Kisah Seorang Pemuda Dan Anjing Dahaga

tolong-orang
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita: “Pada suatu ketika, ada seorang lelaki sedang berjalan melalui sebuah jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Kebetulan dia menemukan sebuah sumur, maka dia turun ke sumur itu untuk minum. Setelah keluar dari sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah ketika kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya. “Alangkah hausnya anjing itu seperti yang baru ku alami.” Lalu dia turun kembali ke sumur diceduknya air dengan sepatunya dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterima-Nya amalnya) dan diampuni-Nya dosanya.” Para sahabat bertanya. “Ya, Rasulullah! Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini?” Jawab Rasulullah saw.”Menyayangi setiap makhluk hidup berpahala.”

Hadis Sahih Muslim: Jilid 4 (2098)

==========

Huraian ringkas

Kehidupan di dunia ini bukan hanya perlu melakukan ibadah kepada Allah SWT dalam ibadat-ibadat khusus, tetapi juga sebagai manusia yang membawa watak khalifah, antara tugas utama ialah memakmurkan bumi Allah SWT. Memakmurkan bumi adalah sangat luas tugasnya. Meliputi hubungan sesama manusia dan juga hubungan sesama makhluk termasuklah haiwan, bukit-bukau, alam sekitar dan sebagainya. Mungkin dalam hubungan baik kepada haiwan kurang terkesan di hati kita. Lebih-lebih lagi seekor anjing yang diisytiharkan Al-Quran sebagai haiwan yang haram.

Memberikan minum kepada seekor anjing diberikan pahala oleh Allah menunjukkan bahawa kita sebagai manusia perlu melakukan kebaikan di atas muka bumi ni tanpa memilih-milih. Sebahagian daripada kita berbuat baik hanya untuk dipandang oleh orang lain. Melakukan kebaikan perlukan iklan dan publisiti agar dipandang dan dilihat oleh orang lain. Adakah Allah menerima amalan seumpama itu? Wallahu A’lam.

Satu pengajaran penting juga daripada kisah ini, ialah betapa Allah SWT amat menyukai hambaNya yang membantu mengeluarkan hambaNya yang lain yang berada dalam kesusahan. Besar pahalanya. Dan Allah SWT akan melepaskan kesusahan yang berlaku pada dirinya hanya kerana usahanya yang membantu meringankan kesusahan orang lain.

Firman Allah SWT:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” [Surah Al-Zalzalah 8-9]