Berhati-Hati Ketika Anda Makan (1)
Salam sejahtera buat anda semua.
Kenapa perlu berhati-hati ketika makan? Banyak rahsia yang menggambarkan siapa anda hanya dengan melihat bagaimana anda makan. Anda perasan tak apa yang orang tua lihat bila nak meminang anak dara? Antara yang dilihat ialah bagaimana anda makan dan kelakuan anda ketika makan. Hari ini saya kongsikan sedikit.
Makan jangan bersepah
Pernah tengok orang makan seperti ini? Selalu kita tengok yang makan bersepah ni adalah budak-budak. Tetapi orang dewasa pun ada yang makan seumpama ni. Makan bersepah dengan erti kata, makanan tertumpah, nasi bertaburan, susunan dalam pinggan yang tidak teratur.
Dan jika anda ada kawan-kawan seumpama ini cuba anda lihat bagaimana peribadi mereka? Selalunya orang yang makan bersepah ini kehidupan mereka juga tidak teratur. Masanya tidak teratur, kerjayanya kucar-kacir dan personaliti diri juga mungkin kabur dan keliru. Jika melakukan kerjanya pasti tidak sempurna, tidak ikut dateline, kualiti kerjanya juga pasti tidak cermat.
Jadi langkah yang boleh anda nasihatkan, minta rakan anda mulakan cara makan dengan teratur.Jika dia dapat ubah cara makannya, cuba pantau juga apa yang berlaku dalam kerjayanya, pelajarannya, dan juga kehidupan sehariannya.
Energi Bertambah Bila Berinteraksi Dengan Orang Lain
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Apa khabar anda semua? Panjang sedikit tajuk entri hari ini. Sejak Sabtu yang lepas sehingga semalam boleh dikatakan setiap hari saya berjumpa klien serta menghadiri meeting berkaitan bisnes dan juga hal-hal yang lain. Dan hari ini saya mula merasakan energi saya semakin bertambah.
Saya kini memahami mengapa orang yang mempunyai hubungan sosial yang baik lebih sihat, lebih berenergi untuk melakukan sesuatu. Mereka sebenarnya mendapat banyak energi dari interaksi dan komunikasi dengan individu yang mereka jumpa. Walaupun hanya sekadar bertemu untuk pamerkan senyuman atau hanya berborak kosong sebenarnya interaksi tersebut adalah proses pemindahan energi.
Lebih-lebih lagi jika anda bertemu dengan mereka yang mempunyai kredibiliti tertentu, kemahiran tertentu, jawatan tinggi dan dihormati pastinya anda akan dapat merasakan energi positif berpindah masuk dalam diri anda. Rangsangan positif berlaku kerana anda mula berfikir untuk menjadi seperti mereka. Melihat perwatakan mereka yang senang berbicara, personaliti yang segak dan anggun, idea yang bernas, cara penyampaian yang meyakinkan pastinya sedikit sebanyak akan membantu anda untuk menjadi seperti mereka.
Jadi jika hari ini anda rasa lemah dan tidak bermaya, atau malas nak berfikir jangan terus laksanakan kerja anda. Ambil sedikit masa untuk jumpa rakan sekeliling atau orang yang anda hormati untuk mendapatkan energi mereka supaya masuk ke dalam diri anda.
Dunia Kerjaya Anda!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Adakah anda selesa dengan dunia kerjaya anda? Adakah anda passion dengan kerjaya anda? Setiap bentuk kerjaya mempunyai dunianya tersendiri. Di dalam dunia ini, anda berkemungkinan mendapat pengalaman yang pelbagai atau sekadar menikmati pengalaman kerja yang sama setiap hari.
Bagi saya dunia kerjaya adalah sesuatu yang menarik apabila anda mendapat banyak perkara baru di dalamnya seperti peningkatan kemahiran kerja, bertemu ramai pelanggan dan tidak bekerja hanya pada satu tempat. Tetapi kerjaya statik anda hanya akan mendapat pengalaman kemahiran kerja berbanding hal-hal yang lain.
Satu perkara penting yang perlu anda teliti dalam dunia kerjaya anda, adakah anda mampu menyusun segala bentuk kerja anda atau kerja yang mengawal pergerakkan anda? Pernah saya melihat seseorang bekerja sehingga tidak mempunyai masa untuk perkara-perkara lain. Bermula dari masuk pukul 8.30 pagi sehingga berakhir waktu pejabat masih belum mencukupi, dan akhirnya terpaksa mengambil masa rehat pada waktu malam. Bila pulang ke rumah, tidak dapat melakukan perkara lain melainkan terus tidur kerana terlalu.
Jika sekali sekala dunia kerjaya anda menuntut anda untuk bekerja lebih masa adalah perkara biasa. Tetapi jika setiap hari dalam sebulan maknanya anda bermasalah dengan kerjaya anda. Sama ada masalah itu berkaitan dengan pengurusan organisasi atau masalah penyusunan tugasan yang tidak kemas dan terancang.
Jangan terus menerus biarkan anda lemas dalam kerjaya anda. Anda perlu jadi master supaya anda dapat menikmati hebatnya dunia kerjaya. Apabila berada di paras bahaya serta tidak mampu lagi menghadapi dunia tersebut, jangan takut belajar bertukar kerjaya kerana anda bakal mendapat pengalaman baru dan dunia baru.
Cari Kerja Atau Cipta Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Anda pilih yang mana? Saya pasti ramai di antara kita memilih yang pertama kerana yang pertama lebih mudah berbanding yang kedua. Peluang pekerjaan dah ada, cuma hanya perlu mohon sahaja. Tetapi risikonya belum tentu dapat kerana permintaan tinggi. Ramai penganggur yang sedang berhempas pulas untuk mengisi ruang kosong dalam sektor pekerjaan. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak stabil, orang yang dah bekerja pun silap hari bulan boleh dibuang kerja.
Jadi anda rasa bagaimana?
Masih memilih yang pertama? Sebenarnya di negara kita kerjaya ditentukan dahulu kemudian Kementerian Pelajaran menyediakan pembelajaran dalam bidang tersebut. Tetapi alangkah baiknya jika negara kita mencipta ruang kerjaya berdasarkan bakat dan potensi masyarakat setempat. Barulah kadar pekerja asing dapat dikurangkan. Realiti yang berlaku ramai graduan terpaksa menganggur kerana mereka ternanti-nanti bidang kerja yang setaraf dengan kelayakan akademik mereka.
Sebenarnya mencipta pekerjaan lebih mudah berbanding mencari kerja kerana selalu yang berlaku ijazah atau diploma yang anda dapat tidak memberikan jaminan untuk anda mendapat pekerjaan dalam bidang yang sama. Jadi bukankah ianya satu kerugian jika ditilik kepada kerjaya. Memang berisiko. Bahkan semua perkara pun berisiko. Hanya perlukan sedikit kreativiti dan inovasi anda akan jadi lebih hebat dengan membina kerjaya melalui kelebihan dan bakat dalam diri.
Pendek kata, jangan terlalu berharap pada kelayakan akademik anda jika ingin berjaya. Dalam dunia hari ini, pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan sebagainya memerlukan kewangan segera. Jadi jika anda menanti dan menanti agak sukar kerana permohonan di bidang kerajaan terlalu tinggi. Lebih baik mencari peluang kerjaya yang rendah tetapi momentum untuk berjaya juga tinggi.
Siapa Anda Dalam Pasukan?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Adakah anda boleh menjawab persoalan ini? Tidak ramai yang menyedari peranan diri mereka dalam pasukan. Lantas apabila sesebuah pasukan tidak dapat membina keserasian dalam mencapai visi dan misi, segalanya musnah dalam sekelip mata. Tetapi kunci utama dalam sesebuah pasukan sebenarnya terletak pada kekuatan setiap individu dan bagaimana mereka menggunakan potensi dan peranan mereka semaksimum mungkin.
Menyebut tentang pasukan tidak akan terlepas dari dua penggerak penting iaitu pemimpin dan pengikut. Tanpa dua komponen ini sesebuah pasukan tidak akan berfungsi dengan baik. Bahkan matlamat tidak akan dapat dicapai.
Pemimpin adalah individu yang perlu mempunyai visi dan misi yang jelas untuk diterangkan kepada pengikut. Pemimpin perlu mempunyai pandangan jauh serta berkemampuan untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Dan pengikut pula perlu berfungsi untuk menghadam setiap misi dan visi yang dikehendaki oleh pemimpin. Kombinasi dua komitmen ini maka secara kasarnya pasukan akan akan berkembang sebagai pasukan yang mantap.
Musuh Dalam Organisasi (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Antara musuh dalam organisasi yang paling tidak disukai oleh pekerja ialah kaki bodek. Kaki bodek selalunya akan menerima cemuhan paling teruk kerana dia melibatkan bos. Selalunya kaki bodek melibatkan pekerja dan bos. Berlagak baik di hadapan bos, menunjuk-nunjuk rajin dan bertanggungjawab di hadapan bos sering dilakukan untuk mendapat perhatian.
Pada saya kaki bodek tidaklah berbahaya sangat berbanding dengan mereka yang berwatak gunting dalam lipatan dan langau, kerana kaki bodek jika untuk kepentingan bersama di tempat kerja rasa anda semua akan sama-sama mendapat kebaikan dan kebajikan. Tetapi yang selalunya berlaku apabila pembodek berusaha untuk naik jawatan kemudian dalam masa yang sama melabelkan orang lain tidak bekerja atau malas bekerja.
Musuh seumpama ini dapat dibendung jika bos mengambil sikap melihat sendiri hasil dan penat lelah setiap individu dan bukannya mendengar dari mulut orang lain. Penilain kerja perlu dilakukan dengan baik supaya setiap pekerja memandang baik kredibiliti seorang bos dalam memimpin organisasi.
Musuh Dalam Organisasi (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Gunting dalam lipatan
Mari kita terus kenali musuh-musuh dalam organisasi. Paling ditakuti ialah mereka yang berwatak gunting dalam lipatan. Individu seumpama ini jauh lebih hebat jika nak dibandingkan dengan watak langau yang saya kongsikan sebelum ini. Gunting ibarat sesuatu yang tajam dan berbahaya. Lebih-lebih lagi apabila ianya disembunyikan di dalam lipatan, bermakna kejahatannya disembunyikan dari pengetahuan orang lain.
Inilah yang selalu disebut oleh kita sebagai tikam belakang. Dalam organisasi jika ada yang mempunyai agenda ingin mengaut keuntungan seorang diri, pastinya tidak kisah melihat orang lain jatuh sekalipun sahabat yang selalu menemaninya setiap hari. Kemuncak kejahatannya apabila sesuatu yang dirancang tersebut berjaya dilaksanakan.
Bayangkanlah bagaimana sesebuah organisasi boleh maju jika setiap dari pekerjanya meletakkan kepentingan peribadi di hadapan dan meninggalkan visi organisasi di belakang. Organisasi akan hancur dan huru-hara kerana musuh seumpama ini. Jangan sekali-kali anda mengikuti secara langsung atau tidak langsung dalam agenda mereka. Bahkan jangan biarkan mereka berada dalam organisasi jika telah menyedari tindakan mereka yang bakal menjatuhkan organisasi.




