Hargailah Pekerja Anda
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bagaimana anda sebagai majikan perlu menghargai pekerja anda? Banyak berlaku pada hari ini majikan hanya mengaut keuntungan berganda-ganda tetapi kebajikan dan hak pekerja tidak diendahkan. Mengapa begitu? Sedarilah bahawa keberkatan anda sebagai majikan terletak bagaimana anda menjaga dan menghargai pekerja anda.
Membayar gaji tepat pada masa
Saya memetik satu hadis: “Berikanlah kepada pekerja upahnya sebelum kering keringatnya.” (HR Ibnu Majah)
Jelas sekali bahawa memberikan gaji sebelum keringatnya kering sebagai satu perumpamaan dan kiasan bahawa membayar gaji kepada pekerja tidak boleh dilewat-lewatkan. Bahkan jika prestasi kerja meningkat majikan wajar memberikan bonus atau bayaran tambahan yang setimpal dengan apa yang diusahakan oleh pekerjanya.
Sebagai majikan perlu menyedari hakikat ini sedalam-dalamnya agar anda tidak menganiayai orang lain yang berusaha dengan penuh ikhlas dan komitmen. Berjanji untuk memberikan ganjaran tertentu juga mesti dilaksanakan kerana itu semua dianggap satu perkara yang besar di dalam hati seorang pekerja.
Namun jika anda sebagai majikan mungkin mengalami situasi yang tidak terjangka dalam bisnes atau organisasi, budi bicara sebagai majikan ialah perlu berbincang dengan pekerja tentang masalah kewangan syarikat serta masalah yang melibatkan gaji mereka. Menipu dan berjanji itu dan ini tidak akan membantu pekerja memberikan sangkaan baik pada anda. Percayalah! Berkomunikasilah dengan baik agar pekerja anda memahami bersama masalah yang dihadapi.











