Tips Kerjaya Dan Motivasi

Azam Tahun Baru

new-yearRasanya agak awal untuk kita membicarakan tentang azam baru memandangkan kita baru di awal bulan Disember. Tetapi perancangan hidup sebenarnya tidak memerlukan masa tertentu untuk kita membina perancangan untuk masa depan diri, keluarga dan kerjaya.

Setiap tahun kita menulis azam baru dengan penuh semangat. Mengharapkan apa yang diidamkan dapat dipat dalam tahun tersebut. Tetapi berlaku sedikit kesilapan kita dalam menulis azam, kerana kita tidak ada pelan tindakan yang tepat untuk mencapainya dengan cara yang fokus. Dengan bahasa lainnya azam baru memerlukan pemantauan dan post-mortem untuk memastikan impian yang dihajati terlaksana.

Pemantauan akan menjadikan azam baru anda sentiasa dalam perhatian. Anda akan sentiasa ‘alert’ apa yang perlu dilakukan setiap minggu, setiap bulan untuk mencapai langkah demi langkah. Post mortem pula menjadikan azam yang tidak dapat dicapai, diteliti semula dan dirancang kembali untuk tahun berikutnya.

Jadi seeloknya anda senaraikan sekarang apakah azam hanya tidak sempat anda capai pada tahun ini. Kemudian muhasabah balik bagaimana untuk mencapainya pada tahun hadapan. Perancangan pula perlukan jangka pendek dan jangka panjang dan juga ‘backup plan‘ untuk memastikan walau apa jua yang berlaku anda sudah bersedia untuk mencapai azam anda.

Azam baru tahun 2010

  • Nak terbitkan dua buah buku motivasi
  • Mudah-mudahan jadi ayah yang baik untuk anak sulong
  • Mudah-mudahan gaji aku dinaikkan sampai RM3000
  • Nak beli kamera dslr Nikon (RM2000)
  • Nak sambung belajar ke tahap Master
  • Target 300 entri menarik untuk blog Motivasi Kerja
  • Bina modul latihan untuk syarikat sendiri pula (akan datang)

Harap-harap dapat capai sebahagian besar dari yang ditulis ini. Motivasi, bantuan dari sudut minda dan buah fikiran amat saya hargai dari anda semua. Amin.

30 comments - What do you think?

Muhasabah Dalam Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa yang difikirkan bila disebut pada anda tentang muhasabah diri? Tentu sekali muhasabah akan mengingati kesilapan-kesilapan lalu, dosa-dosa yang pernah anda lakukan sebelum ini. Dan akhirnya muhasabah akan menginsafkan diri dan kembali melakukan kebaikan untuk diri dan agama Allah.

Namun dalam konteks kerja ada sedikit penambahan berkenaan muhasabah. Muhasabah dalam kerja melibatkan tiga masa. Muhasabah dalam kerja terbahagi kepada tiga:

Muhasabah sebelum tindakan

Mungkin istilah ini jarang digunakan tetapi saya pernah terbaca di dalam satu buku penggunaan istilah ini. Saya bersetuju dengan istilah yang digunakan. Muhasabah sebelum tindakan bererti perancangan sebelum kerja. Adakah anda pernah merancang kerja anda? Perancangan kerja akan memberikan kesan positif terhadap kerja anda. Kerja akan siap tepat pada masa, hasilnya pula akan lebih kemas dan anda bersedia untuk membentangkannya jika diperlukan. Perancangan kerja memerlukan kemahiran untuk jangka masa pendek dan masa panjang. Perancangan kerja juga akan mengajar anda tentang kuadran masa, yang mana perlu diutamakan mengikut keutamaan sebenarnya.

Muhasabah semasa tindakan

Tindakan yang bijak tidak memadai dengan sekadar perancangan. Sekalipun perancangan kerja anda rapi dan tepat, berkemungkinan anda akan menghadapi situasi kerja yang tidak terjangka. Mungkin tugasan yang bertambah secara tiba-tiba, kesulitan teknikal dan hal-hal lain akan mengganggu jadual untuk menyiapkan kerja yang telah dirancang. Maka ketika itu muhasabah semasa tindakan amat perlu. Bahasa yang lebih mudah ialah pemantauan kerja. Bila sebut pemantauan kerja barulah anda lebih mudah faham maksud yang ingin saya sampaikan. Pemantauan kerja adalah muhasabah berkala yang perlu dilakukan agar setiap perancangan yang diharapkan berada di atas landasan yang betul serta tidak melepasi ‘due date’ yang dikehendaki.

Muhasabah selepas tindakan

Pemantauan banyak memudahkan strategi yang ingin dilakukan dalam kerja. Namun kerana kelemahan dan kekurangan sebagai manusia kekadang masih ada juga perkara-perkara yang perlu dilihat semula sebagai penambahbaikan di masa hadapan. Post-mortem adalah langkah terakhir bagi memastikan kerja yang telah dilakukan akan dapat dikesan di mana kelemahan yang perlu diperbaiki segera sebelum memberikan kepada kualiti produk atau perkhidmatan yang dilakukan. Sebenarnya ketiga-tiga 3P ini kita lakukan dalam kerja kita cuma kadang-kadang pemahaman istilah yang tidak tepat juga memberikan gangguan kepada tugasan-tugasan yang diterima.

Be the first to comment - What do you think?

Cuti Rehatkan Minda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

vacationCuti sekolah dah bermula untuk satu sesi yang panjang. Bila teringatkan cuti sekolah saya pun terfikir juga. Kerja juga perlukan cuti. Sudah berapa kali anda bercuti pada tahun ini? Selalunya kita panggil cuti rehat. Bagi kakitangan sektor kerajaan selalunya ada sedikit perbezaan cuti bagi pegawai, kakitangan sokongan dan kumpulan pengurusan tertinggi. Mengapa begitu?

Manusia umpama mesin yang bekerja. Jika selalu bekerja tanpa penyelenggaraan diri yang sempurna maka manusia akan mengalami masalah. Tiada bezanya dengan mesin atau jentera sebenar. Tenaga fizikal jika digunakan berterusan sudah pasti kuasanya akan berkurangan. Dalam konteks kerja pula bekerja berterusan seperti workaholic juga akan menyebabkan tahap kualiti menurun. Kualiti menurun bukan kerana sesuatu yang negatif. Sebaliknya kerana anda perlu memahami keupayaan kita sebagai makhluk ada tahap-tahap tertentu mengikut keupayaan diri masing-masing.

Jadi ada masanya anda perlukan rehat untuk cas kembali tenaga-tenaga ini. Andai sudah lama tidak bercuti, tidak salah anda berbuat demikian sekarang. Cuti akan memberikan kesegaran kepada anda untuk mendapatkan input-input luar yang baru dan ‘fresh’. Cuti akan mengurangkan sedikit tekanan kerja yang berlegar dalam fikiran anda. Lupakan sejenak tentang kerja. Manjakan diri anda dengan bercuti bersama keluarga, atau mungkin memadai berehat di rumah sahaja. Itu semua terpulang pada pilihan hati anda. Apa yang mustahak anda juga perlu fikir soal cuti di saat kualiti kerja anda mula menurun, produktiviti menurun, kecekapan anda menurun dan kerja anda mula tidak dapat disiapkan mengikut perancangan.

Ingat! bercuti memang bagus. Tapi sebelum bercuti pastikan anda selesaikan tugasan anda sebaik mungkin supaya di waktu cuti anda tidak ada masalah dan juga gangguan berlaku pada anda. Maka anda dapat bercuti dengan tenang dan menghayati percutian anda sebaik mungkin.

1 comment - What do you think?

Persiapan Untuk Temuduga Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Di akhir-akhir tahun ini banyak sekali jawatan kosong yang memerlukan anda untuk mengisi kekosongan tersebut. Dalam usaha untuk mendapatkan jawatan yang anda pohon, sudah pasti anda berdepan dengan temuduga kerja terlebih dahulu sebelum benar-benar anda menghadapi alam pekerjaan sebenar. Jadi jangan ambil mudah. Cuba isikan diri anda dengan perkara-perkara di bawah:

  • Buat kajian mengenai syarikat atau organisasi yang anda ingin pergi temuduga.
  • Cari sedikit maklumat berkenaan dengan gred jawatan yang anda pohon.
  • Senaraikan soalan-soalan yang bakal ditanyakan kepada anda.
  • Update resume anda jika perlu
  • Susun sijil-sijil anda mengikut turutan yang dikehendaki (selalunya memang begini)
  • Tolong buat pengesahan tarikh, waktu dan tempat temuduga anda selewat-lewatnya 2 hari sebelum anda hadiri temuduga.
  • Pakaian paling kemas (baju kurung + berkasut bagi wanita, baju kemeja putih + seluar hitam + bertali leher dan berkasut hitam)
  • Yakin dengan diri anda.
  • Doa banyak-banyak agar dipermudahkan urusan.

17 comments - What do you think?

Pemasaran Yang Tidak Tepat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setiap hari kita melihat begitu ramai salesman dan salesgirl berjalan ke sana dan ke sini mempromosikan barangan salesmanmereka. Mungkin barangan baru atau mungkin juga barangan yang murah. Tetapi senario ini sering kita lihat di hadapan mata kita. Namun itu semua tidak menjadi halangan kepada kita memandangkan mereka tidak mengganggu kehidupan kita.

Dan yang sering berlaku, kita melihat salesman dan salesgirl ni selalu mencari sasaran untuk mereka melakukan promosi ialah di kedai makan. Saya pasti anda juga pernah mengalami situasi seperti ini. Saya juga begitu. Pernah sekali hati saya terdetik sendiri apabila datang seorang salesman ke meja saya sewaktu saya hampir menyuapkan nasi ke mulut. Hati saya sebagai manusia biasa juga berkata, “Mengapalah diorang kacau masa tengah nak makan. Kalau ye pun nak jual produk janganlah masa makan.” Atas rasa ini saya mula terfikir adakah mereka melakukan kaedah pemasaran yang betul? Pada saya jika barangan yang dijual juga mungkin barangan makanan seperti kerepek, kacang atau produk makanan yang lain hati saya masih boleh menerima memandangkan anda mungkin masih berhajat untuk membelinya. Tetapi kalau ketika anda berada di kedai makan tetiba datang salesman yang mempromosikan syampu, pencuci muka, cd-cd cetak rompak adakah anda rasa ingin membelinya?

Mungkin pandangan mereka, kaedah pemasaran mereka tepat kerana mencari tempat yang ramai orang. Namun bagi saya mereka memasarkan produk mereka tidak kena pada tempat. Memang kita perlu mencari tempat yang ramai orang untuk memasarkan produk kita, namun pergi ke kedai-kedai makan di mana orang lain sedang dalam keadaan mood tengah nak makan sebenarnya memberikan isyarat bahawa mereka tidak suka diganggu.

Terus terang saya berani katakan bahawa kebanyakkan orang tidak suka diganggu pada dua waktu iaitu waktu tidur dan waktu makan. Jika anda ada yang bekerja sebagai salesman yang menjual produk anda perlu memikirkan hal ini. Anda mungkin terfikir mengapa barangan anda tidak laris. Seharian dibawa ke sana ke mari tetapi tidak dilihat dan dibeli oleh orang lain. Fikirkan faktor ini juga. Anda telah mengamalkan kaedah pemasaran yang tidak tepat.

9 comments - What do you think?

Menyesuaikan Diri Di Tempat Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

DBU2013Apa khabar anda semua? Bagaimana suasana tempat kerja anda? Adakah anda selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan tempat kerja anda? Jawabnya tidak dapat tidak anda perlu berusaha untuk menyesuaikan diri di tempat kerja anda. Sekiranya anda bertukar ke tempat yang baru, penyesuaian diri di situ sememangnya memberikan sedikit masalah. Ada orang yang bekerja merasakan tempat kerjalah yang perlu berubah mengikut dirinya.

Bagi mereka yang beranggapan begini, anda mungkin boleh mengubah persekitaran kerja anda jika anda seorang bos kerana kuasa mengubah tersebut ada pada anda. Tetapi jika anda hanya bekerja di bawah orang lain anda hanya mampu menyesuaikan diri untuk biasa di situ.

Pentingnya menyesuaikan diri dengan tempat kerja, kerana ia memberi pengaruh besar dalam kehidupan anda. Bayangkan jika anda bekerja di tempat yang anda sendiri tidak boleh mengikut keadaan di situ, ia bukan sahaja memberikan impak negatif pada kerja anda semata-mata bahkan ia juga turut memberikan kesan buruk kepada diri anda juga. Seterusnya akan mempengaruhi kepada keluarga anda dan akhirnya melibatkan kehidupan anda seluruhnya.

Bukan anda sahaja mengalami masalah seumpama ini, orang lain juga mengalaminya. Cuma anda perlukan sedikit penelitian untuk memudahkan anda menyesuaikan diri di tempat kerja. Perhatikan tempat kerja anda dari sudut pekerja-pekerjanya jenis yang bagaimana, kemudian bagaimana sistem pengurusan tempat tersebut, apa pula kemudahannya, bagaimana cara mudah untuk anda berulang-alik ke tempat kerja, siapa bosnya dan banyak lagi. Jangan merasa susah untuk melakukannya kerana anda boleh memulakannya perlahan sejak hari pertama anda di tempat kerja anda. Bila anda sudah mula mengetahui selok-belok tempat kerja anda, percayalah anda akan dapat menyesuaikan diri dengan baik.

10 comments - What do you think?

10 Penghalang Kejayaan Anda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

success-ladderSetiap manusia di dunia ini mendambakan kebahagiaan dan kejayaan. Namun perjalanan dalam menuju kejayaan bukan mudah umpama memandu kereta di lebuh raya. Perjalanan menuju kejayaan selalunya berbukit bukau dan kadang-kadang terpaksa melalui denai yang beronak dan paya yang berlumpur. Kejayan perlu mendahului halangan-halangan dalam setiap perjalanan menuju ke arah itu. Dan ramai yang tidak sempat sampai ke destinasi perjalanan memandangkan halangan-halangan yang berat ini.

Jika anda menghadapi kesusahan ketika anda sedang berusaha untuk membina impian, ketahuilah bahawa anda termasuk dalam 10 penghalang kejayaan ini:

  • Tiada matlamat, tiada impian
    Perkara pertama yang menghalang anda berjaya ialah anda gagal mencipta impian dalam hidup anda. Betapa pentingnya impian untuk berjaya? Impian umpama mimpi indah yang anda akan jadikan pembakar semangat untuk terus berusaha dan berusaha. Impian adalah matlamat yang akan meransang anda untuk langkah-langkah kejayaan seterusnya.
  • Suka memberi alasan
    Alasan akan menutup segala jalan yang sedang terbuka untuk anda berusaha. Begitulah bahaya alasan dalam menghalang kejayaan anda. Alasan juga akan melumpuhkan setiap inci pemikiran anda. Bila diteliti memang benar pepatah melayu “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dalih adalah alasan yang sering anda berikan ketika peluang kejayaan datang berada di depan mata anda.
  • Takut mencuba
    Mengapa negara kita masih kurang mereka yang kreatif dan kaya raya? Kerana boleh dikatakan antara sikap yang sukar diubah dalam diri kita ialah TAKUT. Takut yang tidak kena pada tempatnya. Takut pada peluang yang akan membuat anda berjaya. Perahu dan pendayung sudah berada bersama anda. Cuma yang tiada hanya daya upaya untuk mencuba belayar ke seberang. Mana mungkin anda berjaya!
  • Selalu cakap tak boleh
    Anda adalah cara anda berfikir. Boleh atau tidak boleh? Anda yang tentukan. Jika boleh anda akan membuka ruang pemikiran untuk langkah seterusnya. Jika cakap tidak boleh maka anda telah pun mencampakkan diri anda ke arah kegagalan. Mengapa Malaysia menggunakan slogan Malaysia Boleh! Kerana jelas bahawa sikap orang Malaysia sebenarnya suka cakap tidak boleh. Anda juga mahu begitu ke?
  • Terlalu bergantung pada orang lain
    Tidak salah anda sebagai manusia bergantung harap pada orang lain kerana kita manusia tidak mampu melakukan segalanya seorang diri. Tapi silapnyaanda terlalu bergantung pada orang lain. Sehinggakan anda tertinggal bab usaha dalam diri anda. Anda mula meletakkannya pada orang lain. Sikap begini sudah pasti menghalang diri anda dari berjaya.
  • Usaha tak sepadan harapan
    Hayati kata-kata motivasi Michael Jordan lagenda bola keranjang dunia, “Saya selalu percaya jika kita berusaha bersungguh hasilnya akan datang. Saya tidak melakukan sesuatu itu dengan separuh hati sahaja. Kerana saya tahu sekiranya saya melakukan begitu saya akan mendapat keputusan yang separuh juga.” Begitulah juga dengan anda. Usaha perlu seiring dengan impian anda. Jangan menjadi Mat Jenin dalam berusaha. Impian hanyalah langkah pertama untuk berjaya. Tetapi usaha adalah langkah-langkah yang seterusnya. Untuk hasil 100% usaha perlu juga 100% atau sebaiknya 120%. Barulah hasilnya adalah kejayaan.
  • Kurang fikir dan zikir
    Anda faham maksudnya? Penghalang kejayaan juga ialah anda jaan menggunakan minda anda untuk berfikir tentang kehebatan-kehebatan kejadian Allah Subhanahu Wataala. Terlalu banyak hikmah yang boleh dipelajari dari kejadian-kejadian Allah ini. Zikir dan fikir ini akan meletakkan anda selalu merenung diri, muhasabah keburukan untuk memperbaikinya.
  • Mudah terpengaruh
    Anda sebenarnya mempunyai idea yang hebat. Anda juga mempunyai peluang di depan mata. Kenapa masih gagal? Kerana sedikit sahaja. Kawan anda memberitahu anda bahawa idea anda ini kolot dan sukar untuk diketengahkan. Anda akhirnya terpengaruh dan akhirnya orang lain mengambil idea anda dan mereka berjaya menggunakan idea anda. Sayangnya bukan. Tetapi inilah yang sering berlaku pada kehidupan harian kita. Pengaruh telah melunturkan keazaman yang ada.
  • Tidak istiqamah
    Di manakah letaknya kejayaan jika istiqamah tiada dalam usaha anda? Istiqamah adalah tanda konsisten dalam usaha anda. Lebih baik sedikit demi sedikit yang berterusan daripada banyak tetapi hanya sekali sekala. Inilah yang diajarkan Islam dalam berusaha. Anda banyak membaca hari ini untuk peperiksaan anda, tetapi esok lusa dan seterusnya anda berehat. Percayalah akal manusia perlu diasah setiap hari. Belakang parang pun jika diasah sekali sahaja tajamnya jauh beza dengan mereka yang mengasahnya setiap hari.
  • Kurang ilmu
    Kejayaan bukan bermakna usaha tanpa ilmu tetapi anda mengaplikasikan ilmu dalam usaha anda. Anda mempelajari sesuatu dari sesuatu. Sekiranya anda memerlukan ilmu untuk mencapai kejayaan anda jangan malu untuk belajar lagi. Ilmu adalah sumbangan besar kepada usaha anda.

12 comments - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline