Jangan Terlalu Sayangkan Harta

“Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu: dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau ; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau ; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau ; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya.” - Saidina Abu Bakar r.a -

Harta bukanlah milik mutlak manusia kerana itulah kita boleh bekerja untuk mengumpul harta tetapi bukan untuk menyimpannya sehingga ke akhirnya hayat. Harta yang banyak tidak akan cukup bahkan akan terus ingin menambahnya walaupun sudah memiliki segunung emas di hadapan mata. Ini menunjukkan harta yang banyak bukanlah keperluan kita kerana keperluan tidak akan membuatkan manusia terlalu menyayangi harta.

Kekayaan dan kemewahan adalah kehendak yang tiada batasnya. Kerana itulah Allah sentiasa memperingati orang-orang yang sentiasa mencari-cari harta dengan firmannya dalam surah Al-Humazah ayat 3-4 yang bermaksud: “Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.”