Senior Sukar Ditegur?
Dalam suasana bekerja di tempat anda pastinya ada golongan senior dan junior. Siapa anda di tempat kerja? Senior atau junior? Seringkali masalah komunikasi berlaku dalam dua golongan besar ini terutama golongan senior yang tidak boleh menerima cadangan daripada junior. Adakah ini sesuatu perkara yang negatif atau positif?
Disebut sebagai senior bermakna mereka mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kerjaya mereka. Dalam tempoh tersebut mereka telah melalui beberapa posisi dalam struktur pentadbiran organisasi, maka pastinya mereka mempunyai banyak kelebihan dan kemahiran. Pemikiran mereka lebih terbuka dalam perbincangan. Boleh menerima idea dan pendapat orang lain melainkan beliau menunjukkan sifat bossy.
Satu lagi senior yang dikategorikan sebagai mereka yang telah lama bekerja tetapi masih pada jawatan yang sama. Mereka mungkin mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang tugasan mereka atau mungkin juga sebaliknya. Senior yang berada pada posisi ini biasanya mempunyai masalah dengan persekitaran di sekelilingnya. Tertutup dalam perbincangan dan sentiasa merasakan tindakannya betul dan tepat dengan alasan pengalamannya yang lama di posisi tersebut.
Berbalik pada tajuk perbincangan ini, anda sendiri perlu pastikan mengapa senior anda sukar ditegur? Adakah dia berada pada posisi senior pertama atau kedua? Teliti setiap karektor senior anda dengan baik. Cuba perhalusi bagaimana pendekatan yang sesuai yang boleh digunakan untuk memberikan teguran agar ianya diterima. Jika teguran boleh menjatuhkan kedudukan seniornya di hadapan orang lain pasti teguran anda tidak akan diterima kerana anda sendiri telah menjatuhkan maruah dirinya.
Bekerja Selagi Mampu
Pelbagai tanggapan yang bermain di fikiran semua penjawat awam apabila dalam bajet 2012 baru-baru ini PM mengisytiharkan tentang Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ini. Anda mungkin pernah membaca artikel saya tentang persaraan sebelum ini. Umur 58 tahun bukanlah terlalu tua untuk meneruskan mujahadah dan memberikan bakti di dalam dunia perkhidmatan. Tetapi ia perlu dilihat dari aspek yang berbeza dari sebelumnya. Jika semua penjawat awam untuk memilih alasan berehat dan tidak mampu lagi untuk meneruskan kerja, sebenarnya bukanlah tidak mampu tetapi tidak mahu.
Satu perbandingan yang perlu dilihat bahawa di negara-negara maju jarang kita mendengar warga emas nyanyuk di usia tua kerana mereka memilih untuk terus bekerja. Apabila bekerja otak akan terus berfungsi dengan baik. Perbezaan usia pencen kita berbanding dengan Korea dan Jepun adalah 8 tahun. Lebih menguntungkan apabila kerajaan menawarkan insentif yang baik dengan SBPA ini.
Janganlah melihat kelebihan dari sudut gaji sahaja sedangkan bekerja pada usia warga emas akan membantu otak terus berfikir dan mengelakkan diri dari menjadi nyanyuk. Antara faktor menyebabkan anda menjadi bertambah tua ialah dengan membiarkan diri untuk berehat dan tidak bergiat aktif selepas tempoh bekerja.
Kerjaya Sebagai Chef (2)
Dalam banyak-banyak bidang pekerjaan di dunia, kerjaya yang berkaitan dengan makanan paling mendapat tempat kerana setiap manusia hidup memerlukan makan. Jadi bidang kerjaya ini adalah paling senang untuk berkembang. Jika diperhatikan begitu banyak kedai-kedai makan di tempat tinggal anda, namun pemilik-pemilik kedai dan restoran tetap boleh survive dan maju.
Oleh kerana itulah jika anda menceburi bidang kulinari ini anda mampu untuk pergi jauh memandangkan sasaran anda adalah seluruh dunia. Seni kulinari mampu membuka jalan yang lebih besar dalam membina empayar perniagaan dalam bidang masakan ini. Memasak adalah perkara yang senang berbanding bidang-bidang yang lain, dan itulah yang menyebabkan saya hairan begitu ramai orang cakap tidak tahu memasak.
Satu cerita bersiri yang dapat menarik minat anda untuk memasak, anda boleh tonton drama korea bersiri Jewel In The Palace sangat sesuai untuk anda mempelajari asas dalam memasak. Nilai hidup yang dapat dipelajari dari memasak juga sangat banyak kerana memasak melibatkan rasa. Cara memasak, cara menghias, dan cara mengenal ramuan adalah sebahagian daripada kemahiran yang mengajar manusia mengganggar dan melukiskan rasa.
Chef Yahaya, Juri Rancangan Masterchef Malaysia berkongsi pengalaman:
Walaupun tidak popular setaraf chef selebriti seperti Chef Wan atau Chef Ismail, bagi lelaki ini yang lebih mudah disapa Chef Yahaya, ia sudah cukup membanggakan dirinya.
Menceritakan pengalamannya dalam bidang masakan, Chef Yahya berkata, sebenarnya ia bukan cita-cita yang dipupuk sewaktu zaman persekolahan. Sebaliknya ia tersemai tanpa sedar dek kerana kebiasaan bekerja sambilan sewaktu zaman sekolah lagi.
Disebabkan hampir semua pekerjaan sambilan dilakukannya membabitkan bidang masakan, tamat saja persekolahan di tingkatan lima, dia terus memohon bekerja di sebuah kedai membuat roti dan kek.
Bermula detik itu, bidang masakan terus diterokanya kerana merasakan itu adalah kelebihan yang ada dalam dirinya.
“Saya bukan dilahirkan dalam keluarga mewah. Ayah saya anggota polis berpangkat rendah. Bilangan adik beradik juga ramai iaitu 11 orang dan saya anak ke-10.
“Disebabkan itu, ibu bapa hanya dapat menyediakan keperluan kami adik beradik sekadar cukup. Kerana tidak mahu membebankan ibu bapa, kami adik beradik melakukan kerja sambilan untuk mendapatkan duit poket lebih,” katanya. Klik untuk cerita selanjutnya.
Apa Kemahiran Yang Anda Ada?
Kemahiran adalah faktor penting yang menentukan anda boleh survive dalam dunia kerjaya. Semakin tinggi kemahiran yang anda perolehi semakin tinggi pengiktirafan yang anda terima. Sijil dan ijazah belum cukup menjamin anda mendapat posisi kerjaya yang baik tanpa kemahiran yang tinggi dan mencukupi.
Jadi tidak hairanlah graduan lepasan institusi kemahiran lebih cepat laris berbanding universiti dan kolej yang lain kerana dalam menuju negara maju kita amat memerlukan golongan yang berkemahiran tinggi. Kira-kira 82 peratus lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di negara ini mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.
Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Saari Salleh berkata, setiap tahun IKBN melatih sekurang-kurangnya 13,000 belia melalui 20 IKBN di seluruh negara dan 80% daripadanya terus mendapat pekerjaan.
Apa yang saya nyatakan di sini adalah kemahiran pembuatan. Bidang kemahiran sangat besar dan luas. Mungkin anda berkemahiran dalam merancang, mengurus sumber, menyelidik, melatih manusia, desain dan lain-lain boleh menjadikan anda berjaya.
Tidur Siang Dalam Waktu Bekerja
Pernahkah anda bekerja sambil tidur? Bunyinya pelik. Pastinya kata-kata sebegini kita tidak mahu menerimanya dari rakan-rakan atau dari bos kita. Nanti dicop pemalas dan tidak bertanggungjawab pula. Tetapi bagi Lee Jia, seorang yang berbangsa Cina kerja sambil tidur adalah sebahagian rutin harian kerja yang perlu mereka laksanakan.
Mereka boleh mendapat pendapatan bulanan sebanyak RM5000 untuk menguji bilik hotel untuk keselesaan pelanggan. Bukan itu sahaja bahkan beliau juga turut memeriksa kebersihan bilik, tandas dan apa yang ada di dalam TV. Tidak sema di antara kita yang bekerja seumpama Lee Jia. Bahkan bagi negara-negara yang maju tidur di waktu siang dianggap pemalas.
Budaya tidur siang ini selalunya dikaitkan dengan orang-orang di Mediteranean dan Asia yang banyak mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Menurut kajian pula, tidur yang singkat pada waktu siang antara 1-20 minit dapat meningkatkan produktiviti lebih 30% dan kewaspadaan terhadap kerja 100%, serta dapat membantu untuk lebih fokus dalam bekerja. Kajian juga menunjukkan bahawa ia boleh mengurangkan tekanan dan risiko penyakit jantung sebanyak 34%.
Tidur sedikit pada waktu siang sebenarnya diambil dari bahasa Latin iaitu ‘hora sexta’ yang membawa maksud jam keenam, menghitung 6 jam selepas waktu Subuh. Di dalam Islam juga ada istilah tidur siang yang disebut sebagai ‘qailulah’ iaitu tidur sedikit.
Jururawat Lelaki vs Jururawat Wanita
Tiada lagi istilah prejudis pada hari ini kerana kebanyakkan dalam apa jua lapangan kerjaya pastinya lelaki dan wanita akan bersaing untuk mendapat peluang yang terhidang. Jururawat sinonim dengan kaum hawa kerana watak kesabaran dan kelembutan ada pada mereka. Namun hari ini ianya bukan lagi milik ekslusif kaum wanita sahaja kerana lelaki telah mula menceburi bidang kerjaya ini.
Sama ada jururawat lelaki atau wanita yang lebih hebat itu bukanlah perkara pokok yang perlu dibincangkan. Wanita diperlukan kerana untuk menjaga kemaslahatan pesakit wanita di samping naluri wanita yang lebih dominan dalam menjaga dengan penuh kasih sayang terhadap pesakit. Lelaki pula sangat diperlukan dalam bidang kejururawatan kerana mereka bukan sahaja mempunyai tenaga yang berbeza dengan wanita bahkan lelaki lebih rasional dalam membantu dalam situasi yang genting dan kritikal. Sebagai contoh, tugas mengangkat pesakit, keberanian menghadapi kecemasan kritikal dan membantu dalam sesi pembedahan dalam waktu panjang. Semua tugas ini lebih praktikal dilakukan lelaki oleh jururawat lelaki.
Apa yang pasti kekuatan fizikal yang ada pada lelaki dan kelembutan yang ada pada wanita sekiranya digembleng secara bersama, tentunya akan memberi banyak manfaat kepada doktor dan pesakit. Proses merawat dan menjaga pesakit akan jadi lebih mudah dan cekap.
Pandangan peribadi saya bagi anda yang ingin menceburi bidang kejururawatan, jangan hanya melihat bidang kerjaya sebagai kerjaya yang glamour kerana bidang kerjanya penuh berisiko. Menyelamatkan nyawa dan menjaga pesakit bukanlah kerja yang boleh main-main. Ianya memerlukan keikhlasan dan komitmen yang sangat tinggi di samping perlu sentiasa mempamerkan kasih sayang kepada setiap pesakit.
Bos Paling Mahal (4)
Soalan pertama sebagai bos yang perlu anda fikirkan adakah staf anda menghormati anda atau hanya takutkan anda? Sebahagian besar bos tersalah anggap bahawa takut adalah hormat kepada mereka. Menjadi memang seronok kerana boleh mengarah itu dan ini tetapi kalau tak kena gayanya anda tidak akan dihormati.
Bagaimana nak jadi bos yang dihormati? Bos yang mahal akan menawan hati setiap pekerjanya. Paling mudah untuk anda lakukan ialah menziarahi keluarga pekerja anda di saat yang tidak tersangka. Melihat sendiri bagaimana kehidupan dan keluarga pekerja anda akan mampu menawan hati mereka terhadap anda. Selalunya manusia memang sangat menghargai apabila ada orang mengambil berat tentang diri mereka. Lebih-lebih ambil berat tentang keluarga.
Sama ada staf anda ramai atau sedikit itu bukanlah persoalannya. Bos yang mahal susah dicari pada hari ini. Bos yang mahal bukan hanya menjaga kebajikan dalam soal kerjaya sahaja tetapi pastinya membina hubungan yang akrab dengan staf sendiri.
Apabila diundang untuk hadir ke rumah seboleh mungkin anda sebagai bos perlu hadir kerana mana mungkin seorang pekerja menjemput bosnya untuk hadir melainkan sebagai satu penghormatan kepada bos mereka. Datang sahaja sudah cukup untuk menunjukkan anda seorang bos yang mahal. Sebab bos yang mahal pastinya melakukan apa yang bos biasa tak boleh lakukan.



