Fiqah Berinteraksi Dengan Non Muslim

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 16-08-2010

1

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Di bulan Ramadhan ini saya ingin berkongsi bahan ilmiah bersama anda yang juga koleksi almari buku saya. Buku karangan Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir yang juga merupakan seorang panelis rancangan Tanyalah Ustaz TV9 Di Hatiku. Bagusnya buku ini kerana membuka minda tentang konsep komunikasi dengan non-muslim. Sehingga hari masyarakat Islam tidak semua yang mempunyai minda terbuka dalam membina hubungan dengan masyarakat non-muslim.

Mengapa begitu? Kerana tiada pengetahuan tentang konsep Islam dalam membina hubungan dengan masyarakat beragama lain. Buku karangan Ustaz Nidzam akan memberikan pemahaman yang baik. Kupasan bukunya juga sangat santai tetapi lengkap dengan hukum-hakam dan pendalilan serta bagaimana kaedah menghormati non-muslim. Paling seronok ia juga dilengkapi dengan ilustrasi.

Isi Kandungan

Bab 1 Fiqah iman dan agama

Bab 2 Fiqah bersaudara, berjiran dan berkawan

Bab 3 Fiqah pemakanan

Bab 4 Fiqah kenajisan anjing

Bab 5 Fiqah pengharaman khinzir

Bab 6 Fiqah pengharaman arak

Bab 7 Fiqah mualamah

Bab 8 Fiqah perubatan

Bab 9 Fiqah aurat

Bab 10 Fiqah perkahwinan

Bab 11 Fiqah siasah

Bab 12 Fiqah menganut agama Islam

Tajuk: Fiqah Berinteraksi Dengan Non Muslim
Pengarang: Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Penerbit: Telaga Biru
Mukasurat:186 halaman
Harga: RM20.00

Tip Menjadi Penulis Bestseller

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 16-06-2010

7

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Lama tidak mengisi koleksi almari buku saya. Alhamdulillah koleksi terbaru baru sahaja saya habiskan satu buku untuk terus memasang minat dalam penulisan. Karya Zamri Mohamad memberikan input padat pada saya bagaimana memulakan potensi dalam penulisan.

Apa yang sangat menarik perhatian saya dalam buku ini ialah beberapa cara dalam menulis, perbandingan penulisan secara linear dan juga menggunakan sistem KJ. Penulisan linear lebih berkualiti dalam penghasilan buku namun dalam ruang kesibukan pastinya penulisan agak terbatas untuk menyiapkan sesuatu karya. Berbanding dengan cara penulisan melalui sistem KJ yang membolehkan anda menulis mengikut mood dan emosi serta idea tanpa mengganggu isi penulisan anda.

Paling penting dalam buku ini disertakan prosedur untuk anda memulakan penulisan sehinggalah buku anda berjaya diterbitkan. Pendedahan anda dengan pihak penerbit juga amat berguna untuk saya sekiranya saya berkesempatan menjadi seorang penulis professional akan datang. Jadi anda juga boleh menjadi seorang penulis sekarang.

Isi Kandungan

Bahagian 1: Potensi Diri Sebagai Penulis Bestseller

  • Mengapa buku bukan fiksyen?
  • Mengapa saya perlu menulis?
  • Kemahuan dan pengetahuan saling seiringan
  • Bestseller bukan sekadar angka
  • Penulisan menjadi wakil rakyat
  • Menjadi penulis bestseller mengikut petua Hamka
  • Small office home office
  • Penyelidikan pasaran
  • Apakah yang pembaca mahu?
  • Persepsi adalah skrip hidup penulis
  • Pendorong menjadikan diriku penulis
  • Musuh dalam selimut penulis bebas
  • Kekurangan adalah bonus kepada penulis
  • Penulis dan pengurusan masa
  • Jangan bunuh peluang
  • Pesan penulis bestseller kepada penulis baru

Bahagian 2: Penulisan Berpengaruh Sepanjang Masa

  • Apakah buku yang sesuai untuk ditulis?
  • Logik Barat dan teknik penulisan secara linear
  • KJ Method untuk penulis sibuk
  • Pen dan kertas masih relevan
  • Jadikan buku karya berpengaruh
  • Merendahkan indeks kabut
  • Adaptasi bukan menterjemah
  • Guna bahasa yang mudah
  • Mengulangi bahan karya
  • Penyuntingan dan semakan
  • Buku adalah tanah milik si peneroka
  • Buku adalah harta intelek yang berkembang
  • Dari catatan blog menjadi buku
  • Blook: Buku catatan dunia siber

Bahagian 3: Pemasaran Karya Kepada Khalayak Pembaca

  • Sediakan kertas cadangan sebelum menulis buku
  • Tip menyediakan kertas cadangan
  • Apabila penulis ditipu penerbit
  • Bedah siasat isi kandungan perjanjian
  • Sumber kejayaan buku dan penulis
  • Penulis, formula kerja jemaah dan inspirasi
  • Tingkah laku penulis memikat hati
  • Hebahkan kelahiran buku pertama
  • Caj karya bestseller dengan kuasa FITRAH
  • Merealisasikan angan-angan menjadi penulis bestseller

Tajuk : Tip Menjadi Penulis Bestseller
Pengarang : Zamri Mohamad
Penerbit : PTS Professional
Mukasurat : 275 Halaman
Harga : RM28.00

Tundukkan Hati

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 06-04-2010

3

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Lama tak berkesempatan menambah bilangan buku dalam almari buku saya di blog ni. Syukurlah kali ini saya sempat berkongsi satu buku menarik untuk minda anda semua. Buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Annual Bakri Haron tentang Tundukkan Hati. Penulisan berhikmah ini saya menarik hati saya untuk membacanya. Secara keseluruhan bukan mudah untuk mendidik hati supaya tunduk kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.

Keseluruhannya buku ini membicarakan tentang bagaimana mengeksploitasikan dunia untuk keuntungan di akhirat. Sederhana dalam mengecapi dunia akan mengajar erti ketundukan hati kepada Allah SWT.

Konsep penulisan buku ini sebenarnya sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja sekalipun anda bukan beragama Islam kerana penulis memberikan konsep kehidupan yang baik untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja. Bagi anda yang ingin memulakan langkah memberikan tazkirah dan kuliah selepas solat amat sesuai kerana susunan isi kandungan berserta dalil disusun mudah dan teratur. Saya sendiri selalu bawa buku ini.

Isi kandungan

Bab 1  – Kejar dunia untuk akhirat
Bab 2  – Berusaha mengejar redha Allah
Bab 3  – Tanda harta yang berkat
Bab 4  – Jangan ikut hawa nafsu, jangan panjang angan-angan
Bab 5  – Ayuh! Pupuk cinta pada akhirat
Bab 6  – Zuhud: Tanda bijaksana
Bab 7  – Nikmat Allah: Ujian bagi yang beriman, laknat bagi yang kufur
Bab 8  – Manfaatkan lima peluang keemasan
Bab 9  – Jangan lupa Allah
Bab 10 – Cari harta untuk manfaat dunia akhirat
Bab 11 – Larangan supaya tidak melampaui batas
Bab 12 – Semua yang dimiliki adalah pinjaman
Bab 13 – Harta dunia: Milik yang sementara
Bab 14 – Cintai harta sendiri, bukan harta milik orang lain
Bab 15 – Jadilah manusia yang kaya jiwa
Bab 16 – Tokoh-tokoh zuhud dalam Islam

Tajuk : Tundukkan Hati
Pengarang : Tn. Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat & Annual Bakri Haron
Penerbit : Anbakri Publika Sdn. Bhd.
Mukasurat : 145 Halaman
Harga : RM15.00

Untukmu Wanita

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 17-02-2010

12

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dua hari lepas sewaktu berada di kampung, saya telah habis membaca buku tulisan Zaharuddin Abdul Rahman berjudul Untukmu Wanita. Rasanya hampir sebulan lebih barulah sempat menghabiskannya. Tuntutan kerja sedikit sebanyak menghalang untuk menghabiskan karya baik ini.

Saya ingin kongsikan sedikit ulasan buku ini kepada anda yang mungkin tercari-cari buku apakah yang ingin dibeli. Ustaz Zaharuddin menulis satu himpunan soalan yang pernah ditanyakan kepada beliau tentang permasalahan berkenaan wanita berkaitan isu-isu kekeluargaan, isu aurat dan tudung dan masalah penceraian dan juga masalah-masalah yang lain.

Apa yang menarik di dalam buku ini permasalahan ini berkaitan dengan isu semasa yang sedikit sebanyak mencabar golongan agama untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Namun didalam buku ini, Ustaz Zaharuddin memberikan penjelasan terperinci pada setiap persoalan yang membolehkan anda semua lebih memahami martabat dan kedudukan wanita yang dipilih oleh Allah sebagai perhiasan dunia. Setiap olahan ayat yang disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin sangat santai dan mudah difahami.

Pastinya buku ini memberikan ilmu yang lebih jelas kepada anda (khususnya wanita) untuk lebih memahami permasalahan wanita di samping anda lebih mendalami kedudukan wanita dalam Islam.

Tajuk : Untukmu Wanita
Pengarang : Zaharuddin Abdul Rahman
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Mukasurat : 214 Halaman
Harga : RM21.00

Cerita-Cerita Motivasi Untuk Pemimpin

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 25-01-2010

4

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Seorang pemimpin adalah individu yang berketrampilan dari pelbagai aspek kehidupan termasuk spiritual, fizikal, emosi, akal dan juga sosialnya. Memimpin memerlukan kekuatan jiwa, barulah boleh membina kepimpinan yang mampu memberi kesan kepada orang yang dipimpin.

Buku Cerita-Cerita Motivasi Untuk Pemimpin ini dipenuhi dengan kisah-kisah yang merupakan sirah Rasulullah dan juga para sahabat sebagai satu inspirasi dalam membina jati diri dan kepimpinan. Buku ini menceritakan 71 kisah yang ringkas dan bagus untuk dibaca. Cuma pada pendapat saya buku ini mungkin tidak berapa diminati oleh anda yang dalam lingkungan 30 tahun ke atas memandangkan ayatnya terlalu mudah dan mungkin ramai yang beranggapan bahawa isinya terlalu ringkas.

Namun pada saya, buku ini amat sesuai untuk anak-anak yang dalam lingkungan 20 tahun ke bawah sebagai pendedahan tentang sirah memandangkan ayat-ayatnya sesuai dan mudah difahami. Kisah-kisah diceritakan secara santai memberikan anak-anak satu bentuk tanggapan baru tentang sirah bahawa ianya sangat mudah dipelajari.

Tajuk : Cerita-Cerita Motivasi Untuk Pemimpin
Pengarang : Dato’ Fadzilah Kamsah & Fauzul Na’im Ishak
Penerbit : PTS Millennia
Mukasurat : 205 Halaman
Harga : RM18.50

Membina Eksekutif Berkarisma

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 19-11-2009

3

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah syukur kepada Allah Subhanu Wataala, walaupun diri dilanda kesibukan saya masih berdaya menghabiskan pembacaan sebuah buku pengurusan. Membina Eksekutif Berkarisma. Kali pertama melihat buku ini di kedai saya terus membelinya. Apa yang dapat saya kongsikan di sini, bagi mereka yang bergelar eksekutif seeloknya membaca buku ini. Penulisan yang penuh dengan pengalaman sebagai seorang eksekutif amat sesuai untuk ditimba pengalaman beliau. Buku ini membincangkan bagaimana untuk menjadi seorang eksekutif yang hebat di kalangan eksekutif.

Apa yang menarik dalam buku ini, Hasfizal Mukhtar menerangkan formula 7P + 10P – P!. Wah! Hebat bukan? Anda faham maksudnya? Memang anda tidak faham sebelum anda membaca buku ini. Formula ini amat diperlukan oleh seorang eksekutif agar lebih berkarisma dan berkredibiliti. Jangan hanya ingat anda bukan seorang eksekutif anda tidak boleh membaca buku ini. Antara isi penting yang disampaikan penulis juga ialah seorang eksekutif perlu tahu kemahiran menyelia dan membina perancangan dalam kerjaya. Dapatkan segera! :)

Daftar Isi Kandungan

Bab 1 Menjadi nombor satu

Bab 2 Formula menjadi cemerlang

Bab 3 Sikap yang unggul

Bab 4 Perubahan sikap

Bab 5 Kepakaran mengawal operasi

Bab 6 Awas Perangkap!

Bab 7 Rumusan

Tajuk : Membina Eksekutif Berkarisma
Pengarang : Hasfizal Mukhtar
Penerbit : PTS Professional
Mukasurat : 122 Halaman
Harga : RM15.50

Tulisan Cerminan Personaliti Diri

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Almari Buku | Posted on 07-11-2009

5

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sesuatu yang menarik untuk saya kongsikan bersama walaupun mungkin perkongsian ini menguntungkan pengarang buku ini. :) Anda pernah membaca buku ini? Bagi mereka yang meminati penulisan Khadijah Ibrahim, buku ini sangat sesuai untuk dibaca. Sebuah buku untuk bacaan santai yang memberikan kemahiran mengenali personaliti diri melalui tulisan.

Alhamdulillah saya sendiri mudah memahami corak personaliti yang ditulis di dalam buku ini. Buku motivasi dengan memberikan anda kemahiran memahami bentuk tulisan dan rahsia di sebalik tulisan anda begitu mengujakan anda.

Buku ini juga disertakan kata-kata motivasi dan contoh-contoh tulisan dari tangan-tangan mereka yang mencipta kejayaan di dunia ini dan menjadi sejarah hebat sehingga kini. Bagi saya ini adalah buku yang harus anda beli untuk meransang diri anda dan potensi diri anda.

Daftar Isi Kandungan

  • Panduan 1: Mengenali tulisan anda dan pengaruhnya
  • Panduan 2: Ciri-ciri positif untuk  berjaya dalam hidup
  • Panduan 3: Ciri-ciri negatif yang perlu diperbaiki untuk berjaya
  • Panduan 4: Rahsia sudah terbongkar

Tajuk:    Tulisan Cerminan Personaliti Diri
Pengarang:    Khadijah Ibrahim
Terbitan:    Al-Ameen Serve Holdings, 2007
Halaman: 184 muka surat
Subjek:   Grafologi
Harga: RM23

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.