Isu Kerjaya

Kurangkan Pekerja Warga Asing

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam akhbar Berita Harian hari ini saya melihat kerajaan mengambil tindakan mengurangkan pekerja asing untuk menguatkan sektor awam di negara ini. Saya pernah memberikan respon tentang isu ini dalam posting Dilema Pekerja Asing yang lalu untuk membayangkan bahawa sepatutnya sudah lama kerajaan Malaysia memikirkan penyelesaian ini.

Jumlah pekerja warga asing yang berdaftar di negara ini menjangkau 1.8 juta, bukanlah satu angka yang kecil jika kerajaan memikirkan masa hadapan negara. Membina transformasi dalam sektor awam seharusnya membina perancangan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti pekerja di sektor awam, supaya kualitinya bukan sekadar dilihat pada perancangan kertas sahaja. Walau bagaimanapun langkah awal untuk mengurangkan pekerja warga asing adalah permulaan yang baik.

Pekerja warga asing sebenarnya juga memberikan kesan positif kepada sektor perkhidmatan dan produktiviti negara, namun dominasi mereka dalam semua lapangan kerjaya pastinya membantutkan potensi tenaga kerja di negara ini. Tenaga pakar dari luar masih diperlukan untuk mencetuskan inspirasi dan inovasi warga kerja Malaysia dalam aspek-aspek tertentu.

5 comments - What do you think?

Anda Tidak Boleh Bekerja Dengan Selesa Apabila..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Adakah anda boleh bekerja dengan selesa apabila..

  • Semua staf tempat anda bekerja buat kerja sendiri-sendiri. Jangankan nak bercakap, jeling kita pun tidak. Suasana di pejabat terasa macam berada di rumah tak berpenghuni. Menakutkan!
  • Lampu dekat pejabat punyalah suram. Nak buat macam mana majikan terlalu berjimat cermat!
  • Bos selalu panggil anda masuk kerana rupa anda yang manis. Hati-hati jangan sampai masuk perangkap bos.
  • Gaji selalu masuk lambat, tetapi kerja pula selalu kena balik lambat.
  • Rumah dengan pejabat punyalah jauh. Kena hadapi jem setiap hari.
  • Kerja yang anda buat sepanjang malam akhirnya bos hanya melihat hasil kerja anda dengan hujung mata.
  • Tiada mentor dari kalangan staf senior yang ingin memberi tunjuk ajar kepada anda.
  • Bertahun-tahun anda bekerja tidak ada satu pun kursus-kursus motivasi dan kemahiran kerja yang anda ikuti. Bagaimana tahap kecekapan nak bertambah?
  • Bos mengarah pandai, tetapi nak ambil hati kita jauh sekali.

1 comment - What do you think?

Jangan Hanya Fikir Untung

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dua hari lepas saya bawa isteri saya yang kurang sihat ke sebuah klinik swasta di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Telah masuk tiga bulan isteri saya mengalami alahan di bahagian hidung (jadi seperti kudis). Antara tanda-tanda lain, selsema dan batuk. Jadi saya pun segera bergegas ke klinik swasta yang berhampiran dengan rumah.

Apabila tiba klinik, selepas proses pendaftaran isteri saya menunggu giliran sambil ditemani oleh saya. Akhirnya tiba giliran isteri saya untuk masuk ke dalam. Selalunya saya akan turut masuk juga tetapi kerana adik saya juga datang menunggu saya, saya teruskan berborak sapai tak sedar dah tiba waktu untuk ambil ubat. Sewaktu ambil ubat saya tengok doktor hanya berikan ubat selsema,antibiotik dan juga Strepsils. Alasan doktor hidung berkudis kerana resdung, Strepsil kerana sakit tekak. Semuanya RM60. Sangat mengejutkan.

Pada saya wang bukanlah masalah besar. Cuma saya terkilan dengan cara doktor menjalankan pemeriksaan terhadap penyakit seseorang pesakit. Begitu mudah. Hanya bertanyakan sakit apa? Kita sebagai orang yang bukan pakar memberikan maklumat dari sudut pengetahuan kita, namun sebagai doktor perlulah diperiksa dengan teliti. Jangan hanya begitu mudah untuk memberikan ubat dan minta kami buat pembayaran. Dengan harga mahal pada hanya untuk ubat selesema, panadol dan juga Strepsil (nak tergelak pun ada, nak marah pun ada).

Paling terkilan kerana masuk untuk pemeriksaan tak sampai 5 minit. Seharusnya seorang doktor jangan ambil mudah untuk berikan pemeriksaan terbaik. Dengan masa pemeriksaan sebegitu bagaimana anda boleh membuat keputusan terhadap pesakit. Tunjukkan profesionalisme sebagai seorang doktor. Pada saya yang hanya berikan ubat tanpa melakukan pemeriksaan dengan teliti bukanlah seorang doktor yang profesional kerana anda menghilangkan kepercayaan pelanggan terhadap diri anda.

12 comments - What do you think?

Pengalaman Seorang Jurutol

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya kongsikan pengalaman seorang jurutol. Semoga kita contohi bersama.

Salam. Saya memang ada pengalaman sebagai jurutol. Walhal saya ada graduan dari IPTA terkemuka. Sebab tak ada kerja, saya setuju jadi jurutol dengan gaji permulaan RM600. Saya setuju bahawa kerja sebagai jurutol memang mudah. Tapi tekanan dari user kadang-kadang menyakitkan hati. Kalau tol mahal, dimarahnya jurutol. Sedangkan bukan jurutol yang tetapkan kadar tol.

Kadang-kadang datang user dalam keadaan marah bertanya “Kenapa tol mahal sangat???” Ikutkan hati nak je jawab, “Dah tahu mahal, kenapa lalu sini??? Cari la jalan tak ada tol”.

Tapi saya tak boleh jawab macam tu sebab kerjaya sebagai jurutol ibarat cerminan kepada syarikat. Nak tak nak terpaksa senyum atau diam saja. Kerja jurutol mental kena selalu bersedia. Pernah ada user membaling duit,  terpaksa kutip macam peminta sedekah. Teringat saya ada user bertanya “Hari-hari mintak duit. Tak ada kerja ker???”. Aduhhh! Sakitnya hati. Tapi terus terang saya tak setuju kalau ada jurutol menggunakan alasan penat yang menyebabkan untuk tidak memberikan ucapan terima kasih mahupun senyuman.

Saya bukanlah seorang bekas jurutol yang baik. Adakala mental saya terusik juga bila user datang memaki hamun dengan bahasa kesat, membaling duit. Tapi saya masih mampu mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih tanpa henti. Sampai terasa kering tekak. Namun ada juga terlepas ucapan dan senyuman pada 3 atau 4 orang user. Bukannya apa, saya cuma fikir hasil dari duit kutipan tol itu lah yang digunakan untuk bayar gaji jurutol. Jadi paling tidak, bersyukurlah dengan ucapan terima kasih.

Tapi itu bukan bermakna user boleh besar kepala bahawa kalau dia orang tak bayar tol maka jurutol tak ada gaji. Sebabnya mereka sudah menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak swasta. Pihak swasta sediakan kemudahan, beli barang bukan dengan daun kering tapi dengan duit. So, kalau dah guna tu, pandai la bayar. Masuk tandas pun kena duit. Lagipun kemudahan lebuhraya ni untuk cepat sampai, jimat masa, jimat minyak. Cuma bayar tol je. Tapi kalau ada tol yang selalu sesak tu, saya no komen la. Mungkin pihak konsesi perlu lakukan sesuatu supaya apa yang user bayar tu berbaloi nilainya.

Kalau nak cerita pasal pengalaman jadi jurutol, sehari semalam pun tak habis. Cuma ini saja yang boleh saya kongsikan. Kini saya tidak lagi bergelar jurutol. Tetapi masih lagi terlibat dalam konsesi lebuhraya di Lembah Klang.

Apa perasaan anda bagi mereka yang memaki hamun dan melemparkan duit kepada jurutol? Berikan komen anda jika anda seorang yang berperikemanusiaan!

14 comments - What do you think?

Facebook Dan Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Laman sosial paling berpengaruh di Malaysia Facebook seakan menjadi sindrom baru kepada rakyat di negara ini. Nak makan tulis di FB, nak jalan-jalan tulis di FB, nak tidur pun tulis di FB. Menggambarkan Facebook umpama fenomena baru untuk membina hubungan dengan orang lain. Satu perkembangan yang sangat baik sebenarnya kepada yang memanfaatnya sebaik mungkin.

Namun sindrom ini akan bertukar menjadi negatif apabila anda merupakan antara mereka yang ekstrim kerana anda tetap melayari laman Facebook sekalipun bekerja. Dan lebih memburukkan apabila masa yang anda gunakan di laman ini melebihi waktu kerja anda. Sudah pasti kerja banyak tidak disiapkan dengan sempurna. Kualiti kerja anda juga akan merosot kerana anda mula fokus pada laman FB.

Mungkin ramai mengatakan itu terpulang pada individu. Jika dapat mengurusnya dengan baik maka tiada sebab kualiti kerja merosot. Tetapi jika anda buka FB pada waktu kerja anda akan dapati ramai sekali mereka yang online. Jika ianya atas urusan kerja pada saya itu satu perkembangan yang baik. Tetapi jika sebaliknya akan memberikan kesan tidak baik juga pada diri, kerjaya dan organisasi.

10 comments - What do you think?

‘Kabel’ Jejaskan Visi Kerajaan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya tertarik dengan satu tajuk akhbar kelmarin tentang bidang perguruan. Dalam situasi hari ini makin ramai para guru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak tidak mahu melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik di sana. Ramai juga di antara mereka menggunakan ‘kabel’ dalaman atau pengaruh golongan tertentu untuk menukarkan mereka dan memastikan mereka tidak ditugaskan ke sana. Apa pendapat anda?

Sebenarnya saya rasa terpanggil juga kerana dalam hati saya, kerjaya sebagai guru bukan untuk mencari populariti dan nama. Bukan hanya kerana nak dapat cuti yang panjang. Jika anda telah memilih sebagai kerjaya sebagai seorang guru tidak dapat tidak anda perlu fahami bahawa anda membawa tugas besar untuk bangunkan minda masyarakat. Andalah yang akan memberikan ilmu dan pendidikan kepada mereka.

Sebenarnya visi seorang guru ada persamaan juga dengan visi para Rasul di mana anda membangunkan minda anak-anak bangsa dari kejahilan. Bayangkan berapa ramai anak-anak di pedalaman Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan bantuan anda. Bahkan anda terpilih untuk melakukannya. Namun hati saya juga menyuarakan kesedihan jika fenomena ini berterusan maknanya kredibiliti para guru akan datang akan mula dipandang rendah oleh masyarakat.

Kerjaya guru bukan mudah. Saya tidak pelik bahawa setiap orang inginkan keselesaan di tempat kerja. Jika anda ingin bertukar sekalipun, alangkah baiknya ambil pengalaman terlebih dahulu supaya anda lebih matang dalam bidang kerjaya anda.

7 comments - What do you think?

Penguasaan Wanita Dalam Perkhidmatan Awam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sama anda sedari atau pun tidak, hakikat penguasaan wanita di akhir zaman ini amat ketara dalam apa jua aspek. Lihat saja di IPTA dan IPTS pada hari ini, semuanya dikuasai oleh wanita. Jumlah wanita yang ramai menyebabkan persaingan yang tinggi antara lelaki dan wanita. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dan Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melaporkan kebimbangan berikutan bertambahnya bilangan penjawat awam wanita dalam sektor perkhidmatan awam. Hampir 3/4 bahagian pegawai tadbir dan diplomatik telah diisi oleh wanita.

Bahkan menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam nisbah guru lelaki dan wanita sekarang adalah 30:70, menunjukkan bahawa begitu ramai golongan wanita mendapat tempat sebagi guru.

Memandang situasi ini, adakah wanita berupaya mentadbir organisasi dengan baik untuk kemajuan dan kestabilan di masa akan datang? Inilah sebahagian isu yang dibimbangkan oleh Cuepacs jika pertambahan ini akan meningkat lagi pada masa akan datang, terutama dalam peringkat pembuat keputusan. Jika sektor perkhidmatan awam dikuasai wanita lama kelamaan peringkat ini juga akan diambil alih oleh pihak wanita.

Dari pemikiran saya penguasaan wanita di sektor ini mempunyai pro dan kontra, positif dan negatif juga. Namun keupayaan kepimpinan wanita juga tidak boleh dipertikaikan juga. Jumlah wanita yang ramai dalam dunia pastinya akan mewujudkan persaingan besar dengan golongan lelaki pada hari ini.

7 comments - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline