Tip-Tip Pengurusan Diri (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Selesaikan apa yang telah bermula
Suka saya memetik pepatah Inggeris yang berbunyi ‘get into the habit to finish up what you start’. Analogi yang lebih mudah difahami jika anda makan sepinggan nasi, habiskan apa yang anda sedang makan. Jangan tinggalkan sisa. Jika anda memahaminya pasti anda mula memikirkan mengapa pengurusan diri anda sering tidak berjalan seperti yang dirancang.
Kerja yang anda telah mulakan, jangan tinggalkannya sehingga anda berjaya siapkannya. Maklumlah apabila ditinggalkan esok belum pasti anda dapat selesaikannya memandangkan berkemungkinan anda akan menerima tugasan kerja yang baru pula. Apabila yang semalam tertangguh, yang hari pula menambah alamat anda mengalami konflik diri dan kerja untuk memastikan kedua-duanya siap dengan sempurna.
Kemahiran Konseptual
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Adakah anda pernah mendengar tentang kemahiran ini? Tidak ramai yang biasa mendengarnya tetapi kemahiran ini sangat penting bagi anda memahami apakah visi dan misi organisasi anda. Kemahiran konseptual akan memberikan gambaran kepada anda dengan jelas tentang apakah cita-cita yang ingin dicapai oleh organisasi anda. Bekerja bukan hanya pergi ke pejabat untuk melakukan tugasan kerja anda, tetapi anda memahami tugasan yang dilakukan adalah selari hasrat organisasi.
Jika anda sebagai penyelia atau pegawai apa yang perlu anda lakukan kepada orang bawahan anda ialah memberi faham kepada mereka mengapa organisasi tersebut ditubuhkan? Apakah objektifnya? Apakah fungsinya terhadap dunia globalisasi? Pemahaman tentang perkara asas ini akan memberikan ruang mereka bekerja dengan efisien dan fokus.
Begitu juga dengan anda yang menjadi ketua kepada organisasi atau syarikat anda. Lakarkan apa visi dan misi syarikat sebelum anda melangkah lebih jauh dalam bidang yang anda ceburi. Kemahiran konseptual akan memacu syarikat anda berada di atas landasan visi yang tepat dan tersusun.
Tip-Tip Pengurusan Diri (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Jika anda bimbang pada tugasan yang akan datang, lakukan tugasan anda sekarang supaya tiada gangguan.
Tip ringkas untuk anda yang bekerja. Selalunya kita risau dengan situasi kerja yang sememangnya menuntut tugasan yang banyak dan komitmen yang tinggi sehingga tidak dapat menstruktur masa dan kualiti kerja dengan baik. Tetapi tidak semua pekerja melaksanakan tugasan yang sedia ada sehingga siap. Mereka lebih rela memikirkan bebanan kerja yang menimbun tanpa berusaha untuk menyiapkannya. Rungutan dan mengomel setiap hari pastinya tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap kerja anda.
Lantas mengurus diri paling utama ialah apa yang perlu anda lakukan untuk menyiapkan tugasan kerja anda hari ini sebelum anda menerima tugasan baru pada esok hari. Elakkan dari terus menyalahkan organisasi yang memberikan tugasan jika anda tidak berjaya menguruskan diri dalam menyiapkan kerja yang diminta.
Bina diri anda yang sebenar sekarang. Utamakan kerja yang penting supaya anda lebih bersedia untuk menghadapi kerja yang baru. Jika tugasan penting anda tangguhkan pastinya esok akan menjadikan ruang kerjaya makin sempit hanya kerana tertekan dengan bebanan kerja, sedangkan pengurusan diri adalah masalah utama anda.
Tip-Tip Pengurusan Diri (1)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Carilah peluang baru untuk pengalaman hidup yang lebih menarik
Anda adalah insan yang bertanggungjawab di atas apa yang berlaku pada kehidupan anda. Jika anda tidak memahami konsep kehidupan ini, hidup anda akan dikuasai oleh persekitaran anda. Jika dalam waktu yang sama anda tidak menyedari dan gagal untuk mengurus diri anda, maka anda akan terperangkap dalam kehidupan yang pastinya akan memenatkan usia anda.
Ramai orang mempunyai peluang terbentang luas di hadapan mata untuk membina kehidupan yang baru, namun segala-galanya disia-siakan begitu sahaja. Peluang yang tidak selalunya hadir tidak direbut bahkan ianya hilang tanpa usaha. Bagaimana anda boleh mengurus diri lebih baik jika anda sendiri tidak menginginkan kehidupan yang berbeza dari sekarang.
Berikan sedikit bayangan pada kehidupan yang berbeza supaya anda lebih bersemangat untuk mengurus dan mengubah diri menjadi lebih hebat. Jangan lagi mengharapkan bulan jatuh ke riba, sebaliknya anda mencari jalan untuk memastikan andalah orang yang selalu dapat meriba bulan tersebut. Ingat cari peluang baru bermakna kehidupan yang bakal anda tempuhi juga adalah kehidupan baru. Pastinya pengurusan diri juga perlu strategi yang baru.
Cas Hospital Swasta Akan Dikaji Semula
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya baru sahaja berkongsi pengalaman isteri saya ketika mendapatkan rawatan pesakit luar di salah sebuah klinik swasta dengan anda semua. Pada hari ini pula kenyataan akhbar dalam Berita Harian pula mengajak anda semua berfikir. Rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan rawatan di klinik tempoh hari agak mahal dengan cara rawatan yang tidak berbaloi.
Justeru dalam membina kerjaya sebagai doktor atau institusi kesihatan berbayar seharusnya mereka cuba untuk memberikan khidmat yang terbaik tanpa mengambil kesempatan terlalu tinggi terhadap perkhidmatan mereka. Dari sudut positif saya melihat perkhidmatan di hospital dan klinik swasta agak tinggi dan tidak mampu dibiayai oleh mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana sekalipun mereka ingin mendapatkan perkhidmatan terbaik di hospital swasta.
Apa yang menarik hati saya apabila Datuk Dr Mohd Ismail Merican menasihati doktor bahawa tujuan utama mereka memilih profesion itu bukan sekadar mencari kekayaan tetapi membantu pesakit.
Saya memandang isu ini seharusnya Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil ruang baik ini untuk meningkatkan tahap perkhidmatan doktor dan jururawat di hospital-hospital kerajaan. Timbulnya isu seumpama ini bermakna permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta semakin meningkat. Mengapa begitu? Adakah perkhidmatan hospital kerajaan tidak cemerlang?
Cas hospital swasta yang rendah akan memberikan ruang kepada rakyat Malaysia untuk cuba mendapatkan yang terbaik dalam rawatan kesihatan. Persaingan yang baik juga untuk kedua-dua pihak.
Sehari Bersama Motivasi Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Berita baik untuk ahli Komuniti Motivasi Kerja dot Com, sebagaimana yang saya janjikan kita akan adakan satu pertemuan mengeratkan ukhuwah bersama ahli komuniti. Untuk maklumat selanjutnya, kepada ahli komuniti sila rujuk emel masing-masing. Insya Allah pertemuan kita nanti adalah pertemuan yang eksklusif dan menarik.
Jadi anda pula bagaimana? Jangan kecewa. Anda juga berpeluang untuk menghadiri pertemuan ini. Hanya daftar sebagai ahli komuniti. Cepat sebelum terlambat. Untuk daftar klik sini. Anda akan diberikan emel untuk butir-butir pertemuan kita.
Anugerah Bakat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bakat yang kita miliki adalah anugerah dari Tuhan untuk kita, Apa yang dapat kita hasilkan dari bakat tersebut adalah hadiah dari kita untuk Tuhan – Leo Buscaglia
Our talents are the gift that God gives to us, What we make of our talents is our gift back to God.
Kata-kata motivasi yang sangat bermakna. Bercakap tentang bakat mudah sekali tetapi untuk merealisasikan bakat yang Allah berikan rasanya tidak semua mampu. Anda lebih mampu menceritakan 1000 kegunaan pokok kelapa dari menceritakan beribu-ribu kelebihan dalam diri sendiri. Aneh sekali. Hanya kerana tidak mengenali potensi diri manusia semakin hari semakin jauh dengan Pencipta.




