Amalan Perubahan Diri (7)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bersihkan surau dan masjid
Hari ini saya lihat surau di kampung ibu mertua saya sudah usang. Namun bila dicat baru wajahnya nampak ceria kembali. Tetapi sewaktu menunaikan solat di situ saya melihat kebersihannya agak tidak terjaga. Saya mula teringatkan kerja yang kita panggil sebagai tok siak masjid. Nampak tugas seorang siak mudah sahaja kerana membersihkan masjid. Membiarkan karpet dalam keadaan bersih dan terjaga.
Dalam hati saya mula mengagumi tugas sebagai siak. Mungkin kerjanya mudah tetapi mengapa tidak ramai yang melakukannya. Adakalanya kita nampak najis cicak di atas karpet masjid tetapi kita membiarkan sahaja walaupun ada keinginan untuk membuangnya.
Pahala bagi mereka yang melakukannya sangat besar di sisi Allah. Kerja tak glamour tapi pahala tetap berjalan selama mana orang lain menggunakan karpet tersebut sebagai tempat solat. Senangnya nak dapat pahala dalam kerja kan? Namun semuanya terpulang pada diri juga. Jika kesedaran tiada, hati tidak akan menyuruh untuk melakukannya sekalipun peluang tersebut di depan mata. Sama-samalah kita cuba beramal untuk bersihkan masjid dan surau.
Tiga Perkara Yang Menghancurkan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
“Ada tiga perkara yang akan menghancurkan. Orang yang menganggap banyak amal perbuatannya, lupa akan dosa yang dilakukannya dan berasa kagum dengan pendapatnya sendiri.” – Muhammad Baqir Ali Zainal Abidin
Apabila anda membaca kata-kata motivasi ini anda mungkin terfikir persamaan dengan pepatah melayu yang berbunyi seperti ‘kaduk naik junjung’ , ‘masuk dalam bakul angkat sendiri’. Apa yang anda fahami? Adakalanya situasi ini akan menghanyutkan kita dengan berangan-angan bahawa kita telah banyak melakukan kebaikan sedang ianya hanyalah angan-angan kita semata-mata.
Menjadi individu yang hebat perlu analisan dan muhasabah diri agar apa yang anda lakukan setiap hari tidak tergolong dalam tiga perkara yang ditulis. Lebih-lebih lagi bergelar jawatan seorang mukin pastinya memerlukan anda menghisab setiap kerja harian yang anda lakukan agar tidak menjadi sia-sia, atau letih saja-saja.
Apa Sumber Inspirasi Anda?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Setiap orang pasti mempunyai sumber inspirasi untuk membina langkah-langkah baru dalam kehidupannya. Sumber inspirasi inilah akan memastikan bahawa dirinya akan berusaha sedaya mungkin ke arah itu untuk berjaya. Segala kudrat akan diperah untuk memastikan impiannya tercapai. Saya pasti anda yang sedang membaca sekarang juga mempunyai sumber inspirasi dalam hidup anda.
Wang ringgit
Ada orang meletakkan wang ringgit sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Meletakkan sasaran jutawan adalah kebanyakkan inspirasi manusia yang ingin berjaya. Oleh kerana itu ramai yang mula meletakkan minda jutawan dalam diri mereka. Tidak salah meletakkan wang sebagai inspirasi untuk berjaya, cuma yang tidak bagus jika kita hilang punca kerana wang. Jangan menjadi hamba kepada wang. Jika berinspirasi untuk membantu orang lain dengan wang itu adalah cara yang paling baik kerana Islam sememangnya mengajak muslim membina kekayaan dengan syarat perlu membantu orang lain.
Pangkat dan jawatan
Sebahagiannya pula meletakkan inspirasi kepada jawatan tinggi dalam kerjaya. Mungkin anda sudah berimpian untuk menjadi CEO pada masa akan datang, atau mungkin Pengurus Besar dalam organisasi anda. Tidak salah juga anda meletakkan posisi itu sebagai inspirasi anda ingin lebih berjaya asalkan anda mengikut cara yang betul dan berusaha keras. Semakin tinggi jawatan yang disandang bermakna anda membina perubahan pada diri anda.
Besarkan empayar
Bagi seorang ahli perniagaan atau ahli korporat, perluasan empayar perniagaan ke serata dunia adalah inspirasi utama. Setiap hari anda akan mencongak bagaimanakah cara untuk melebarkan sayap perniagaan anda. Tidak salah juga anda berinspirasi begini kerana anda akan menjadi contoh kepada dunia. Lebih-lebih lagi anda menjadi seorang korporat sufi yang taat kepada Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim.
Keluarga bahagia
Tapi saya? Saya melihat tiga perkara di atas akan lebih bernilai jika saya berjaya membina keluarga bahagia. Bahkan memang ramai juga orang meletakkan keluarga bahagia sebagai inspirasi utama untuk mereka lebih maju pada masa hadapan. Mungkin tiga perkara di atas mudah untuk anda laksanakan, tetapi mendapat keluarga bahagia bukan semudah diharapkan. Kerana inspirasi inilah ramai yang berusaha gigih ke arah itu. Wang ringgit, pangkat dan empayar perniagaan yang luas belum lagi menjamin kebahagiaan keluarga. Bukankah itu adalah inspirasi yang lebih hebat?
8 Pengajaran Dari Sedekah
Kita selalu mendengar dan juga membaca hadis Rasulullah s.aw yang bermaksud:
“Tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah pemberi dan tangan di bawah adalah penerima.”
Hadis yang ringkas tetapi begitu banyak pengajaran yang dapat kita aplikasikan di dalam kehidupan kita.
Pertama: Jelas sekali bahawa bersedekah sangat dituntut di dalam agama. Sehinggakan kebanyakkan ulama berpendapat sedekah adalah sunat dan diberikan pahala oleh Allah SWT. Dan adakalanya sedekah menjadi wajib apabila kita berhadapan dengan seseorang yang kelaparan dan memerlukan makanan. Dan sedekah menjadi afdal apabila kita bersedekah dengan tangan kanan sehingga tidak disedari oleh tangan kiri.
Kedua: Allah SWT memberikan pengiktirafan kepada mereka yang bersedekah dengan menaikkan darjat mereka. Mereka diiktiraf sebagai tangan yang di atas kerana memberi di atas jalan kebaikan dan sudah pasti diberikan pahala yang berlipat ganda.
Ketiga: Mereka yang memberikan sedekah perlu diingatkan bahawa Allah SWT mengiktiraf mereka sebagai tangan yang di atas jika memberi sedekah dengan ikhlas. Tetapi jika memberi sedekah dengan menyakiti hati penerima, mengeji kesusahan mereka maka Allah SWT juga akan memberikan celaan kepada mereka yang bersedekah.
Keempat: Bersedekah adalah mengikut kemampuan diri. Sekadar yang termampu. Tetapi Allah menggalakkan kita memberikan yang terbaik untuk bersedekah. Yang terbaik bukan bermaksud yang mahal. Yang terbaik yang paling baik berada di sisi kita atau yang paling kita sayangi. Andai sekeping roti adalah yang terbaik ada bersama kita untuk disedekahkan berikanlah saja. Andai RM1 yang terbaik yang ada bersama kita, dermakanlah!
Kelima: Bersegera untuk melakukan kebaikan. Itulah yang digesakan oleh agama kita. Jangan tunggu untuk masa khusus untuk melakukan kebaikan hanya kerana Allah.
Keenam: Bersedekah sebenarnya menunaikan hak orang lain daripada harta kita. Harta kita bukanlah milik mutlak kita. Milik Allah SWT. Jadi tanpa wujud golongan tangan di bawah mana mungkin harta kita dapat dibersihkan.
Ketujuh: Hikmah Allah SWT menjadikan manusia tidak semua kaya dan tidak semua miskin supaya kita dapat bersedekah kepada mereka yang kurang upaya, menambahkan amal kebajikan kita, melatih kita menjadi insan yang pemurah, belajar melihat kesusahan orang lain, sentiasa menyedari kelebihan dan kekurangan diri.
Kelapan: Jangan jadi hamba yang kikir, kedekut atau bahasa yang kasar sedikit sebagai bakhil. Allah SWT tidak suka pada mereka yang bersifat begini.
Membentuk Karisma Dalam Diri (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Seorang pemimpin yang hebat pastinya akan disebut-disebut setiap masa. Batang tubuhnya akan sentiasa dijadikan role model kepimpinan. Pidatonya sentiasa dinantikan untuk membangkitkan semangat orang lain di kala lemah dan tidak bermaya. Gayanya sudah pasti menjadi ikutan manusia sejagat. Akhlaknya akan menjadi acuan kepada perubahan diri. Pendek kata seorang pemimpin berkaliber akan sentiasa diingati sepanjang zaman.
Menjadi seorang pemimpin sebegini bukan usaha mudah. Acuan kepimpinan yang dibinanya bukan setahun dua. Bahkan bermula kehidupannya sudah dibina acuan kepimpinan ini. Jika tidak mana mungkin kredibiliti kepimpinannya begitu terserlah dalam diri.
Rasulullah menjadi seorang pemimpin agung bukan bermula dari kelahirannya. Episod bermulanya karisma dalam diri Rasulullah bermula sejak Nabi Ibrahim alaihi salam lagi. Keturunan Rasulullah yang mulia adalah dari keturunan mulia sudah pastinya akan dilihat oleh orang lain. Dari Rasulullah sehingga kepada moyang baginda bernama Ma’ad bin Adnan merupakan 21 keturunan sebelum sampai kepada Nabi Ibrahim alaihi salam. Keturunan yang hebat pastinya akan disebut-sebut. Keturunan yang dinilai dari ketakwaan kepada Allah SWT, bukan dari banyaknya harta.
Benarlah dalam masyarakat Melayu kita, keturunan adalah sesuatu yang sangat besar nilainya kepada orang lain. Keturunan akan memberikan tanggapan baik kepada keluarga tersebut, dan sudah pasti ianya akan dihormati. Bukankah dihormati dan disegani itu tanda adanya karisma dalam diri mereka. Tetapi sejauh mana kehormatan dan kesucian keturunan itu dijaga maka selama itulah karsima itu wujud dalam diri mereka.
Antara kehebatan dalam bangsa Arab pula, mereka menjaga keturunan mereka dengan baik sekali walaupun mereka menyimpannya secara manual. Zaman yang tidak ada kemudahan teknologi seperti sekarang pastinya sedikit hairan bagaimana mereka menyimpan dan menyampaikannya dari keturunan kepada keturunan yang lain. Bayangkan 21 keturunan dari Rasulullah sehingga kepada Ma’ad bin Adnan kemudian sehingga kepada Nabi Ibrahim alaihi salam bagi saya ia adalah sangat hebat.
Membentuk Karisma Dalam Diri (1)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Anda adalah pemimpin! Saya juga adalah pemimpin. Dan mereka yang lain juga adalah pemimpin. Begitulah Allah Subhanahu Wataala menjadikan kita manusia mempunyai tugas kepimpinan yang berat untuk dilaksanakan. Sungguhpun berat untuk melaksanakannya Allah tetap melantik kita untuk memimpin dunia ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Pastinya manusia berupaya memimpin berdasarkan ayat ini. Namun keupayaan memimpin perlu kita kaitkan dengan karisma dalam diri seorang pemimpin tersebut. Ayuh kita sama-sama perhalusi mengapa Rasulullah s.a.w bertahan begitu lama dalam memimpin umat Islam dahulu? Bahkan sehingga ke hari ini orang Barat dan juga orientalis mengkaji bahawa baginda Rasulullah merupakan pemimpin no.1 dunia paling berpengaruh.
Jelas sekali dari peristiwa sirah Rasulullah menunjukkan karisma yang hebat sehingga baginda disegani lawan dan dihormati oleh kawan. Membentuk karisma adalah elemen penting untuk membina kepimpinan dalam masyarakat. Menariknya usaha anda membentuk karisma dalam diri, secara tidak langsung anda juga menjalankan proses kepimpinan dalam diri. Insya Allah akan dalam entri akan datang saya akan terangkan bagaimana membentuk karisma dalam diri.




