Mengenali Potensi Diri (6)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda mungkin masih ingat tentang artikel pertama saya tentang potensi diri. Anda mungkin masih ingat beberapa kategori manusia yang tidak memanfaatkan potensi. Di sini saya nyatakan beberapa kategori manusia

  • Manusia yang tidak tahu potensi diri
  • Manusia yang tahu potensi diri tetapi salah guna
  • Manusia yang tahu potensi tetapi tidak mahu menggunakannya
  • Manusia yang tahu potensi dan menggunakannya

Begitulah antara kategori manusia yang ada di dunia. Jadi anda di kategori yang mana? Bukan mudah untuk termasuk dalam kategori yang tahu potensi diri dan tahu bilakah masa untuk menggunakannya. Ramai yang tidak mampu menyenaraikan potensi diri mereka. Sebenarnya jika potensi diri ini anda lihat dari satu aspek sahaja maka memang tidak banyak yang boleh anda senaraikan. Allah SWT menjadikan manusia bukan hanya satu atau dua kemahiran sahaja. Pastinya Allah memberikan banyak kelebihan kepada kita kerana kita ditugaskan menjadi khalifah untuk mentadbir alam.

Namun kefahaman yang cetek terhadap potensi menyebabkan anda rasa sukar untuk menyenaraikannya. Fahamilah anda semua bahawa apa sahaja yang positif pada diri anda sebenarnya adalah potensi yang boleh anda bangkitkan menjadi manusia yang hebat di mata orang lain. Jadi apabila anda analisa sesuatu yang positif pada diri anda, saya dapat buat kesimpulan ringkas paling kurang anda boleh menulis sekurang-kurangnya 20 potensi dalam diri anda. Lihatlah 20 aspek positif tersebut dan adakah anda berdiri sebagai seorang pekerja sekarang anda mempunyai kelebihan-kelebihan ini? Anda ada jawapannya!