Mengalami Stres Di Tempat Kerja

Posted by admin | Posted in Masalah Anda | Posted on 16-02-2010

10

Emel dari Norsuwaidah

Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Motivasi Kerja kerana beri peluang untuk  saya ingin mendapatkan motivasi dan pandangan dari pihak tuan.

Saya mengalami stres di tempat kerja sejak akhir-akhir ini sehingga membawa saya untuk berhenti kerja. Untuk pengetahuan pihak tuan saya adalah seorg balu yg hampir setahun kematian suami. Jadi saya pulang ke kampung dan bekerja di badan berkanun. Di sini kerja terlalu banyak sehingga saya tidak bijak untuk membahagi masa utk membuat kerja saya. Dengan tekanan yang ada ditambah pula stres kerja, saya hampir tidak bersemangat untuk bekerja. Saya menjadi benci dengan kerja-kerja yang saya lakukan. Saya jadi tidak sabar.

Apabila saya ceritakan pada ibu saya, dia bersedia sahaja untuk saya berhenti kerja. Saya bercadang ingin belajar menjahit dn mengambil tempahan di rumah sahaja. Lagipun saya ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang masih kecil. Untuk pengetahuan tuan, saya mengalami stres sehingga tidak lalu makan dan sukar untuk tidur. Berat badan saya kian menurun. Saya tidak mampu lagi menanggung semua ini. Saya ada membuat sembahyang istikharah utk diberi petunjuk tapi masih kabur.

Respon saya

Salam sejahtera untuk puan yang sudi menghantarkan emel kepada saya. Daripada masalah yang puan berikan ini jelas sekali puan berada dalam keadaan stres yang tinggi. Memang apabila puan mengalami stres yang tinggi puan akan mendapat tanda-tanda berikut:

  • kemurungan
  • tidak lena tidur
  • tidak dapat mengawal emosi
  • sukar menyelesaikan masalah
  • prestasi kerja merosot
  • selera makan bertambah atau berkurang
  • kurang idea
  • berubah kelakuan
  • tidak fokus

Langkah pertama puan perlu berhadapan dengan masalah ini. Lari dari masalah akan membuatkan puan akan terus tidak dapat menangani tekanan. Perlu difahami bahawa semua kerja mempunyai kesibukan dan kerja yang banyak. Cuma yang penting bagaimana puan mengurus kesibukan itu.

Langkah seterusnya puan perlu membuat analisa yang manakah terbaik untuk puan. Puan menyatakan bahawa puan sudah tidak sanggup untuk meneruskan kerja di situ dan ingin membuka perniagaan jahitan. Puan perlu senaraikan apakah pulangan masa terdekat dan masa panjang sebelum puan memberikan keputusan tersebut. Senaraikan keuntungan dari pelbagai aspek termasuk sara hidup, masa dengan keluarga, masa depan puan dan juga peluang dan risiko yang bakal puan hadapi.

Sekiranya puan sudah mendapat keputusan tersebut:

Jika puan memilih meneruskan kerja, puan sebenarnya boleh mengurus kerja dengan baik. Apa yang dapat saya huraikan berkemungkinan penyusunan keutamaan kerja yang tidak tepat membuatkan puan menghadapi masalah apabila tugasan tersebut diperlukan. Tanyalah pada mereka yang berpengalaman di tempat kerja puan bagaimana untuk menguruskan kerja tersebut. Jangan malu kerana malu akan mengheret puan terus dalam tekanan. Dan jika berpeluang, hadiri kursus-kursus untuk tingkatkan kemahiran diri.

Dan jika puan memilih berhenti kerja, puan perlu fikirkan strategi untuk dapatkan wang sara hidup puan bagi menjaga keluarga. Buat sedikit homework tentang bagaimana puan nak memulakan perniagaan tersebut dan ingin mempelajari kemahiran jahitan. Puan juga perlu membina pelan pemasaran secepat mungkin untuk membantu puan dapat memulakan kehidupan baru dengan jahitan.

Berkenaan dengan solat istikharah, puan tidak boleh sekadar melakukannya sekali atau dua kali kemudian mengharapkan mendapat petunjuk. Teruskan solat tersebut. Kurang fokus juga menjadikan solat puan tidak kusyuk dan sedikit sebanyak mempengaruhi untuk mendapat petunjuk dari Allah. Tenangkan hati dan banyakkan istighfar. Andai ada ruang ambillah masa rehat untuk pulihkan kesihatan fizikal puan. Waallahu a’lam.

Tiada Kepuasan Dalam Bekerja

Posted by admin | Posted in Masalah Anda | Posted on 04-02-2010

6

Emel dari Balqis Shafey

Saya mempunyai masalah dalam kerjaya saya. Saya baru graduate pada tahun 2008. Saya adalah seorang dietitian yang baru sahaja bekerja tidak sampai setahun di dalam bidang ini. sebelum itu, saya pernah bekerja sebagai Nutritionist di sebuah syarikat swasta di KL.

Sekarang, saya merasakan kerjaya ini seperti tidak sesuai dengan saya. Sebenarnya saya berasa amat bersalah kerana sepanjang bekerja ini, saya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya. Mungkin kerana tiada minat yang luhur di dalam hati saya. Saya telah cuba berusaha bersungguh-sungguh, tetapi saya tidak dapat mencari kepuasan bekerja tersebut.

Bagaimanakah harus saya atasi masalah ini? Harap penulis dapat membantu saya. Saya juga tidak mahu terus-terusan berperasaan begini. Bagaimanakah ingin kita ketahui kerjaya yang paling sesuai dengan kita? Apakah yang patut saya buat dalam keadaan sekarang agar saya bermotivasi untuk memberi sepenuh kesungguhan dan minat?

Terima kasih.

Respon saya

Terima kasih kepada Balqis kerana ingin berkongsi masalah anda di sini. Sesungguhnya saya pasti masih ramai yang mempunyai masalah sebagaimana yang dihadapi Balqis. Saya juga turut bersimpati dengan masalah yang dihadapi Balqis. Tidak minat bekerja sebenarnya ada beberapa punca. Seeloknya Balqis perlu menyenaraikan apakah yang menyebabkan Balqis kurang bersemangat untuk meneruskan kerja di situ. Saya cuba menyenaraikannya tetapi untuk lebih tetapi mungkin Balqis perlu menyenaraikannya sendiri kerana Balqis lebih memahami situasi yang dialami.

Tidak minat bekerja mempunyai banyak faktor, antaranya:

  • Pengalaman dan kemahiran kerja yang kurang
  • Berlaku konflik dengan rakan sekerja
  • Potensi anda tidak kena pada tempat
  • Suasana persekitaran yang tidak merangsang
  • Kesukaran untuk pergi dan balik ke tempat kerja

Balqis perlu memahami situasi kerja dengan sebaik mungkin. Di usia baru masuk alam pekerjaan pastinya Balqis akan mengalami situasi-situasi di atas kerana masih belum mempunyai pengalaman yang cukup. Alam pekerjaan perlu ditempuh dengan berani kerana pengalaman kerja amat berguna untuk Balqis terus membina kerjaya di tempat lain. Jika Balqis merasakan sudah tidak sesuai meneruskan kerjaya di tempat sekarang, Balqis boleh berusaha membina kerjaya di tempat lain. Cuma perlu diingatkan bahawa kerja di tempat baru juga belum tentu situasinya sesuai dengan jiwa Balqis. Persediaan diri dari pelbagai aspek amat perlu untuk memahami tempat kerja yang baru.

Kepuasan bekerja hanya akan dapat dikecapi apabila Balqis dapat menggunakan sepenuh potensi yang ada dalam diri. Sentiasa melakukan yang terbaik. Namun di sini masalahnya ialah Balqis kurang bermotivasi. Seeloknya cari ruang waktu untuk rehatkan minda dan membina perancangan baru untuk lebih bersemangat di tempat kerja. Ingat kembali tujuan kenapa Balqis bekerja. Setiap kerja ada tujuan dan perkhidmatan untuk membantu orang lain. Balqis sebenarnya beruntung bekerja sebagai dietitian kerana berapa ramai mereka yang memerlukan nasihat untuk menjadikan kehidupan mereka sihat dan berkualiti.

Kerja Banyak, Masa Tak Cukup!

Posted by admin | Posted in Isu Kerjaya, Masalah Anda | Posted on 28-01-2010

4

Emel dari Zuhrina

Saya bekerja di sektor kerajaan dan latar belakang kerjaya saya banyak menuntut deadline dan juga banyak berurusan dengan peguam dan juga orang awam. Selain daripada itu saya juga telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang sedang membesar ( umur 3 tahun ).

Saya tidak mempunyai orang gaji di rumah di mana segala tugasan di rumah saya lakukan sendiri. Suami saya seorang yang sangat sibuk di tempat kerjanya ( swasta ). Oleh kerana masa yang tidak mencukupi di pejabat, saya akan membawa balik tugasan di pejabat ke rumah tetapi ia sebenarnya telah memburukkan keadaan di mana apabila saya perhatikan, anak saya akan memberontak untuk mendapat perhatian dan keadaan rumah juga tidak berapa terurus. Saya tidak mengambil orang gaji kerana saya tidak percayakan mereka.

Disebabkan itu tekanan di rumah akan terbawa sehingga ke pejabat. Begitu juga sebaliknya . Bolehkah En. Asrul memberi  saya idea atau panduan bagaimana untuk menangani masalah ini ? Sekian, terima kasih.  ( Saya juga amat meminati blog ini kerana memberikan saya inspirasi  untuk menjadi majikan dan pekerja yang cemerlang ).

Respon saya

Terima kasih kepada Puan Zuhrina kerana sokongan kepada blog ini. Kehidupan kita tidak akan terlepas dari masalah. Itulah kehidupan. Kerjaya puan jelas sekali menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi. Lebih-lebih kagi berurusan dengan peguam sudah pasti memerlukan appointment dan juga kerja perlu diselesaikan mengikut due date yang diberikan. Bertangguh kerja bermakna setiap hari berkemungkinan puan akan mengalami tambahan bebanan kerja.

  • Puan perlu merancang kerja dengan sebaik mungkin. Saya pasti puan sudah melakukan pengurusan masa dan kerja. Namun mungkin perlu diubah sedikit berdasarkan apa yang utama puan perlu lakukan. Andai 2-3 kerja yang boleh diselesaikan segera puan perlu selesaikan segera. Dalam urusan sebegini puan memerlukan target kerja untuk disiapkan dalam satu hari. Insya Allah saya tidak katakan puan boleh selesaikan semuanya sekaligus. Tetapi andai puan dapat menyelesaikan target kerja pada hari itu saya pasti puan lebih lega.
  • Kurangkan masa-masa terbuang ketika bekerja. Antaranya kurangkan jumlah waktu makan tengah hari, masa berbual sebelum puan selesaikan target kerja.
  • Tulis dengan teliti apa yang puan perlukan untuk selesaikan kerja puan. Saya pasti kerja yang melibatkan peguam sudah pasti memerlukan dokumen-dokumen tertentu untuk dibawa bersama. Tertinggal dokumen ketika diperlukan juga akan membuatkan puan tertekan.
  • Minta bantuan segera pada rakan kerja yang dapat menyelesaikan masalah yang puan tidak dapat selesaikan. Ianya sangat membantu.
  • Menjadi isteri adalah tanggungjawab 24 jam kepada suami dan anak-anak. Jika perlu jangan selalu bawa kerja pejabat pulang ke rumah. Anak puan berusia 3 tahun memang memerlukan perhatian lebih dari puan. Menyiapkan target kerja akan membantu puan mendapat masa bersama anak dan suami.
  • Ambillah juga ruang pada waktu malam untuk solat istikharah dan hajat sebagai jalan terakhir memohon Allah bantu kuatkan semangat dan tenangkan hati.

Saya juga buka ruang pada anda semua untuk memberikan idea bernas dengan ikhlas. Setiap kebaikan yang diberikan dengan ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah.