Dah Nak Pencen?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sesetengah mereka yang bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta meletakkan target berakhirnya tanggungjawab sebagai pekerja berakhir di usia pencen. Bahkan ramai yang merasakan bahawa waktu pencen adalah waktu untuk istirehat dan mengambil ruang untuk beribadat.

Pencen atau waktu bersara tidak bermakna anda boleh berehat dan menghabiskan sisa kehidupan dengan santai. Anda mungkin telah melepaskan jawatan di peringkat kerjaya tetapi pengalaman anda amat diperlukan untuk membantu orang lain. Sekali difikirkan wang persaraan yang anda terima bukan sekadar mengingati jasa dan pengorbanan sepanjang tempoh perkhidmatan anda,bahkan sebenarnya ia jua menunjukkan bahawa anda memang diperlukan lagi walaupun telah pencen.

Senario di negara kita dalam perkhidmatan, masih ramai pemimpin muda yang tidak mendapat latihan dan kemahiran yang sewajarnya dalam mengendalikan organisasi. Ilmu dalam bentuk teori mungkin boleh dipelajari dengan cara sambung belajar dalam bidang berkaitan tugasan tetapi pengalaman golongan senior adalah paling mahal untuk diterima sebagai ilmu dan ilham dalam memimpin organisasi.

Lihat sahaja berapa ramai senior yang telah pencen tetapi mereka masih menyumbangkan perkhidmatan dalam bentuk kontrak. Jelas menunjukkan aset penting dalam diri mereka adalah pengalaman dan kredibiliti. Lebih mahal pengalaman tersebut bila ianya dikongsikan untuk golongan junior supaya terus memimpin dan mengurus perubahan organisasi.

2 comments - What do you think?

Aku Pada Usia 29 Tahun

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Semalam adalah hari bersejarah untuk saya memandangkan usia mula masuk 29 tahun. Lagi setahun sebelum masuk 30 :smile: (no paling tak seronok nak sebut tahun depan). Terima kasih pada kawan-kawan yang wish saya di Facebook dan SMS. Tetapi sebenarnya umur adalah satu perjalanan yang menakutkan untuk ditempuh sebenarnya.

Saya tanyakan pada anda, ada apa dengan umur anda? Apa jawapan anda? Namun bagi saya umur adalah sesuatu. Umur adalah emas pada diri anda. Umur 18 tidak akan datang untuk kali kedua. Maka kerana itu saya terfikir umur adalah sesuatu yang perlu anda fikirkan.

Saya bandingkan usia saya pada 4 tahun yang lepas sehingga hari ini:

2007

Baru tamat pengajian formal
Baru dapat kerja di syarikat perundingan motivasi
Impian nak ada konsultan sendiri

2008

Bekerja sebagai Eksekutif Pentadbiran
Baru mula mengasah bakat sebagai trainer
Masih bujang

2009

Bekerja sebagai Eksekutif Kanan
Sudah mahir untuk bercakap di hadapan orang
Tetapi masih kurang kemahiran-kemahiran lain dalam latihan
Mula mempunyai minat dalam pemasaran
Mendirikan rumah tangga

2010

Merancang untuk merealisasikan impian buka konsultan
Mendapat cahaya mata
Menjadi panelis dalam Tanyalah Ustaz@TV9 Di Hatiku
Merancang untuk menulis beberapa buah buku
Berhenti dari bekerja sebagai Eksekutif Kanan

2011

Menjadi perunding utama syarikat Amanina Venture
Menjadi pengasas kaedah “Faham Al-Quran” melalui Muqaddam Amanina
Membina network dalam bisnes dan pemasaran
Mempelajari lebih mendalam dalam pengurusan perniagaan

Jadi anda bagaimana pula?

7 comments - What do you think?

Dunia Kerjaya Anda!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Adakah anda selesa dengan dunia kerjaya anda? Adakah anda passion dengan kerjaya anda? Setiap bentuk kerjaya mempunyai dunianya tersendiri. Di dalam dunia ini, anda berkemungkinan mendapat pengalaman yang pelbagai atau sekadar menikmati pengalaman kerja yang sama setiap hari.

Bagi saya dunia kerjaya adalah sesuatu yang menarik apabila anda mendapat banyak perkara baru di dalamnya seperti peningkatan kemahiran kerja, bertemu ramai pelanggan dan tidak bekerja hanya pada satu tempat. Tetapi kerjaya statik anda hanya akan mendapat pengalaman kemahiran kerja berbanding hal-hal yang lain.

Satu perkara penting yang perlu anda teliti dalam dunia kerjaya anda, adakah anda mampu menyusun segala bentuk kerja anda atau kerja yang mengawal pergerakkan anda? Pernah saya melihat seseorang bekerja sehingga tidak mempunyai masa untuk perkara-perkara lain. Bermula dari masuk pukul 8.30 pagi sehingga berakhir waktu pejabat masih belum mencukupi, dan akhirnya terpaksa mengambil masa rehat pada waktu malam. Bila pulang ke rumah, tidak dapat melakukan perkara lain melainkan terus tidur kerana terlalu.

Jika sekali sekala dunia kerjaya anda menuntut anda untuk bekerja lebih masa adalah perkara biasa. Tetapi jika setiap hari dalam sebulan maknanya anda bermasalah dengan kerjaya anda. Sama ada masalah itu berkaitan dengan pengurusan organisasi atau masalah penyusunan tugasan yang tidak kemas dan terancang.

Jangan terus menerus biarkan anda lemas dalam kerjaya anda. Anda perlu jadi master supaya anda dapat menikmati hebatnya dunia kerjaya. Apabila berada di paras bahaya serta tidak mampu lagi menghadapi dunia tersebut, jangan takut belajar bertukar kerjaya kerana anda bakal mendapat pengalaman baru dan dunia baru.

3 comments - What do you think?

Bermulanya Azam Hari Ini..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tahun baru 2011 yang ditunggu akhirnya tiba juga. Mendengar bedilan bunga api pada malam tadi sedikit sebanyak menghapuskan kesunyian malam. Sehinggakan di Kuala Lumpur pengangkutan awam juga dilanjutkan sehingga ke jam 3.00 pagi sebagai sokongan kepada rakyat Malaysia yang menyambutnya dengan penuh meriah. Tetapi hari ini adakah anda masih dalam mood tahun baru?

Semalam saya pasti ramai yang mencongak masa depan yang bakal ditempuhi. Yang bujang sudah mula mengira jari berapakah jumlah simpanan untuk menamatkan zaman bujang. Yang bekerja pula mula memasang impian untuk naik pangkat dan naik gaji untuk tahun ini. Dan yang berkeluarga juga berfikir apakah perancangan terbaik untuk keluarga pada tahun baru ini.

Jangan biarkan impian anda berakhir semalam! Hari ini adalah hari yang baik untuk melakar pelan tindakan seterusnya agar impian dapat dilaksanakan dengan terancang. Ambil sehelai kertas dan mulakan catatan atau senarai semak yang perlu anda lakukan agar segalanya teratur dan mampu dicapai. Semoga azam anda pada tahun ini akan lebih sukses.

2 comments - What do you think?

Ada Apa Dengan Tahun Baru?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Detik 12 malam ni menjadi rutin tahunan di mana-mana negara untuk menghitung detik berakhirnya tahun 2010 dan bermulanya tahun baru 2011. Pelbagai cara berbentuk hiburan dilakukan untuk menghayati tahun baru ini. Saya terfikir adakah tahun baru disambut hanya untuk perkara hiburan? Ada apa dengan tahun baru?

Mentaliti kita semua apabila masuk tahun baru, berazam untuk melakukan perkara-perkara yang dapat mengubah diri dari sebelumnya kepada lebih baik. Tetapi adakah sekadar berazam? Tidak masuk separuh dari tahun 2011 kita semua kembali kendur dan bosan akhirnya berada di posisi yang lepas tanpa ada peningkatan. Ini kira masih boleh tahan.

Tetapi bagaimana pula jika tahun baru ni tiada azam baru? Adakah bermakna kita semua tiada peningkatan? Bahasa mudahnya saya mengatakan ya kerana azam adalah niat. Jika berniat untuk kebaikan tetapi tidak melakukannya sekurang-kurang individu tersebut telah mendapat pahala di atas niatnya tetapi jika tiada azam selalunya jauh untuk kita melakukannya.

Hitunglah..fikirkanlah setiap tahun umur juga meningkat. Apa kejayaan yang telah anda kecapi? Jika berjaya di dunia adakah akhirat anda akan kecapi? Bila masuk tahun baru banyak sebenarnya yang perlu kita fikirkan. Lebih-lebih lagi anak-anak yang sedang membesar, taraf hidup yang semakin mendesak pastinya banyak perkara dan perancangan yang perlu diteliti.

2 comments - What do you think?

Lakukan Lebih Dari Kemampuan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Jika anda menginginkan sesuatu yang belum pernah anda miliki, anda harus bersedia melakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan - Thomas Jefferson

Besar maknanya jika anda memegang kata-kata ini dan aplikasikan dalam kehidupan anda. Baru semalam Malaysia meraikan kemenangan sulong untuk Piala AFF Suzuki selepas menanti 14 tahun. Apa yang paling menggembirakan ialah membenam kembali musuh tradisi Indonesia dalam dua perlawanan akhir.

Tiada yang mustahil sebenarnya untuk mencapai perkara di luar jangkauan sekiranya menggandakan usaha lebih dari biasa. Kemenangan manis semalam adalah usaha yang dilakukan lebih dari kemampuan. Mana mungkin Malaysia dapat menjulang Piala AFF Suzuki jika hanya berusaha pada kadar biasa.

Usaha tangga kejayaan. Itu adalah kata-kata yang bernas untuk diri. Tetapi yang tersiratnya jika anda berusaha untuk 50% kejayaan maka Allah SWT akan memberikan apa yang anda usahakan sahaja. Apabila mengharapkan sesuatu yang gempak berlaku dalam kehidupan anda maka berusahalah dengan cara yang di luar kebiasaan diri.

2 comments - What do you think?

Try And Error

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda pasti pernah mendengar perkataan ini bukan? Sejak saya bekerja sendiri, saya merasakan istilah ini amat dekat dengan diri saya. Bekerja dengan syarikat sendiri sememangnya memberikan saya waktu penuh untuk mempelajari selok belok dalam perniagaan sama ada membina sistem pengurusan sendiri, kaedah memasarkan produk, membentuk jaringan perniagaan dan juga perkara-perkara yang lain.

Apabila menempuh dunia baru pastinya anda akan berdepan dengan masalah baru dan juga persekitaran kerja yang baru. Anda akan mencuba untuk menyelesaikannya dengan kemampuan anda sendiri. Seronoknya anda mula mendapat pengalaman baru sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak tepat atau tersasar jauh. Namun dari kesilapan akan membentuk pengalaman berharga dalam diri.

Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang anda rasakan betul kerana di situ anda akan menggunakan sepenuhnya kreativiti dan inovasi yang anda ada. Tetapi sekiranya anda tidak berjaya dalam percubaan tersebut anda bersedia menerima risiko dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Sebenarnya jika anda teliti mereka yang berjaya dalam dunia perniagaan semuanya menggunakan kaedah try and error, walaupun gagal untuk banyak kali akhirnya mereka akan menemui cara untuk membina jalan yang berjaya dan unik.

1 comment - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline