Jauhi Zon Selesa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ketika bermula kehidupan sebagai pekerja, pastinya anda akan mengalami kesukaran untuk mendapat keselesaan bekerja memandangkan ilmu, kemahiran dan profesionalisme anda sebagai pekerja masih di tahap permulaan. Namun bagusnya anda tidak lokek berusaha kerana anda menyedari situasi anda yang memerlukan banyak input-input baru bagi memastikan anda dapat menguasai bidang pekerjaan yang anda ceburi.

Namun apabila tempoh pekerjaan anda mula masuk 2-3 tahun anda sudah berada di alam pekerjaan, anda mula merasakan keselesaan kerana perlahan-perlahan anda mula melangkah menjadi senior, anda juga sudah dapat menguasai tahap kerjaya anda. Perjalanan kerja juga semakin hari semakin pantas. Dan anda mula selesa dengan keadaan ini.

Dari pemerhatian, apabila anda mula masuk ke dalam zon ini, anda mula hilang momentum usaha anda yang dulu. Sebaliknya anda terus dalam graf sama rata setiap hari. Anda tidak berusaha untuk terus mengembangkan potensi diri yang masih banyak tidak diterokai dalam diri anda. Segala tugasan kerja anda sudah mula bertangguh-tangguh atau serahkannya pada orang lain. Jika situasi ini berlaku dalam tempoh yang lama, sedari atau tidak anda hanya menerima upah atas usaha anda yang sederhana itu. Tetapi peningkatan pada diri hanya terhenti setakat itu kerana anda sudah selesa dan tidak mahu membina perubahan untuk lebih maju ke hadapan.