Mencari Keredhaan Allah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Hari ini saya ingin memetik hadis Rasulullah s.a.w sebagai kata-kata motivasi yang amat bermakna untuk kita renungi bersama.
“Harta yang ada di tangan manusia ibarat sebuah peti besi. Dan setiap peti besi itu ada kuncinya. Nyata bahagia bagi setiap manusia yang diberikan kunci untuk melakukan kebajikan dan ditutupi pintu kejahatan. Nyata celaka bagi manusia yang diberikan kunci untuk melakukan kejahatan.”
Begitulah melimpahnya nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Pelbagai nikmat besar yang telah diberikan untuk manusia lebih selesa menikmat kehidupan di dunia walaupun sementara. Namun di sebalik anugerah nikmat ini, Allah SWT juga menunjukkan jalan sebagai pilihan kepada manusia. Jika pilihannya baik maka ia akan mendapat keredhaan Allah, tetapi jika pilihannya tidak baik maka ia akan mendapat kemurkaan Allah.
Apabila mendapat nikmat berupa pangkat dan jawatan, kenaikan gaji, keuntungan dalam perniagaan, syarikat anda mula dikenali, anda juga mula mendapat nama pastinya hati adakalanya berbisik untuk lalai dari amanah Allah SWT. Lantas apabila kelalaian ini mengheret kita jauh dari jalan Allah maka, pangkat kita menurun, peniagaan pula rugi, gaji tidak dinaikkan kita mula menyalahkan orang lain sedangkan hati kita sebenarnya lalai dan leka dengan kehidupan ujian ini. Mudah-mudahan saya dan anda semua sama-sama mendapat pengajaran menarik dari kata-kata motivasi ini.
Betulkan Niat Anda Bekerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mengejar dunia dengan tujuan mengelak daripada meminta-minta dan menjaga dunia anak isterinya daripada memakan harta curi, harta samun dan sebagainya, dan dengan tujuan menjaga hubungan jiran tetangga, dia akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan keadaan wajah yang berseri-seri umpama bulan purnama…”
Setiap hari paling kurang lima kali kita memperbaharui dan mengingatkan niat kita kepada Allah Subhanahu Wataala dalam doa iftitah. Dalam doa ini kita memperingati diri kita bahawa tujuan utama kita di dunia ini adalah untuk Allah Yang Maha Esa.
Dalam bekerja juga kita perlu lakukan tajdid niat agar kita tidak bekerja kerana sesuatu yang tidak baik. Niat kita semasa bekerja harus suci dan bersih bagi mendapat keberkatan dalam setiap gerak geri, idea, tenaga dan masa yang dicurahkan untuk organisasi. Hadis ini antara intisari utamanya menggalakkan kita berusaha untuk memajukan diri sendiri dan elakkan diri dari meminta-minta dari orang lain selagi anda mampu berusaha. Allah tidak suka pada mereka yang mengharap kasihan belas orang lain untuk menikmati kehidupan.
Sukarnya kehidupan hari ini tidaklah sukar sebagaimana zaman Rasulullah. Bahkan zaman penjajahan Jepun ke atas negara kita rasanya jauh lebih ngeri dan sukar untuk dibandingkan. Namun orang-orang tua di zaman itu mampu membesarkan kita tanpa kasihan belas orang lain, di mana pula maruah kita sehingga membiarkan diri kita tidak mahu berusaha langsung.
Perbaiki Kebolehan Diri
“Kejayaan itu sebenarnya adalah berkenaan diri kita sendiri bukan apa yang kita miliki. Mereka yang telah berjaya, bekerja untuk mengetahui apakah kebolehan mereka, kemudian memperbaiki kebolehan mereka dan akhirnya menggunakan kebolehan mereka untuk memberi manfaat kepada orang lain dan diri mereka sendiri.” – Tom Morris
Apa yang anda dapat dari kata-kata motivasi ini? Rupa-rupanya mereka yang sentiasa memperbaiki diri adalah mereka yang mendapat kejayaan yang mereka idamkan selama ini. Mengenali diri secara tidak langsung anda menyedari perlunya rasa kekurangan dalam diri. Lantas dari kekurangan itu anda memulakan perubahan dan menambah baik kemahiran yang tidak dapat dikuasai sepenuh sehinggalah anda mampu menguasainya. Memperbaiki diri akan meletakkan diri anda dalam proses penyempurnaan diri. Walaupun hakikat manusia tidak ada yang sempurna, namun sebagai hamba Allah kita perlu berusaha untuk memastikan diri kita sebaik mungkin berada di atas landasan Allah Subhananu Wataala.
Peluang Akan Sentiasa Wujud
“Ketika satu pintu tertutup, pintu lain terbuka. Namun terkadang kita melihat dan menyesali pintu tertutup tersebut terlalu lama sehingga kita tidak melihat pintu lain yang telah terbuka.” – Alexander Graham Bell
Indah sekali susunan maksudnya. Setiap kali anda menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan masalah, sebenarnya anda boleh keluar dari situ. Cuma kadang-kadang kesusahan dan kesukaran menghalang pemikiran anda untuk mencari penyelesaian masalah. Akhirnya anda terperangkap dalam situasi yang semakin kusut dan membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang terlintas ketika itu.
Percayalah bahawa peluang menyelesaikannya sentiasa terbuka. Apa yang perlu anda lakukan anda cuma memerlukan sedikit kesabaran untuk berfikir di luar kotak pemikiran agar jalan penyelesaiannya lebih baik dan terbuka. Kelemahan kita, mungkin kita tidak perasan sebenarnya masalah kita sudah mampu diselesaikan dengan mudah. Mungkin kerana pengalaman hidup yang beronak duri menjadikan kehidupan lebih sukar untuk difikirkan bagaimana menyelesaikannya. Apabila setiap hari membuat keputusan dalam acuan yang sama sudah semestinya corak pemikiran dan cara menyelesaikan masalah bukan yang terbaik.
Jangan kalah dalam berfikir. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Peluang kedua pasti akan sentiasa ada jika anda terus memikirkannya dan berdoa kepada Allah agar diberikan peluang tersebut. Jangan fikir putus asa jika anda belum mula berfikir untuk menyelesaikan masalah anda.
Mengenali Potensi Diri (4)
“Jika seseorang mempunyai bakat tetapi tidak menggunakannya, ia gagal. Jika ia mempunyai bakat tetapi menggunakan sebahagiannya sahaja, ia gagal pada bahagian yang lain. Jika dia mempunyai bakat dan belajar menggunakan sepenuhnya maka ia mendapat kemenangan dan kebahagiaan yang hanya dilihat oleh mereka yang sedikit.” – Thomas Wolfe
Sebelum anda membaca entri ini, seeloknya anda membaca entri saya tajuk yang sama siri ketiga. Bakat dan potensi yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala secara istimewa sejak dilahirkan tidak diperolehi oleh semua insan. Tetapi bakat dan potensi tetap dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua. Sama anda menyedari atau tidak sahaja bagaimana potensi itu berada dalam diri anda.
Sejauh mana kejayaan anda boleh dinilai dari sejauh mana anda menggunakan sepenuhnya potensi dalam diri anda. Jika 50% yang anda gunakan pastinya 50% jualah yang anda kecapi. Jika anda cuba mencari sepenuhnya cara menggunakan bakat anda maka sudah pasti itulah kejayaan yang bakal anda kecapi.
Percayalah tidak ramai yang berusaha untuk mengenali potensi mereka. Oleh kerana itu banyak kursus-kursus pengembangan bakat, rancangan realiti TV berkenaan bakat bahkan universiti-universiti untuk mengeluarkan dan menguruskan potensi turut ada di dunia ini. Sekarang cuba anda ambil sehelai kertas A4, apa yang saya kehendaki anda cuba senaraikan 20 potensi dan bakat dalam diri anda!
Lakukan aktiviti ini dan anda tunggu artikel saya akan datang! Saya akan huraikan cara seterusnya. :)
Anda Adalah Apa Yang Anda Fikirkan
“Semua yang dicapai manusia dan yang gagal dicapai olehnya adalah kesan langsung pemikirannya.” – James Allen

Tugas utama minda kita setiap hari adalah berfikir dan berfikir tanpa henti. Dari pemikiranlah akan membentuk bagaimana seseorang itu bertindak dan membuat keputusan. Manusia mencapai sesuatu yang hebat dalam hidupnya kerana caranya berfikir. Cara berfikir yang hebat sudah pasti akan membentuk insan yang hebat. Hukum akalnya memang begitu. Berfikiran positif akan memberikan kesan positif pada diri. Begitulah juga sebaliknya.
Setiap perkara yang difikirkan boleh sudah pasti akan akan dapat dilakukan. Sekalipun ada halangan yang mungkin menjadi penghalang kepada apa yang anda fikirkan. Banyak perkara tidak logik tetapi mampu dilakukan dengan cara berfikir yang hebat. Walt Disney tidak pernah pun bermimpi bahawa taman yang dibinanya menjadi sebutan sehingga kini walaupun sudah sampai keturunan cicitnya sekarang. Cucunya berumur 79 tahun baru sahaja meninggal dunia beberapa hari yang lepas. Tetapi kerana berfikir Walt Disney berjaya melakukannya.
Tun Dr. Mathir Mohamad juga adalah tokoh pemikir. Suatu masa dulu ramai orang tidak menyokong KLIA, Putrajaya, Menara KLCC namun setelah berjaya dibina baru semuanya mempercayainya. Ramai yang mula mengenali Malaysia di waktu beliau memegang Perdana Menteri Malaysia keempat. Semuanya bermula dengan pemikiran.
Rahsia Kejayaan
“Rahsia kejayaan adalah ketekalan matlamat.” – Benjamin Disraeli

Mungkin dari kata-kata motivasi ini membuatkan anda masih teringatkan pepatah melayu juga yang berbunyi ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Tiada kejayaan yang tidak boleh dicapai jika anda benar-benar mahukannya. Bagaimanakah caranya bukanlah alasan yang perlu dijadikan penghalang untuk menuju ke pintu masuk alam kejayaan.
Apa yang perlu diingati selalu ialah matlamat kepada apa yang anda ingin capai. Bukan mudah untuk terus anda berada di atas matlamat itu. Matlamat menunjukkan anda seorang yang fokus. Matlamat juga menunjukkan anda seorang yang tidak berputus asa.
Kejayaan memerlukan matlamat kerana matlamat adalah kuncinya. Tanpa matlamat tidak akan ada usaha. Tanpa matlamat tidak akan wujud cabaran. Semuanya bersangkut paut kepada matlamat anda. Sesuai sekali kita sama-sama mengingati soal matlamat memandangkan kita sudah berada di ambang 2009 yang akan kita tinggalkan tidak lama lagi. Menuju ke tahun 2010 sudah pasti matlamat perlu diperkemaskan lagi, usaha perlu digandakan lagi dan cabaran perlu lebih banyak ditempuhi.

