Dalam Kenangan..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Apa khabar anda semua? Semoga hari ini perjuangan hidup tetap diteruskan. Dua hari ini saya mendapat dua khabar yang berbeza.
Isnin (11 Rabiulawal) adalah hari lahir saya mengikut kalendar Islam, pada pagi itu pula saya menerima sepucuk surat dari Primework menyatakan kontrak saya sebagai panelis Tanyalah Ustaz bakal bersambung untuk tahun 2011. Ianya berita gembira untuk saya.
Selasa (12 Rabiulawal) adalah hari cuti umum kerana memperingati junjungan mulia Rasulullah yang kita cintai. Namun pada pukul 7.30 pagi semalam saya menerima sms dari bekas rakan sekerja menyatakan sahabat kami Mohd Ikhwan Mohd Jamil terlibat dalam nahas jalan raya pada pukul 1.00 pagi ketika dalam perjalanan ke UIAM untuk mengikuti satu program. Ianya berita sedih dan terkejut bagi saya.
Semalaman masih terfikirkan sahabat yang pernah bersama saya dalam mengendalikan latihan motivasi bersama dahulu. Sepanjang mengenali beliau, tiada yang tidak senang mengenai dirinya. Komited dan bertanggungjawab adalah jati diri yang ingin dicari dari seorang sahabat. Paling terasa bila dia juga merupakan jiran satu seksyen di Bangi.
Sesuatu yang perlu difikirkan bersama, hari ini kita mendengar mereka yang hampir dengan kita meninggal dunia. Rakan baik, ahli keluarga dan juga teman-teman tinggalkan kita.Tetapi entah esok entah lusa mungkin nama kita pula akan disebut orang lain kerana telah meninggal dunia. Jadi berikanlah yang terbaik selagi masih dapat bernafas dan melihat mereka yang tersayang di hadapan mata anda.







