Masalah Antara Organisasi Dan Kakitangan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekadar ingin berkongsi dengan anda semua, atas pengalaman saya yang sedikit ini mengendalikan lebih dari 100 kursus-kursus motivasi diri, pengurusan organisasi dan pembangunan spiritual yang melibatkan organisasi kerajaan dan swasta. Selalunya masalah-masalah yang dikongsikan kepada saya adalah masalah antara golongan pengurusan tertinggi dan juga kakitangan sokongan adalah seperti berikut:

Sistem pengurusan yang sering berubah

Sistem pengurusan perlu dikuasai oleh setiap pekerja bagi mendapatkan pengurusan yang efisien dan produktif. Andai sistem pengurusan bagi organisasi tersebut sering mengalami perubahan, kakitangan akan mengalami tekanan kerja kerana tidak memahami konsep dan bidang kuasa kerja dengan tepat dan jelas. Sudah pasti kerja akan dilakukan dalam keadaan bercelaru dan tidak tahu kepada siapa untuk dirujuk.

Komunikasi ‘break down’

Ini adalah antara ranking tertinggi masalah yang sering berlaku di organisasi. Ada beberapa sebab berlaku masalah ini. Antaranya pihak atasan terlalu ‘bossy’ dengan kakitangan mereka. Mereka tidak mengendahkan masalah yang berlaku di peringkat bawahan, tidak ‘briefing tugasan’ dengan baik, dan banyak memberikan arahan. Peratus tertinggi ialah pihak atasan hanya memberikan arahan kepada pekerja bawahan. Bayangkan apabila komunikasi tidak berkesan bagaimana pengurusan di organisasi tersebut? Anda sendiri tentu dapat bayangkan.

Posisi kerja dan kelayakan jauh berbeza

Antara rungutan yang sering diajukan kepada saya ramai staf yang tidak dapat menguasai bidang kerja mereka dengan baik. Cuba bayangkan anda berpotensi dalam bidang IT tetapi diletakkan dalam pengurusan kewangan. Bagaimana anda ingin menjalankan kerja anda? Saya tidak mengatakan itu adalah mustahil untuk dilakukan. Cuma jika tidak ada penerangan bidang kerja dengan jelas pasti akan memberikan tekanan pada staf tersebut.

Kurang mendapat pendedahan dan kursus

Kerja adalah satu cara menuntut output dari anda. Tetapi jika bertahun-tahun output dituntut dari seorang pekerja sedangkan dia kurang mendapat input, bagaimana situasi kerjanya? Pasti anda akan stres, kurang mahir dan juga hilang motivasi untuk melakukan kerja setiap hari. Ramai yang mengadukan hal ini kepada saya. Ada organisasi yang tidak dapat menguruskan latihan untutk staf mereka dengan baik sehinggakan ada yang bekerja 10 tahun belum pernah menghadiri kursus-kursus kemahiran kerja dan motivasi pembangunan diri.