Ukur Poket Bila Berbelanja
Shopping adalah hobi oleh kebanyakan golongan awal bekerjaya. Baru dapat memegang duit sendiri pastinya segala kehendak di hati ingin ditunaikan. Dunia alaf baru yang penuh dengan gadjet yang pelbagai pastinya menarik minat sesiapa sahaja untuk memilikinya lebih-lebih lagi anda yang baru dapat berbelanja dengan duit sendiri.
Tahukah anda bahawa di negara kita hampir 45,000 individu yang berumur di bawah 35 tahun di negara ini diisytiharkan muflis sejak tiga tahun lalu berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana anda tidak cermat dalam berbelanja. Muflis di bawah usia 35 tahun adalah satu sikap yang sangat buruk dan boleh menjatuhkan masa depan negara.
Lebih memalukan lagi daripada jumlah tersebut, secara purata 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang ah long. Jika inilah tabiat anda berbelanja, biarpun gaji anda RM3000 ke atas pun anda tetap tidak dapat menampung kehidupan anda.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj menyatakan bahawa kajian awal yang dilakukan oleh FOMCA terhadap 100 individu mendapati golongan tersebut menghabiskan sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak setiap bulan.
Tidak salah untuk memenuhi kehendak diri dalam berbelanja tetapi jangan sampai keperluan pun terabai. Itu tanda anda bukan seorang pekerja yang matang biarpun berjawatan tinggi.
Perbelanjaan Dalam Bidang Pendidikan Terlalu Besar?
Tidak dinafikan pendidikan adalah yang terpenting dalam usaha memajukan negara. Tanpa pendidikan yang baik mana mungkin negara dapat membina tamadun dan membentuk eknomi yang mantap. Untuk itu sudah pasti peruntukkan besar dibelanjakan setiap tahun untuk memastikan proses pendidikan berjalan dengan baik dan berkesan.
Kerajaan dan swasta berganding bahu untuk terus berusaha meningkatkan taraf dan prestasi pendidikan di negara ini. Memetik kata-kata Perdana Menteri dalam akhbar hari ini, langkah sektor swasta mengambil inisiatif untuk memajukan bidang pembelajaran di negara ini amat dialu-alukan kerana kerajaan semata-mata tidak mampu memenuhi semua keperluan pendidikan.
Jika diteliti bukan soal peruntukkan yang perlu dibincangkan, sebaliknya bagaimana peruntukkan tersebut digunakan? Jika jianya dibelanjakan tanpa mendapat satu bahan penyelidikan yang mantap, kerajaan akan terus membazirkan wang untuk pendidikan.
Pendidikan bukan sekadar meningkatkan pelajaran, tetapi soal penting yang tidak ditekankan ialah pembangunan sikap dan nilai dalam diri para pelajar. Inilah yang perlu difikirkan dengan peruntukkan yang digunakan setiap tahun. Zaman cyber pelajar-pelajar mempunyai IQ yang pintar cuma mereka tidak matang untuk berhadapan dengan cabaran dunia sebenar. Lebih-lebih lagi untuk mengharungi hari akan datang.
87,908 Dapat Kerja
Berdasarkan kajian Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lepas, 87,908 graduan mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Jumlah ini menjadikan 50.4% berbanding 45% sahaja pada tahun 2009. Dari penelitian setiap tahun, dari 240,000 graduan yang menamatkan pengajian hanya 24.6% yang gagal mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah memilih pekerjaan, bertukar-tukar pekerjaan dan tidak kurang pula yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kadar pengangguran dunia pada 2009 pula menunjukkan 212 juta kerana krisis global yang berlaku. Bilangan belia yang menganggur di seluruh dunia pula meningkat sebanyak 10.2 juta pada tahun 2009 berbanding 2007, peningkatan terbesar sejak tahun 1991, mengikut kajian tahunan Pejabat Buruh Antarabangsa, Trend Pekerjaan Global.
Di negara kita masih ramai graduan yang memilih kerja mungkin kerana mengejar standard dan mendapat gaji yang besar sedangkan di luar negara senarionya amat berbeza kerana mereka lebih berusaha untuk mendapat pekerjaan kerana peluang yang ada tidak banyak. Persaingan dari graduan yang lain pastinya memaksa mereka untuk tidak memilih pekerjaan.
Pendatang Haram Di Sektor Haram
Laporan daripada Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin atau Program 6P memberikan statistik bahawa 327,991 pendatang asing yang tidak berdaftar bekerja dalam sektor yang tidak dibenarkan kerajaan Malaysia. Ini kerana pekerja warga asing hanya dibenarkan untuk bekerja di negara ini dalam sektor perkilangan, peladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.
Hasil pemantauan menunjukkan bahawa begitu ramai warga asing yang bekerja di sektor perlombongan, bengkel kereta, restoran makanan segera, gerai, nelayan, pengedar surat khabar dan mencuci kenderaan. Bahkan ada di antara mereka yang telah bekerja sendiri dan menjadi majikan kepada orang lain.
Amat menyedihkan apabila gejala ini telah lama dikesan di negara kita tetapi tidak dapat dibendung lantaran isu salah guna pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti. Maka pihak berwajib seperti Jabatan Imigresen perlu segera mencari jalan bagaimana menangani isu ini sebelum jmlah yang sedia ada menjadi lebih ramai. Jumlah pekerja asing di negara kita sudah mencapai 2.4 juta. Jangan terus biarkan warga asing membina empayar kerjaya di tanah air kita sendiri.
Di Mana Kedudukan Guru Agama?
Biasanya guru-guru agama dipandang dalam masyarakat perlu ikhlas sahaja, tak boleh bayar tinggi-tinggi. Adakah kedudukan seorang guru agama begini tempatnya? Bukankah agama Islam adalah agama yang tertinggi, jadi bagaimana pula orang yang mengajarnya kepada orang lain? Tentunya ia satu usaha yang perlu mendapat perhatian dari pihak yang berwajib.
Kenyataan dalam akhbar yang menyatakan bahawa pihak Kerajaan Pusat sedia mengambil alih pembayaran gaji guru sekolah agama naungan beberapa kerajaan negeri supaya setaraf jumlah diterima guru di bawah seliaan Kementerian Pelajaran. Ia sebenarnya adalah perkembangan positif dalam meningkatkan taraf guru-guru agama.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin juga mengumumkan RM7.1 juta disalurkan kepada 35 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).
Jadi lepas ni kepada guru-guru agama perlu berusaha keras untuk memartabatkan anak bangsa sendiri. Berikan komitmen 100% dalam mengajarkan ilmu-ilmu kepada murid-murid yang amat memerlukan nilai-nilai agama untuk kehidupan mereka akan datang.
Pemandu Teksi Warga Asing
Jumlah pemandu-pemandu teksi sekitar Lembah Klang adalah 36,000. Dua puluh peratus daripada jumlah ini adalah pemandu warga asing. Jumlah ini adalah jumlah yang besar kerana pastinya pemandu teksi warga asing sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah-masalah lain. Antara masalah yang berlaku ialah pemandu warga asing ini meminjamkan teksi mereka kepada rakan-rakan untuk mendapat pendapatan sampingan.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/ Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, walaupun pihaknya percaya majoriti pemandu teksi warga asing itu berstatus Penduduk Tetap (PR) dan memiliki permit, mereka mungkin memajak atau meminjamkan teksi kepada rakan senegara yang tiada permit untuk mencari duit poket.
Pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera terhadap isu ini kerana ianya pasti menjejaskan nama negara kerana teksi-teksi ini pastinya dinaiki bukan sahaja dari penumpang tempatan bahkan pelancong-pelancong dari luar negara juga. Sekiranya pemandu-pemandu teksi seumpama ini terus menangguk di air keruh nama baik negara sebagai negara perlancongan juga akan terjejas. Di samping ia juga turut menjejaskan nama baik pemandu-pemandu teksi yang berdisiplin dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Amah Lari Dari Rumah
Salah siapa?
Inilah pertanyaan pertama yang singgah di minda saya apabila membaca isu utama bulan ini banyak berkaitan dengan kerjaya sebagai pembantu rumah yang kebanyakannya didominasi oleh warga Indonesia. Isu ini bukan isu baru tetapi dalam bulan ini sahaja berapa kali akhbar menyatakan tentang isu ini. Cyberita Online Luar Negara dan mStar Online juga turut menyiarkan berita ini.
Satu pihak menyalahkan majikan yang banyak mendera pembantu rumah warga asing yang tidak bayar gaji mereka, mencederakan fizikal dan emosi mereka. Bahkan satu pihak yang lain pula menyalahkan pembantu rumah yang tidak pandai menjalankan kerja sebagai pembantu rumah. Ada juga pembantu rumah yang bertindak sama zalim dengan majikan. Sudahlah proses untuk mengambil pembantu rumah warga asing melalui ejen memerlukan harga yang tinggi, bila dapat pula mereka tidak berkemahiran untuk bekerja.
Sebenarnya isu ini akan berterusan jika hanya mengharapkan pembantu rumah warga asing. Pada pendapat saya sudah tiba masanya kerajaan mula mengkomersialkan bidang kerjaya pembantu rumah yang sangat mendapat permintaan tinggi di kalangan warga bandar kerana tidak dapat menguruskan kediaman secara sepenuh masa. Namun jika negara kita masih mengharapkan warga asing untuk memenuhi bidang kerjaya ini,maka sudah pasti senario ini akan berterusan, dan akan mencetuskan konflik lain pula.

















