiri di depan pintu syurga. Ternyata kebanyakan yang ada didalamnya adalah orang-orang miskin dan orang-orang yang mampu. Lalu ketika penghuni neraka diperintahkan masuk ke neraka, aku melihat kebanyakan yang ada di dalamnya adalah kaum wanita.”

“Boleh jadi orang yang pakaiannya lusuh tidak diterima kehadirannya di tengah-tengah manusia, namun ketika bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah selalu mengabulnya.”

Persoalannya mengapa orang miskin lebih banyak masuk syurga? Logik akal tidak ramai orang yang berstatus mewah mengingati Allah SWT sebagaimana orang miskin. Serba kekurangan diri akan sentiasa melihat diri perlunya sentiasa meminta kepada Allah, dan sifat meminta dengan Allah pastinya akan membina hubungan yang dekat antara Allah dengan hamba yang selalu meminta dariNya. Selamat bermuhasabah!

Be the first to comment - What do you think?

Amalan Perubahan Diri (8)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pimpin orang buta melintas jalan

Sering kali anda berjalan menuju mana-mana destinasi, anda akan bertemu situasi orang buta ingin melintas jalan. Si buta selalunya menunggu lama di lampu isyarat untuk lampu hijau untuk melintas ke seberang jalan. Walaupun merah sudah bertukar hijau, tetapi si buta tetap tidak berganjak kerana tidak tahu bilakah pertukaran warna lampu tersebut. Lantas begitu ramai yang lalu lalang di laluan melintas tiada seorang pun yang memegang tangan si buta untuk membawanya ke seberang. Seakan tidak perasan bahawa ada manusia yang berdiri di situ.

Namun si buta tidak meminta sesiapa untuk membawanya ke sana. Hanya menunggu dengan sabar agar terbuka hati mana-mana insan yang lalu di situ membawanya ke seberang. Begitulah realiti kehidupan yang pahit ditelan si buta. Apalah salahnya kita sama membantu si buta tersebut melintas jalan. Bukankah ianya satu tindakan yang mulia. Ramai yang tahu tentang itu. Tetapi kenapa hanya melihat sahaja?

Melihat tongkat di tangan si buta, hati kita mengatakan mereka boleh melakukannya. Sedarkah bahawa di hati mereka begitu takut untuk melintas dalam keadaan begitu. Ini bukan silap mata tetapi takdir Allah jadikannya begitu. Janganlah kita yang celik ini menjadi lebih teruk dari mereka kerana buta hati. Mudah-mudahan kita dapat sama-sama mengamalkan dan cuba mengubah diri kita lebih sensitif terhadap orang lain.

4 comments - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline