Mengenali Potensi Diri (2)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

potensi-diriSatu topik yang sangat menarik untuk saya kongsikan bersama anda. Setiap insan yang dijadikan Allah Subhanahu Wataala mempunyai anugerah potensi dan bakat yang sangat bererti pada dirinya. Itu menunjukkan bahawa Allah Maha Adil kerana menjadikan manusia mempunyai kelebihan dan dalam masa yang sama ada juga kelemahan pada dirinya. Persoalannya mengapa anda tidak dapat membongkar potensi anda? Sedangkan anda tahu Allah menganugerahkan bakat kelebihan pada setiap manusia.

Saya ingin mengubah sedikit corak pemikiran kita semua tentang potensi. Selalunya bila menyebut tentang potensi anda akan bertanya pada diri anda, apa dia potensi saya? Dan dalam minda anda berlegar bahawa potensi adalah kemahiran fizikal yang ada pada seseorang individu.

Sebenarnya potensi bukan hanya sekadar kemahiran fizikal. Itulaha sebahagian daripada cabang potensi diri anda. Potensi adalah sesuatu yang positif dalam diri anda. Sama ada dalaman atau luaran itu semua dikira sebagai potensi diri. Jika anda berkemahiran dalam bidang tertentu seperti bersukan, kraftangan, memasak, menyulam dan sebagainya itu sememangnya adalah potensi fizikal anda. Tetapi perlu diingat juga bahawa jika anda seorang yang rasional, penyayang, penyabar, gigih, kreatif, bersemangat, tahu cara menghargai orang lain itu juga dikira potensi diri anda yang perlu anda serlahkan.

Seorang yang berjaya tidak hanya bergantung pada kemahiran fizikalnya semata-mata. Tanpa bantuan potensi dalaman kejayaan yang anda impikan tidak akan ke mana. Seorang motivator tidak akan berjaya jika hanya mempunyai kepakaran dalam ‘public speaking’. Motivator yang berjaya memerlukan kreativiti, semangat, menghargai orang lain, komunikasi yang baik serta beberapa lagi potensi dalaman yang perlu dikuasai. Barulah boleh digelar seorang motivator yang berjaya.

Begitulah juga dengan seorang pekerja seperti anda. Kedudukan anda sekarang tidak dinilai dari kepandaian anda mengendalikan kerja anda sahaja. Untuk lebih berjaya anda perlu mencari lagi potensi-potensi dalaman anda untuk anda serlahkan dan menyokong kemahiran fizikal yang anda ada sekarang. Anda seorang pakar IT yang hebat, tetapi percayalah anda tidak akan dapat naik setingkat lebih tinggi jika anda hanya menguasai kemahiran itu. Anda perlu menyokongnya dengan potensi komunikasi yang baik, sedikit kreativiti, dan jika perlu adunkannya dengan kemahiran-kemahiran yang lain barulah anda boleh berjaya.