Kata-Kata Motivasi

Lakukan Lebih Dari Kemampuan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Jika anda menginginkan sesuatu yang belum pernah anda miliki, anda harus bersedia melakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan - Thomas Jefferson

Besar maknanya jika anda memegang kata-kata ini dan aplikasikan dalam kehidupan anda. Baru semalam Malaysia meraikan kemenangan sulong untuk Piala AFF Suzuki selepas menanti 14 tahun. Apa yang paling menggembirakan ialah membenam kembali musuh tradisi Indonesia dalam dua perlawanan akhir.

Tiada yang mustahil sebenarnya untuk mencapai perkara di luar jangkauan sekiranya menggandakan usaha lebih dari biasa. Kemenangan manis semalam adalah usaha yang dilakukan lebih dari kemampuan. Mana mungkin Malaysia dapat menjulang Piala AFF Suzuki jika hanya berusaha pada kadar biasa.

Usaha tangga kejayaan. Itu adalah kata-kata yang bernas untuk diri. Tetapi yang tersiratnya jika anda berusaha untuk 50% kejayaan maka Allah SWT akan memberikan apa yang anda usahakan sahaja. Apabila mengharapkan sesuatu yang gempak berlaku dalam kehidupan anda maka berusahalah dengan cara yang di luar kebiasaan diri.

2 comments - What do you think?

10 Keutamaan Menghubungkan Ukhuwah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Menjaga dan menghubungkan ukhuwah amat dituntut dalam agama. Tidak kira anda di tempat kerja, dalam keluarga dan juga bersama sahabat handai, ukhuwah silaturahim mesti dijaga. Saya memetik wasiat Imam Syafie bahawa orang yang menjaga ukhuwah akan mendapat 10 keutamaan:

  1. Mendapat keredhaan Allah kerana Allah amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah, begitu juga penduduk langit.
  2. Menggembirakan para Malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah.
  3. Dapat menambahkan pahala amalnya setelah ia meninggal kelak.
  4. Dapat menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan seharian.
  5. Rezeki bertambah dan berkat.
  6. Allah SWT melanjutkan usianya.
  7. Menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.
  8. Disegani dan dihormati dalam masyarakat.
  9. Dapat menggembirakan jenazah yang berada di alam barzakh.
  10. Dapat membina kegembiraan kepada kedua belah pihak, tiada amalan yang lebih baik melainkan menggembirakan hati orang-orang yang beriman.

2 comments - What do you think?

Bangunkan Karektor Diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Jadilah orang yang lebih memperhatikan karektor daripada reputasi, kerana karektor adalah siapa anda sebenarnya, sedangkan reputasi adalah bagaimana orang lain berfikir tentang anda.” – John Wooden

Jangan mula menilai seseorang dengan hanya reputasinya sebaliknya lihat siapa diri seseorang tersebut melalui karektornya. Nilai pada dirinya berada pada karektor. Karektor merangkumi sikap, disiplin dan jati diri seseorang. Jika bagus maka reputasi baik akan mudah terbentuk. Namun jika sebaliknya orang lain akan meletakkan reputasi buruk terhadap dirinya.

3 comments - What do you think?

Jangan Boroskan Masa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Jangan tunda sampai hari esok apa yang semestinya boleh dikerjakan hari ini.”

“Jika waktu kita anggap sebagai sesuatu yang sangat berharga maka membuang waktu secara sia-sia seharusnya adalah pemborosan yang paling merugikan.” – Benjamin Franklin

Apabila membicarakan tentang masa ini, teringat teka-teki Imam Ghazali kepada muridnya “Apakah yang paling jauh dengan kita? Jawapannya adalah masa lalu. Jam 10.10 malam pada tanggal 14 November 2010 tidak akan kembali lagi untuk selama-selamanya. Walaupun satu saat masa yang telah pergi tidak akan kembali menemui anda.

Kehidupan dan masa adalah sangat rapat. Jika hidup tanpa menghargai masa adakah hari esok akan lebih baik dari hari ini? Masa adalah jalan lurus yang perlu anda lalui. Tanpa perancangan masa yang baik dan tepat khuatir anda akan terperangkap dengan masa. Terperangkap dengan erti kata, anda terbeban dengan kerja, anda tidak mengutamakan apa yang penting, dan banyak masa anda habiskan dalam keadaan anda tidak tahu apa yang perlu dibuat.

Inilah yang dikatakan anda boros dengan masa. Anda tidak menggunakan masa pada tujuan dan kerja yang betul. Akhirnya apabila masa berlalu barulah anda merasakan kerugian. Tetapi ketika itu hati hanya menyesal kerana masa yang pergi tidak akan kembali lagi.

3 comments - What do you think?

Prinsip Akhlak Dalam Bekerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja. Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir. Dengan jalan menambah kecerdasan akal,bertambah murnilah kemerdekaan berfikir.” - Hamka

Kata-kata nasihat dari Hamka sangat dalam jika difikirkan. Betapa akhlak dapat membantu seseorang pekerja berada di atas landasan profession yang betul dan berintegriti. Kerja dengan akhlak tidak akan timbul persoalan tentang curi masa, tuang kerja, kerja sambil lewa, tugasan tertunggak dan pelbagai sifat negatif yang lain kerana akhlak meliputi etika kerja secara automatik.

Akhlak bukan sahaja menjaga peribadi anda dalam bekerja, bahkan akhlak yang baik adalah tanda hubungan anda dengan Allah dan hubungan anda dengan manusia juga dijaga dengan baik.

1 comment - What do you think?

Empat Kategori Manusia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Orang-orang yang sependapat denganku dalam empat kategori tetapi perbuatan mereka berlawanan:

  1. Mereka mengaku sebagai hamba Allah tetapi berbuat seperti orang yang bebas.
  2. Mereka mengaku Allah menjamin rezekinya tetapi hati mereka tidak tenang bila tidak ada kekayaan di tangannya.
  3. Mereka mengaku bahawa akhirat lebih baik dari dunia tetapi mereka hanya mengumpulkan harta untuk dunia semata-mata.
  4. Mereka mengaku bahawa mereka pasti mati tetapi mereka berbuat seperti orang yang tidak akan mati selamanya.

(Syaqiq bin Ibrahim)

Be the first to comment - What do you think?

Kredibiliti Akhlak Dalam Kepimpinan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Sifat utama pemimpin ialah beradab dan mulia hati.” – Imam Al-Ghazali

Antara kredibiliti utama seorang pemimpin selain dari ilmunya ialah akhlak dan kemuliaan hati. Akhlak yang baik dengan sendirinya menjadi cermin kepada orang lain sejauh mana ketinggian dan karismanya dalam memimpin. Lihatlah pemimpin berpengaruh dunia, Muhammad adalah qudwah sebagai pemimpin berakhlak dan berhati mulia.

Hari ini pelbagai teori kepimpinan yang anda boleh baca baik dalam buku versi Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Semuanya membincangkan panjang lebar hanya berpaksikan kepada akhlak dan nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh individu.

Hamka memberikan pendapat bahawa orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain,walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu. Lantas itulah yang perlu difikirkan oleh anda yang bergelar pemimpin.

Bahasa Melayu

1 comment - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline