Kuasa Kemaafan (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa khabar anda semua? Harap semuanya sihat. Bagaimana tidur anda malam tadi? Adakah anda masih dibayangi kesalahan-kesalahan yang pernah anda lakukan kepada orang lain? Jika anda mengalaminya percayalah bahawa hidup anda akan terus dilanda resah jika tidak memohon maaf dari mereka yang anda lakukan kesilapan.

Saya ingin kongsikan kisah dua orang sahabat karib yang sedang berkelana di padang pasir. Sedang dalam perjalanan berkelana, berlaku salah faham antara mereka sehingga menyebabkan mereka bergaduh. Akhirnya salah seorang sahabat menampar muka sahabat karibnya. Kerana terlalu sedih sahabat yang ditampar mukanya telah menulis di pasir, “HARI INI SAHABAT KARIBKU TELAH MENAMPAR MUKAKU”.

Selepas peristiwa itu mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka tiba di satu kawasan oasis. Maka mereka berehat untuk bersuci dan mandi di situ. Ketika sedang mandi-manda tiba-tiba sahabat yang kena tampar tadi telah lemas. Nasib baik sahabat yang telah menampar mukanya tadi berjaya menyelamatkannya. Maka sahabat selamat dari lemas itu menulis di batu, “HARI INI SAHABAT YANG SAYA SAYANGI TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU.”

Melihatkan ukiran itu, sahabat yang menyelamatkan sahabatnya yang lemas tadi bertanya, “Wahai sahabatku mengapa ketika aku menampar mukamu kamu menulisnya di pasir tetapi apabila aku menyelamatkanmu, kamu menulisnya di batu.”

Maka sahabat tadi menjawab, “Aku menulisnya di pasir kerana berharap hembusan angin kemaafan akan menghilangkan kesalahan yang telah kau lakukan. Tetapi aku menulis di batu kerana aku tidak mahu melupakan kebaikan yang telah kau lakukan kepadaku.”

Gambar: Kredit kepada iluvislam.com