Salam Aidilfitri
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tahun ini dirasakan Aidilfitri disambut dengan kemeriahan. Pertamanya ini adalah tahun kedua Motivasi Kerja dot Com menyambut Aidilfitri bersama anda semua. Pastinya kesetiaan anda bersama MK menjadikan aidilfitri lebih berharga.
Perlu diingat bahawa Ramadhan hanya hadir sebulan dalam setahun. Bulan ini adalah bulan perubahan diri. Allah memberikan latihan fizikal, mental, emosi dan rohani dalam bulan ini untuk membentuk zon pencerahan selepas daripada Ramadhan. Adakah kita benar-benar menghayati kelebihan bulan ini dan mendapat hikmah di sebaliknya.
Umat Nabi Muhammad beruntung kerana Allah SWT memberikan lailatul qadr kepada kita. Tetapi kesedaran umat akhir zaman pula semakin lama semakin jauh dengan status mereka sebagai hamba Allah. Akhirnya Ramadhan dilalui tanpa ada perubahan besar di dalam diri mereka.
Aidilfitri adalah kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati bulan ini. Kemenangan Aidilfitri adalah untuk anda yang telah beribadat sebanyak mungkin kepada Allah. Bukan kemenangan yang dilihat pada persiapan raya semata-mata. Ayuh kita bersama-sama membina perubahan diri yang berterusan bermula dari Syawal ini.
Pesara Dan Kakitangan Awam Dapat Duit Raya
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Anda yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan mungkin menarik nafas lega kerana dapat duit raya RM500 pada tahun ini. Pasti sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan raya. Begitu juga dengan pesara diberikan sejumlah yang sama.
Menurut Berita Harian semalam kerajaan berjanji memberikan duit raya sebelum 1 Syawal kepada 590,000 kakitangan awam dan pesara dengan peruntukkan sebanyak RM934.6 juta. Terima kasih kepada kerajaan yang memberi.
Namun hati kecil saya juga masih tertanya alangkah baiknya jika peruntukkan yang seumpama ini besarnya diberikan juga kepada semua golongan fakir miskin seluruh negara. Rasanya mereka lebih memerlukan dari kita semua memandangkan kehidupan mereka jauh tidak sempurna. Kakitangan awam dan pesara alhamdulillah mempunyai wang bulanan yang dapat membantu tetapi mereka belum tentu dapat seumpama kita. Rasanya keutamaan lebih kepada mereka.
Ahlan Ya Ramadhan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Ramadhan buat semua. Selamat datang wahai Ramadhan yang barakah. Sangat teruja menantikan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Apabila teringatkan Ramadhan sering kali kita teringatkan bazar Ramadhan yang penuh dengan pelbagai aneka juadah berbuka puasa yang pastinya jarang-jarang ditemui pada hari yang lain.
Allah berfirman:
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah Al-Baqarah: 183)
Bila anda ingat ayat ini pastinya bulan barakah ini perlu dikejar dengan sebanyak kebaikan. Jangan biarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Mengapa tidak melaburkan amalan sebanyak mungkin sedangkan anda sudah pasti bahawa saham bulan ini mendapat untung berlipat ganda yang pasti. Saham di bulan lain belum pasti untungnya besar tetapi bulan ni Allah memberikan bonus dan juga dividen berlipat ganda supaya kita sama-sama mengejar perkara yang lebih utama dalam bulan ini.
Ingatan pada diri saya juga, marilah kita sama-sama menjaga peratus pahala puasa kita setiap hari. Jangan puasa yang bermula dengan 100% tetapi ketika berbuka pahala puasa hanya tinggal 15% sahaja. Lapar dan dahaga sajalah yang dirasai sepanjang hari. Jangan tinggal terawih kerana solat terawih adalah ikon besar dalam besar dalam bulan Ramadhan. Pahalanya juga hebat. Ayuh! Jom kita rebut saham Ramadhan tahun ini.
Komen Dari Zamri Mohamad
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Anda mungkin masih ingat review saya pada buku Tip Menjadi Penulis Bestseller yang lepas. Hari ini saya rasa teruja apabila pengarang buku tersebut Zamri Mohamad juga menziarahi saya di blog kecil ini dan memberikan komen:
Assalamualaikum wbt
Terima kasih kerana sudi membuat sedikit ulasan buku Tip Menjadi Penulis Bestseller. Buku ini mendedahkan cara kerja saya menghasilkan 15 buku yang lain.
Insya Allah, buku ini dapat memberi idea kepada pembaca bagaimana memulakan langkah berkarya.
Semoga dipermudahkan Allah.
Bayangkanlah penulis telah memberikan tip yang baik kepada anda dengan hanya sebuah buku. Menghasilkan 15 buah buku dari hanya sebuah buku adalah satu potensi yang anda juga harus ada. Paling penting perkongsian ilmu pastinya akan memberi kesan baik juga kepada anda. Selamat membaca dan menulis.
Rumah Saya Dipecah Masuk
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Teringin berkongsi pengalaman ini dengan anda semua. Memang benar malang tidak berbau. Klik sini untuk cerita penuh pengalaman saya. Peringatan kepada anda yang tinggalkan rumah sewaktu bekerja gunakan solex yang berkualiti tinggi, biarlah nampak rumah anda macam peti besi pun sebab itu lebih selamat.
Selamat Hari Guru
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Hari bahagia buat mereka yang membina kerjaya sebagai warga pendidik pada hari ini kerana 16 Mei setiap tahun adalah hari untuk mengingati warga pendidik yang kita panggil guru. Tahniah kepada semua guru! Tidak semua insan di dunia ini cekal untuk memberikan ilmu kepada orang lain dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Bagi anda yang telah lama menjawat kawatan guru mungkin bahagianya pada hari ini anda menerima ucapan Selamat Hari Guru dari anak-anak murid yang telah pun berada di posisi yang berbeza dari dulu bahkan mungkin lebih berjaya dari karier seorang guru.
Teruskan perjuangan dalam mendidik anak bangsa dengan ikhlas. Panjatkan doa dalam setiap episod pengajaran kepada murid-murid, pelajar-pelajar, siswa-siswi agar mereka bukan sahaja menjadi pelajar celik minda tetapi celik akhlak dan juga celik spiritual kepada Allah SWT.
Di kesempatan ini saya ingin mengalungkan jutaan terima kasih kepada insan-insan ini kerana telah memberikan ilmu dan tunjuk ajar sepanjang hidup saya. Tanpa seorang guru mana mungkin saya boleh berada di tahap ini. Harapan saya jadilah seorang pendidik bukan hanya seorang pengajar di sekolah. Guru adalah ibu bapa kedua dan pada anda yang masih belajar hormatilah dan sayangilah guru kerana keberkatan ilmu hanya ada apabila anda menghormati mereka.















