Kurangkan Pekerja Warga Asing

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam akhbar Berita Harian hari ini saya melihat kerajaan mengambil tindakan mengurangkan pekerja asing untuk menguatkan sektor awam di negara ini. Saya pernah memberikan respon tentang isu ini dalam posting Dilema Pekerja Asing yang lalu untuk membayangkan bahawa sepatutnya sudah lama kerajaan Malaysia memikirkan penyelesaian ini.

Jumlah pekerja warga asing yang berdaftar di negara ini menjangkau 1.8 juta, bukanlah satu angka yang kecil jika kerajaan memikirkan masa hadapan negara. Membina transformasi dalam sektor awam seharusnya membina perancangan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti pekerja di sektor awam, supaya kualitinya bukan sekadar dilihat pada perancangan kertas sahaja. Walau bagaimanapun langkah awal untuk mengurangkan pekerja warga asing adalah permulaan yang baik.

Pekerja warga asing sebenarnya juga memberikan kesan positif kepada sektor perkhidmatan dan produktiviti negara, namun dominasi mereka dalam semua lapangan kerjaya pastinya membantutkan potensi tenaga kerja di negara ini. Tenaga pakar dari luar masih diperlukan untuk mencetuskan inspirasi dan inovasi warga kerja Malaysia dalam aspek-aspek tertentu.