Award Dari IndahKasihku
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dalam tempoh menulis di blog, rasanya inilah kali pertama saya mendapat award dari kalangan pembaca blog ini. Sangat terharu dan mengharukan. Namun saya tidak menulis semua ini kerana nama. Terima kasih kepada IndahKasihku kerana memberikan penghargaan ini. Saya menerima dengan bangga sebagai inspirasi untuk terus menulis. Sebarang komentar dari anda terhadap blog ini amat saya alukan kerana saya ingin menulis yang terbaik sebagai perkongsian bersama anda.
Tercabarnya Kewibawaan Seorang Motivator
Assalalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bukan mudah bergelar seorang motivator. Seorang pakar motivasi mungkin lebih senang untuk memotivasikan orang lain. Tetapi bukan mudah untuk memotivasikan diri sendiri. Terutama dalam situasi yang melibatkan pengalaman pertama yang perlu dihadapi. Alhamdulillah berkat kesabaran dan pertolongan Allah SWT, saya menerima kehadiran insan baru yang menjadi tanda cinta kami. Seorang bayi perempuan selamat dilahirkan pada 16 Mac 2010 bersamaan 30 Rabiul Awal 1431H pada jam 11.30 pagi. Kami namakan sebagai Nur Irdhina.
Rasa bersyukur sangat kerana ketika isteri saya bersalin, saya berpeluang masuk ke labour room. Di sinilah kemuncak seorang suami dan bakal bapa memberikan motivasi kepada isteri dan juga bakal ibu. Melihat sendiri keadaan genting antara hidup dan mati seorang ibu berjuang untuk kelahiran insan baru. Terus terang saya katakan, bukan mudah melahirkan manusia. Kepada anda yang pernah melihat sendiri, rasanya memang layak Allah SWT menurunkan perintah supaya anak tidak boleh berkata ‘ah’ kepada seorang ibu. Perit melahirkan seorang anak.
Saya melihat sendiri perit wajah, air mata yang berjujuran kerana menahan kesakitan. Seorang motivator seperti saya juga tidak mampu melihat situasi seperti ini. Berada di labour room, saya mula berada di sisi isteri tercinta. Melihat kerutan wajah yang menahan kesakitan apa yang perlu anda lakukan? Itulah juga persoalan yang saya tanyakan pada diri saya sendiri sebelum masuk ke labour room. Dan inilah yang saya lakukan:
- Genggamlah tangannya kerana genggaman seorang suami ketika itu adalah kuasa tambahan pada isteri anda.
- Selawat banyak-banyak dan niat agar Allah bantu ringankan kesakitannya. Tidak henti-henti saya doakan pada isteri. Selawat dan doa bergilir dibacakan di telinga isteri.
- Bukan mudah untuk seorang bakal ibu yang sudah lemah untuk menerang bayi keluar, anda perlu tenangkan isteri. Proses ini sememangnya perlukan ketenangan. Dari pemerhatian saya ibu yang tiada pengalaman agak sukar untuk menerang bayi kerana mereka tergesa-gesa untuk push bayi keluar. Semakin panik nafas semakin pendek, proses ini semakin sukar bila nafas pendek.
- Kata-kata motivasi anda ketika ini amat mujarab. Sepatah dua kata-kata sudah memadai untuk berikan semangat pada isteri.
- Jangan berikan tekanan. Tertekan akan menyebabkan ibu sukar untuk push bayi.
- Tiada kegembiraan yang dapat diceritakan melainkan airmata yang mampu menceritakan ketika melihat bayi anda selamat dilahirkan. Begitulah juga isteri anda (Saya berharap Allah sentiasa beri saya peluang ini)
- Azan atau iqamah selepas selamat dilahirkan.
Pengalaman berharga ini saya kongsikan bersama anda yang merupakan sahabat saya di blog ini. Anak dan pengorbanan isteri adalah aspirasi yang perlu anda bawa bersama untuk terus berusaha menjadi ayah yang terbaik.
Bertemu Penulis Khadijah Ibrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Mungkin anda masih ingat entri saya Tulisan Cerminan Personaliti Diri hasil tulisan Khadijah Ibrahim. Hari ini seronoknya saya berpeluang bertemu dengan beliau kerana dijemput oleh bos saya atas urusan tertentu. Yang seronoknya beliau datang ke pejabat kami di Bandar Baru Bangi.
Mungkin nama beliau tidak sehebat Khadijah Ibrahim yang merupakan seorang penyanyi. Penulis ini merupakan anak jati Johor dan berkelulusan Chemical Engineering daripada Sheffield University, UK dan ditauliahkan sebagai Certified Handwriting University, Dallas America Syarikat. Beliau juga berpengalaman menganalisa lebih 100 tulisan tangan dalam membantu dalam membentuk personaliti individu.
Apa yang menarik hati saya juga, selepas waktu pejabat kami semua staf Fitrah Power Resources berkesempatan bersama beliau dalam bengkel ringkas pendedahan ilmu tulisan ini dalam menganalisa personaliti orang lain. Walaupun satu jam tapi penuh dengan ilmu dan skill.
Saya @ TV9 Dekat Di Hati
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saksikan saya di TV9 Dekat Di Hati dalam rancangan Tanyalah Ustaz pada 17&18 Februari 2010 pada jam 7-8 pagi. Alhamdulillah saya mula melangkah setapak ke hadapan untuk program agama di rancangan TV. Insya Allah tahun ini ada lima siri rakaman dalam rancangan Tanyalah Ustaz. Semoga dapat manfaat bersama.
Ayuh! Kita Sama Membantu
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana membuka hati ini untuk sama berkongsi kisah realiti kehidupan. Saya terbaca kisah ini dari Kongsi Blog. Sangat menyayat hati saya. Rasa terpanggil untuk sama mengajak sahabat-sahabat semua membantu insan yang memerlukan bantuan kita semua. Saya tidak dapat memaparkan kisahnya di sini memandangkan tidak boleh disalin dari blognya. Seorang blogger yang seperti anda semua sangat memerlukan bantuan.
Inilah masanya Allah menginginkan kita membantu dan melihat sejauh mana anda semua sanggup membantu mereka. Kehidupan mereka semakin terdesak. Adakah harapan mereka untuk hidup akan berakhir? Saya rasa tidak. Anda perlu bantu mereka. Membantu mengikut kemampuan anda. Jika anda inginkan pertolongan dan kasih sayang dari Allah ayuh kita sama-sama membantu.
Dengan ketundukan dan kejernihan hati kepada Allah, anda boleh baca kisahnya di Megat.Net. Jangan bertangguh untuk lakukan kebaikan!
Award Untuk Blog Motivasi Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya dengan sukacitanya nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada Web Siti Fatimah kerana telah menganugerahkan award yang sangat bermakna pada saya. Semenjak menulis blog, ini adalah award pertama yang diterima. Satu kejutan buat diri saya. Menulis bukan untuk mengharap penghargaan. Tetapi apabila orang menyatakan penghargaannya bermakna itu satu langkah baik untuk meneruskan penulisan.
Siapa kata dalam alam maya seumpama ini kita tidak dapat memberikan penghargaan kepada orang lain. “Kak Siti terima kasih atas penghargaan ini.” Perkenalan dengan Kak Siti sangat membantu penulisan saya di blog ini. Beliau seorang rakan yang baik dalam membantu memberikan idea dan pengalaman. Jika anda lihat hasil penulisannya memang sangat terasa ada suatu kelainan yang memberikan suntikan pada diri anda.
Alhamdulillah tahun ini hari lahir saya banyak sekali berita baik. Semoga saya tidak alpa dan kurang bersyukur.
Umur Adalah Jumlah Yang Tidak Akan Menurun
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sukar sekali tangan ini ingin menulis pada entri kali ini. Entah mengapa soal umur begitu menjadi topik pemikiran di minda ini. Entah mengapa hati terlalu berdetik dan memikir soal-soal yang sensitif dengan umur. Inilah sifat fitrah yang ada dalam diri manusia. Siapa pun anda, sebenarnya anda pasti bertanya pada diri anda ke manakah anda akan bawa kehidupan ini?
Mungkin kehidupan anda bermula dengan permulaan yang baik, penuh dengan kegembiraan dan kejayaan demi kejayaan yang anda kecapi. Pelbagai nikmat anda dapat sepanjang kehidupan anda. Tetapi bagaimana pula dengan pengakhiran? Adakah ianya juga konfem akan berakhir dengan baik? Sukar untuk dijawap. Hanya hati dan iman yang mampu menjawapnya.
Umur adalah jumlah yang tidak akan pernah berkurang. Setiap tahun umur akan meningkat. Kulit semakin lama akan hilang tegangnya. Wajah yang cantik akan hilang seringnya. Sihat akan bertukar menjadi uzur. Namun bagaimana dengan amal pula? Adakah ianya matang seiring usia yang meningkat? Aduh! Sukarnya menjawap persoalan ini.
Hari ini adalah hari lahir saya yang ke-28. 7 Januari menjadi nombor bertuah untuk saya. Namun tuah sebenarnya bukan dilihat pada nombor tarikh lahir. Entah mengapa hati kecil terlalu memikirkan diri yang tidak tahu berakhirnya macam mana. Mungkin anda seronok menyambut hari lahir. Saya juga begitu. Tetapi jangan berpura-pura bahawa hati kecil anda tetap memikirkan soal ini, tapi selalunya nafsu menepis bahawa umur masih muda.
“Ya Allah panjangkanlah umurku dalam melakukan kebaikan kepada Mu. Amin”





