Indahnya Mempunyai Impian

“Saya berada di sini dengan satu tujuan. Dan tujuan tersebut sepatutnya membesar menjadi gunung bukannya mengecut menjadi pasir. Mulai sekarang dan seterusnya saya akan menggunakan segala daya dan upaya saya untuk menjadi gunung yang tertinggi dan saya akan menegangkan potensi saya sehingga ia menangis meminta belas kasihan.” – Og Mandino

mempunyai-impian

Sungguh indah apabila berdiri di hadapan kita seseorang yang menyebutkan tentang impiannya yang hebat.
Lebih-lebih lagi apabila melihat orang yang mungkin tiada keupayaan untuk melakukannya, tetapi mempunyai impian yang besar untuk diperlihatkan oleh orang lain. Ada sebahagian mungkin berkata, itu sekadar kata-kata sedangkan diri memang tidak mampu untuk melakukannya. Namun pada mata hati saya lebih baik mempunyai impian walaupun diri mungkin tidak mampu melaksanakannya. Sekalipun tidak mampu melakukannya bersendirian, tetapi orang lain pasti akan membantu.

Alangkah teruknya seseorang apabila langsung tidak mempunyai impian untk menjadi yang terhebat. Jauh sekali melihat tindakannya untuk ke arah itu! Tidak mempunyai impian umpama diri yang tiada rasa hormat pada diri. Bahkan anda mula melangkah ke arah kegagalan. Setiap langkah anda mula sumbang kerana anda tidak memikirkan siapa anda di masa hadapan.

Apa yang penting untuk ke alam impian anda, pastikan anda menggunakan sepenuhnya potensi yang ada dalam diri anda. Gunakan semaksimum mungkin. Keluarkan segalanya yang terdaya. Kerana atas usaha itu nescaya Allah SWT akan memberikan anda ruang untuk mengecapi alam impian anda.

Tidak sukar mengenali potensi diri anda jika anda benar-benar mahu. Tetapi sukar apabila anda sering memberikan alasan pada setiap peluang yang hadir di hadapan anda. Thomas Edison mencuba 10000 kali pada lampu ciptaannya sebelum berjaya.  Jadi mengapa anda mengaku kalah di saat belum pun mencuba? Fikirkanlah!