‘Kabel’ Jejaskan Visi Kerajaan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya tertarik dengan satu tajuk akhbar kelmarin tentang bidang perguruan. Dalam situasi hari ini makin ramai para guru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak tidak mahu melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik di sana. Ramai juga di antara mereka menggunakan ‘kabel’ dalaman atau pengaruh golongan tertentu untuk menukarkan mereka dan memastikan mereka tidak ditugaskan ke sana. Apa pendapat anda?

Sebenarnya saya rasa terpanggil juga kerana dalam hati saya, kerjaya sebagai guru bukan untuk mencari populariti dan nama. Bukan hanya kerana nak dapat cuti yang panjang. Jika anda telah memilih sebagai kerjaya sebagai seorang guru tidak dapat tidak anda perlu fahami bahawa anda membawa tugas besar untuk bangunkan minda masyarakat. Andalah yang akan memberikan ilmu dan pendidikan kepada mereka.

Sebenarnya visi seorang guru ada persamaan juga dengan visi para Rasul di mana anda membangunkan minda anak-anak bangsa dari kejahilan. Bayangkan berapa ramai anak-anak di pedalaman Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan bantuan anda. Bahkan anda terpilih untuk melakukannya. Namun hati saya juga menyuarakan kesedihan jika fenomena ini berterusan maknanya kredibiliti para guru akan datang akan mula dipandang rendah oleh masyarakat.

Kerjaya guru bukan mudah. Saya tidak pelik bahawa setiap orang inginkan keselesaan di tempat kerja. Jika anda ingin bertukar sekalipun, alangkah baiknya ambil pengalaman terlebih dahulu supaya anda lebih matang dalam bidang kerjaya anda.