Ikhlaskah Amalan Kita?
Jika saya tanyakan pada anda adakah anda bekerja ikhlas atau tidak? Susah untuk dijawab. Saya bertanyakan soalan ini bukan nak menunjukkan saya ikhlas. Keikhlasan tidak dapat dinilai oleh mata kasar. Sekalipun di mata manusia nampak seakan-akan menunjuk-nunjuk tetapi hakikat sebenar hanya Allah SWT yang dapat menilainya.
Sebahagian dari masyarakat kita memberikan tanggapan bahawa ikhlas tidak boleh ambil duit. Contoh seorang ustaz yang dijemput untuk menyampaikan ceramah atau menjadi imam untuk solat terawih. Ustaz ini tidak perlu diberikan saguhati kerana seorang ustaz yang ikhlas tidak boleh diberi upah. Betulkah begitu? Jika begitu maka sudah tentu golongan seperti ini selamanya tidak dapat meneruskan perjuangan sucinya. Jika ikhlas dinilai sebegitu maka golongan agama diibaratkan sebagai orang yang tidak maju dan akan mudah diperlekehkan.
Bagaimana pula jika orang yang bersedekah atau berzakat dengan publisiti media? Adakah itu juga dikira sebagai amalan yang tidak ikhlas? Dalam realiti hari ini seharusnya kita sebagai umat Islam perlu mengubah persepsi yang selalu melihat orang lain sebagai tidak ikhlas. Kehidupan yang menuntut kita mempunyai aset untuk meneruskan perjuangan sebagaimana yang dilakukan oleh ustaz yang saya jadikan contoh tadi. Bahkan publisiti inilah yang menjadi pendorong untuk orang lain juga bersedekah serta memberikan zakat kepada yang perlu.
Keikhlasan sebenarnya terletak pada hati masing-masing. Sekalipun amalan yang dibuat tidak dilihat orang lain tetapi tetap ada ujub dan tidak ikhlas, adakah itu dikira sebagai amalan maqbul (yang diterima Allah SWT). Sebab itu Allah menyeru kita supaya ikhlas dan taat dalam menyembah dan mengabdikan diri kepadaNya.
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus. [Al-Bayyinah: 5]
Apa yang penting kita menyedari setiap amalan kita itu adalah dilakukan kerana inginkan keredhaan Allah SWT. Andai keredhaan diletakkan sebagai keutamaan maka ikhlas akan hadir. Dan pertolongan Allah seperti juga rezeki dari pelbagai sudut akan datang tanpa disangka-sangka. Saya tinggalkan persoalan kepada anda semua adakah kita ingin beramal kerana Allah atau sebaliknya?

Assalamualaikum Along. Terima kasih kerana selalu singgah di blog saya. Benar kata Along, motivasi ini memang turun naik, kadang-kadang kita boleh memotivasikan orang lain, dan ada kalanya diri sendiri pula yang perlu dimotivasikan oleh orang lain.
Memang benar suhaily, bukan senang nak ikhlas. Sekalipun mungkin kita cuba kadang-kadang ada juga terlintas di hati untuk kepentingan diri. Itu yang perlu kita didik.
salam saudara..
Keikhlasan adalah suatu rahsia Illahi,umpama seekor semut hitam,di batu yang hitam, di suatu malam yang gelap gelita…Suatu rahsia dalam rahsia Illahi,akan dikurniakan kepada seorang hamba yang dikasihi Allah s.w.t….
pokoknya siapa yang paling dikasihi oleh Allah S.w.t…tak lain tak bukan beliau ialah baginda Rasulullah s.a.w…Oleh itu formula keikhlasan ialah kita sebagai hambaNYA hendaklah mengerjakan setiap amal menurut sunnah baginda Rasulullah s.a.w…pasti Allah S.w.t akan mengurniakan keikhlasan yang sememangnya diimpikan oleh setiap hamba2 yang beriman…jumpa lagi.wassallam.
alqaswa.
Al-Qaswa: Ternyata apa yang dinyatakan oleh Qaswa memberikan pengertian yang bermakna kepada maksud ikhlas. Ikhlas adalah satu-satunya sifat yang tidak boleh dinilai oleh manusia. Ikhlas hanyalah ditentukan oleh Allah SWT. Cuma sebagai manusia biasa, kita perlu berusaha untuk terus beramal dengan ikhlas dalam setiap amal kebajikan kita.