Menghilangkan Rasa Segan Dan Malu

Pernah perkara-perkara begini berlaku pada anda apabila kali pertama berhadapan dengan orang lain: badan berpeluh, anda tidak tahu apa yang sedang anda cakapkan, lidah kelu bila ingin memulakan bicara dan anda juga mungkin nampak kemerah-merahan di pipi kerana segan.

Rasa segan dan malu ketika kali pertama bertemu sememangnya adalah sifat biasa bagi sesiapa pun. Malu ini jugalah menjadi sebahagian iman dalam jiwa muslim. Tetapi malu juga perlu kena pada tempatnya.

Jika anda bekerja sebagai seorang promoter, pegawai pemasaran, pramugari atau pegawai perhubungan awam atau apa jua kerja anda yang melibatkan anda perlu berkomunikasi dengan orang lain sudah pasti sikap malu dan penyegan ini akan menghalang anda untuk membina hubungan yang baik dengan klien.

Beberapa langkah yang boleh anda praktikkan:

Berhenti memikirkan tentang diri sendiri tetapi fikirkan tentang orang lain

Sampai bila kalau anda asyik menilik kekurangan yang ada pada diri anda! Sedangkan anda setiap hari akan bertemu dengan orang lain, maka jika rasa segan dan malu terus menyelubungi diri anda bagaimana anda akan memulakan kerja anda. Apabila anda ingin bertemu dengan orang lain anda perlu fokus, dengan siapa anda bertemu? apa statusnya? apa jawatannya? apa yang dia suka untuk berbual dengan anda? Jangan hanya memikirkan keadaan diri anda ketika itu kerana itu semua akan membekukan anda untuk memulakan bicara. Perlu berikan perhatian atas apa yang diperkatakan.

Berfikiran secara positif

Sedikit kesukaran untuk mengubah pemikiran menjadi positif apabila anda dalam situasi malu. Tetapi sebenarnya apa yang perlu anda lakukan ialah bayangkan situasi yang baik ketika anda akan bertemu dengan klien anda. Buangkan segala kata-kata atau minda yang cuba menyebut bahawa “saya lemah” atau “saya sebenarnya malu” kerana ini semua akan membunuh keyakinan yang cuba anda bina.

Terima kekurangan dan kritikan

Tidak semua orang akan menyukai anda pada pertemuan petama anda bersama mereka. Itu adalah fakta kehidupan yang perlu anda terima. Jadi andai ada kekurangan dan kritikan dari orang lain anda seharusnya mengambil kritikan itu untuk meningkatkan penampilan dan dan kebolehan anda untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Perbanyakkan aktiviti sosial

Dengan erti kata anda kena perbanyakkan berjumpa kawan-kawan, cuba menyertai aktiviti-aktiviti sihat seperti bersukan atau terlibat dengan NGO atau persatuan kebajikan bagi melatih diri anda untuk terus membiasakan diri bersama orang lain yang baru anda kenali.