Facebook Dan Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Laman sosial paling berpengaruh di Malaysia Facebook seakan menjadi sindrom baru kepada rakyat di negara ini. Nak makan tulis di FB, nak jalan-jalan tulis di FB, nak tidur pun tulis di FB. Menggambarkan Facebook umpama fenomena baru untuk membina hubungan dengan orang lain. Satu perkembangan yang sangat baik sebenarnya kepada yang memanfaatnya sebaik mungkin.
Namun sindrom ini akan bertukar menjadi negatif apabila anda merupakan antara mereka yang ekstrim kerana anda tetap melayari laman Facebook sekalipun bekerja. Dan lebih memburukkan apabila masa yang anda gunakan di laman ini melebihi waktu kerja anda. Sudah pasti kerja banyak tidak disiapkan dengan sempurna. Kualiti kerja anda juga akan merosot kerana anda mula fokus pada laman FB.
Mungkin ramai mengatakan itu terpulang pada individu. Jika dapat mengurusnya dengan baik maka tiada sebab kualiti kerja merosot. Tetapi jika anda buka FB pada waktu kerja anda akan dapati ramai sekali mereka yang online. Jika ianya atas urusan kerja pada saya itu satu perkembangan yang baik. Tetapi jika sebaliknya akan memberikan kesan tidak baik juga pada diri, kerjaya dan organisasi.
‘Kabel’ Jejaskan Visi Kerajaan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya tertarik dengan satu tajuk akhbar kelmarin tentang bidang perguruan. Dalam situasi hari ini makin ramai para guru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak tidak mahu melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik di sana. Ramai juga di antara mereka menggunakan ‘kabel’ dalaman atau pengaruh golongan tertentu untuk menukarkan mereka dan memastikan mereka tidak ditugaskan ke sana. Apa pendapat anda?
Sebenarnya saya rasa terpanggil juga kerana dalam hati saya, kerjaya sebagai guru bukan untuk mencari populariti dan nama. Bukan hanya kerana nak dapat cuti yang panjang. Jika anda telah memilih sebagai kerjaya sebagai seorang guru tidak dapat tidak anda perlu fahami bahawa anda membawa tugas besar untuk bangunkan minda masyarakat. Andalah yang akan memberikan ilmu dan pendidikan kepada mereka.
Sebenarnya visi seorang guru ada persamaan juga dengan visi para Rasul di mana anda membangunkan minda anak-anak bangsa dari kejahilan. Bayangkan berapa ramai anak-anak di pedalaman Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan bantuan anda. Bahkan anda terpilih untuk melakukannya. Namun hati saya juga menyuarakan kesedihan jika fenomena ini berterusan maknanya kredibiliti para guru akan datang akan mula dipandang rendah oleh masyarakat.
Kerjaya guru bukan mudah. Saya tidak pelik bahawa setiap orang inginkan keselesaan di tempat kerja. Jika anda ingin bertukar sekalipun, alangkah baiknya ambil pengalaman terlebih dahulu supaya anda lebih matang dalam bidang kerjaya anda.
Penguasaan Wanita Dalam Perkhidmatan Awam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sama anda sedari atau pun tidak, hakikat penguasaan wanita di akhir zaman ini amat ketara dalam apa jua aspek. Lihat saja di IPTA dan IPTS pada hari ini, semuanya dikuasai oleh wanita. Jumlah wanita yang ramai menyebabkan persaingan yang tinggi antara lelaki dan wanita. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dan Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melaporkan kebimbangan berikutan bertambahnya bilangan penjawat awam wanita dalam sektor perkhidmatan awam. Hampir 3/4 bahagian pegawai tadbir dan diplomatik telah diisi oleh wanita.
Bahkan menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam nisbah guru lelaki dan wanita sekarang adalah 30:70, menunjukkan bahawa begitu ramai golongan wanita mendapat tempat sebagi guru.
Memandang situasi ini, adakah wanita berupaya mentadbir organisasi dengan baik untuk kemajuan dan kestabilan di masa akan datang? Inilah sebahagian isu yang dibimbangkan oleh Cuepacs jika pertambahan ini akan meningkat lagi pada masa akan datang, terutama dalam peringkat pembuat keputusan. Jika sektor perkhidmatan awam dikuasai wanita lama kelamaan peringkat ini juga akan diambil alih oleh pihak wanita.
Dari pemikiran saya penguasaan wanita di sektor ini mempunyai pro dan kontra, positif dan negatif juga. Namun keupayaan kepimpinan wanita juga tidak boleh dipertikaikan juga. Jumlah wanita yang ramai dalam dunia pastinya akan mewujudkan persaingan besar dengan golongan lelaki pada hari ini.
Kerja Banyak, Masa Tak Cukup!
Emel dari Zuhrina
Saya bekerja di sektor kerajaan dan latar belakang kerjaya saya banyak menuntut deadline dan juga banyak berurusan dengan peguam dan juga orang awam. Selain daripada itu saya juga telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang sedang membesar ( umur 3 tahun ).
Saya tidak mempunyai orang gaji di rumah di mana segala tugasan di rumah saya lakukan sendiri. Suami saya seorang yang sangat sibuk di tempat kerjanya ( swasta ). Oleh kerana masa yang tidak mencukupi di pejabat, saya akan membawa balik tugasan di pejabat ke rumah tetapi ia sebenarnya telah memburukkan keadaan di mana apabila saya perhatikan, anak saya akan memberontak untuk mendapat perhatian dan keadaan rumah juga tidak berapa terurus. Saya tidak mengambil orang gaji kerana saya tidak percayakan mereka.
Disebabkan itu tekanan di rumah akan terbawa sehingga ke pejabat. Begitu juga sebaliknya . Bolehkah En. Asrul memberi saya idea atau panduan bagaimana untuk menangani masalah ini ? Sekian, terima kasih. ( Saya juga amat meminati blog ini kerana memberikan saya inspirasi untuk menjadi majikan dan pekerja yang cemerlang ).
Respon saya
Terima kasih kepada Puan Zuhrina kerana sokongan kepada blog ini. Kehidupan kita tidak akan terlepas dari masalah. Itulah kehidupan. Kerjaya puan jelas sekali menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi. Lebih-lebih kagi berurusan dengan peguam sudah pasti memerlukan appointment dan juga kerja perlu diselesaikan mengikut due date yang diberikan. Bertangguh kerja bermakna setiap hari berkemungkinan puan akan mengalami tambahan bebanan kerja.
- Puan perlu merancang kerja dengan sebaik mungkin. Saya pasti puan sudah melakukan pengurusan masa dan kerja. Namun mungkin perlu diubah sedikit berdasarkan apa yang utama puan perlu lakukan. Andai 2-3 kerja yang boleh diselesaikan segera puan perlu selesaikan segera. Dalam urusan sebegini puan memerlukan target kerja untuk disiapkan dalam satu hari. Insya Allah saya tidak katakan puan boleh selesaikan semuanya sekaligus. Tetapi andai puan dapat menyelesaikan target kerja pada hari itu saya pasti puan lebih lega.
- Kurangkan masa-masa terbuang ketika bekerja. Antaranya kurangkan jumlah waktu makan tengah hari, masa berbual sebelum puan selesaikan target kerja.
- Tulis dengan teliti apa yang puan perlukan untuk selesaikan kerja puan. Saya pasti kerja yang melibatkan peguam sudah pasti memerlukan dokumen-dokumen tertentu untuk dibawa bersama. Tertinggal dokumen ketika diperlukan juga akan membuatkan puan tertekan.
- Minta bantuan segera pada rakan kerja yang dapat menyelesaikan masalah yang puan tidak dapat selesaikan. Ianya sangat membantu.
- Menjadi isteri adalah tanggungjawab 24 jam kepada suami dan anak-anak. Jika perlu jangan selalu bawa kerja pejabat pulang ke rumah. Anak puan berusia 3 tahun memang memerlukan perhatian lebih dari puan. Menyiapkan target kerja akan membantu puan mendapat masa bersama anak dan suami.
- Ambillah juga ruang pada waktu malam untuk solat istikharah dan hajat sebagai jalan terakhir memohon Allah bantu kuatkan semangat dan tenangkan hati.
Saya juga buka ruang pada anda semua untuk memberikan idea bernas dengan ikhlas. Setiap kebaikan yang diberikan dengan ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah.
Sejarah Wanita Islam Bekerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekalipun di zaman Rasulullah sollallahu alaihi wasalam tidak banyak wanita bekerja di luar kwasan rumah, namun sebahagiannya tetap bertugas kerana kemahiran yang ada pada diri mereka menyebabkan mereka diperlukan untuk bekerja di luar kawasan mereka.
- Ummu Atiyah bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawat pejuang-pejuang lelaki yang cedera di medan perang dan juga menyediakan makanan untuk mereka.
- Rufaydah Al-Aslamiyyah adalah doktor wanita Islam pertama yang Nabi sediakan sebuah khemah khas di Masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang-pejuang Islam yang cedera ketika peperangan Khandaq.
- Ar-Rabaiyyi binti Muawwiz dan Ummu Sulaim yang bertugas di luar rumah sebagai pemberi makanan dan minuman kepada pejuang-pejuang Islam.
- As-Shifa’ binti Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita Islam membaca dan menulis ketika Nabu Muhammad masih hidup.
- Ummu Mihjan pula bertugas sebagai pembantu membersihkan Masjid Nabi.
- Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa’ dalam menjalankan tugas-tugas sebagai al-hisbah atau auditor syariah di pasar ketika itu bagi memastikan segala urusan yang dijalankan menepati Syariah.
Kerana Kegawatan Ekonomi, Bekerja Sebagai Penolak Troli
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya kongsikan pengalaman yang saya terima melalui emel.
Seorang penolak troli gigih bekerja. Dari warna kulit dan wajah, jelas berbangsa melayu. Bukan Nepal atau Burma. Bangsa sekulit dengan aku. Usia tidak muda dan tidak juga tua. Agaknya dalam lingkungan 30an. Benar2 mengerah keringat dan kudrat menolak tidak kurang 30 troli sekali lalu.. Peluh memercik, jelas di mukanya. Setelah selesai dia tiba-tiba tersenyum bila merasakan ada mata yang sedang melihat dia bekerja tadi. Sebagai menghargai, aku balas senyuman sambil menghampiri beliau.
Dah lama kerja kat sini ? tanyaku sambil menghulur tangan untuk berjabat tanda awal memula perkenalan. baru lagi bang. Baru 2 bulan. Oh, jawabku ringkas. Sebelum ni? Kerja kilang bang! Di mana? Di Pulau Pinang. Kilang tutup nasib baik dapat kerja kat sini. Alhamdulillah, itupun terpaksa menganggur lebih 5 bulan tanpa kerja tetap.
Dari riak wajah, aku tahu dalam jiwanya terpamer azab kehilangan pekerjaan. Macamana kerja baru ni ok ke tak ok? Aku menyoal lagi. Dia diam seketika, kemudian bersuara. Kerja kuli bang! Nak kira ok tu ok juga, cukup buat beli susu anak bang! Berapa syarikat ni bagi sebulan? Banyak benar pertanyaan dari mulut aku ni untuk dia. Hmm..campur overtime 12 jam kerja sehari dari pukul 10 pagi sampai 10 malam, dapatlah RM800 sebulan. Banyak tu? aku cuba menduga. Banyak ker? Cukuplah untuk sara anak bini. Katanya ringkas. Hampir 10 minit aku luangkan masa untuk berbual dengan beliau, Halim namanya, ayah kepada 3 orang anak, 2 dah masuk sekolah rendah dan seorang lagi baru berumur 3 tahun. Tinggal di rumah sewa dengan sewaan RM250 sebulan. Agak perit bagi Halim, aku dapat rasa dengan gaji sebanyak itu. Apa nak buat walaupun dia mempunyai Sijil dari Politeknik Ungku Omar, tapi yang jelas pekerjaan beliau kini sebagai ‘penolak troli’. Jika dahulu ketika bekerja kilang, sebagai juruteknik setiap bulan kurang-kurang pun dia boleh dapat RM1600 sebulan. Separuh dari pendapatannya hilang kerana masalah ekonomi sekarang.
Nak salahkan siapa? Anda rasa?
Mengapa Bekerja Perlu Berpakaian Kemas?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
motivasi-kerja.com/wp-content/uploads/2009/12/blazer.jpg" alt="blazer" width="268" height="403" />Satu soalan mudah saya tanya pada anda? Tetapi saya tujukan soalan ini bagi mereka yang bekerja memerlukan penampilan yang kemas sahaja. Tidak adik pula jika soalan ini ditujukan pada semua kan? Saya sengaja tanyakan soalan ini memandangkan sebahagian daripada kita mungkin agak tidak mengambil berat dengan perkara seumpama ini.
Pakaian kemas menunjukkan perbezaan profesion anda
Perasan atau tidak bukan semua kerja memerlukan anda berpakaian kemas. Contohnya jika anda seorang buruh kasar, nelayan atau pesawah sudah pasti tidak memerlukan pakaian kemas seumpama ini. Jadi jelas sekali pakaian kemas menjadi satu perbezaan anda dengan pekerjaan lain. Jadi mengapa tidak mahu berpakaian kemas. Sakit juga mata anda memandang jika seorang pengarah atau pegawai tidak menjaga penampilannya bukan?
Pakaian kemas menunjukkan kredibiliti
Wah! Bagaimana kredibiliti dilihat dari penampilan? Apa pandangan anda apabila anda melihat dua orang yang anda tidak kenali tetapi mereka mempunyai penampilan yang berbeza. Seorang lelaki berstatus bos tetapi berpakaian selekeh dengan baju berkedut dan seorang lagi hanyalah kerani biasa tetapi berpakaian kemas dan bertali leher. Siapakah yang anda lihat lebih hebat? Sejujurnya dari penampilan mungkin anda akan meletakkan seorang kerani tadi adalah bos bukan? Itulah yang saya maksudkan sebagai kredibiliti.
Pakaian menunjukkan prestij di mana anda bekerja
Prestij berbeza dengan kredibiliti. Apa pandangan anda melihat satu kelompok tentera yang sedang berjalan dengan pakaian seragam berkawad kaki dengan teratur di hadapan anda? Pastinya anda akan rasa kagum melihat mereka. Jika dilihat pada gaji seorang tentera mungkin tidaklah sehebat golongan profesional sekalipun pengorbanan tentera dalam keamanan negara lebih besar. Namun mengapa ada orang suka kerjaya sebagai tentera? Sebahagiannya kerana pakaian tentera itu sendiri menunjukkan prestij yang tersendiri. Prestij boleh menjadikan kerjaya tersebut popular di mata orang lain.











