Pengalaman Seorang Jurutol

Posted by admin | Posted in Isu Kerjaya | Posted on 16-05-2010

6

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya kongsikan pengalaman seorang jurutol. Semoga kita contohi bersama.

Salam. Saya memang ada pengalaman sebagai jurutol. Walhal saya ada graduan dari IPTA terkemuka. Sebab tak ada kerja, saya setuju jadi jurutol dengan gaji permulaan RM600. Saya setuju bahawa kerja sebagai jurutol memang mudah. Tapi tekanan dari user kadang-kadang menyakitkan hati. Kalau tol mahal, dimarahnya jurutol. Sedangkan bukan jurutol yang tetapkan kadar tol.

Kadang-kadang datang user dalam keadaan marah bertanya “Kenapa tol mahal sangat???” Ikutkan hati nak je jawab, “Dah tahu mahal, kenapa lalu sini??? Cari la jalan tak ada tol”.

Tapi saya tak boleh jawab macam tu sebab kerjaya sebagai jurutol ibarat cerminan kepada syarikat. Nak tak nak terpaksa senyum atau diam saja. Kerja jurutol mental kena selalu bersedia. Pernah ada user membaling duit,  terpaksa kutip macam peminta sedekah. Teringat saya ada user bertanya “Hari-hari mintak duit. Tak ada kerja ker???”. Aduhhh! Sakitnya hati. Tapi terus terang saya tak setuju kalau ada jurutol menggunakan alasan penat yang menyebabkan untuk tidak memberikan ucapan terima kasih mahupun senyuman.

Saya bukanlah seorang bekas jurutol yang baik. Adakala mental saya terusik juga bila user datang memaki hamun dengan bahasa kesat, membaling duit. Tapi saya masih mampu mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih tanpa henti. Sampai terasa kering tekak. Namun ada juga terlepas ucapan dan senyuman pada 3 atau 4 orang user. Bukannya apa, saya cuma fikir hasil dari duit kutipan tol itu lah yang digunakan untuk bayar gaji jurutol. Jadi paling tidak, bersyukurlah dengan ucapan terima kasih.

Tapi itu bukan bermakna user boleh besar kepala bahawa kalau dia orang tak bayar tol maka jurutol tak ada gaji. Sebabnya mereka sudah menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak swasta. Pihak swasta sediakan kemudahan, beli barang bukan dengan daun kering tapi dengan duit. So, kalau dah guna tu, pandai la bayar. Masuk tandas pun kena duit. Lagipun kemudahan lebuhraya ni untuk cepat sampai, jimat masa, jimat minyak. Cuma bayar tol je. Tapi kalau ada tol yang selalu sesak tu, saya no komen la. Mungkin pihak konsesi perlu lakukan sesuatu supaya apa yang user bayar tu berbaloi nilainya.

Kalau nak cerita pasal pengalaman jadi jurutol, sehari semalam pun tak habis. Cuma ini saja yang boleh saya kongsikan. Kini saya tidak lagi bergelar jurutol. Tetapi masih lagi terlibat dalam konsesi lebuhraya di Lembah Klang.

Apa perasaan anda bagi mereka yang memaki hamun dan melemparkan duit kepada jurutol? Berikan komen anda jika anda seorang yang berperikemanusiaan!

Arah Tujuan Lebih Utama

Posted by admin | Posted in Tips Kerjaya Dan Motivasi | Posted on 15-05-2010

6

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kadang-kala jalan yang sedang kamu lalui tidak sepenting arah yang kamu tuju – Kevin Smith
(Sometimes the path you’re on is not as important as the direction you’re heading)

Destinasi adalah arah tujuan yang ingin anda tuju. Berapa jauh pun ia, betapa beronak pun ia, anda tetap akan ke sana. Namun bagaimana anda ingin memulakan perjalanan ke sana adalah berdasarkan kemampuan anda. Jika anda mempunyai jalan pintas ke sana, anda boleh pilih laluan tersebut. Tetapi jika anda hanya mampu melalui jalan yang jauh dan sanggup lambat tiba ke destinasi anda juga memilih jalan tersebut.

Bagaimana cara untuk anda berjaya andalah acuan anda sendiri. Yang penting anda hanya ada satu matlamat untuk tiba ke destinasi dengan selamat dan berjaya.

Menjadi Insan Bermagnet (2)

Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 14-05-2010

0

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bagaimana anda mampu menjadi perhatian orang lain? Mudah untuk saya berikan jawapan tetapi sukar untuk anda melakukannya kerana insan bermagnet mempunyai daya tarikan yang tinggi. Siapa melihatnya pasti tertawan dengan segala aspek keperibadiannya.

Ucapan berpengaruh

Bukan mudah untuk menyampaikan sesuatu dan berjaya mempengaruhi orang lain. Ucapan berpengaruh mampu menarik orang lain berfikir. Ucapan yang baik akan memberikan kesan kepada hati yang mendengarnya. Itulah ucapan yang bermagnet. Anda terpukau bukan kerana ayatnya power sahaja, tetapi keikhlasan dan kebenaran dari apa yang disampaikannya.

Hanya kerana itulah ketika mana Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah terakhir ramai para sahabat gembira sehingga kerana jelas bahawa Islam sudah berkembang. Tetapi dalam kegembiraan itu hanya Umar yang menangis teresak-esak. Lantas sahabat-sahabat lain bertanya kepadanya “Wahai Umar mengapa kamu menangis?” Maka Umar menjawab “Apabila tiba kesempurnaan, akan lahirlah kecacatan. Rasulullah akan meninggalkan dunia yang fana ini.” Para sahabat yang lain mula memahami keadaan itu dan mereka semua menangis.

Jika anda hayati khutbah terakhir Rasulullah anda akan merasakan pengaruh di sebalik ucapan baginda. Mengapa khutbah baginda begitu mengesankan hati para sahabat? Jelas sekali kerana kebenaran dan keikhlasan baginda. Kata-kata seorang insan bermagnet bukan hanya terbit dari bibir tetapi dari hati dan iman. Jika anda ingin membina medan magnet dalam diri anda berkatalah perkara yang benar dengan ikhlas.

Dapatkan khutbah Rasulullah di sini.

Kepuasan Kerja (2)

Posted by admin | Posted in Tips Kerjaya Dan Motivasi | Posted on 13-05-2010

8

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bila menulis sesuatu yang berkait dengan kepuasan kerja pastinya ia terpulang pada objektif individu dalam bekerja. Ada orang puas hati bekerja bila mendapat gaji yang tinggi, ada sebahagiannya pula rasa puas apabila diberikan penghargaan dalam kerja yang dilaksanakan dan pelbagai lagi kepuasan yang diterima.

Pada pandangan peribadi saya, gaji juga perlu sebagai hak kita sebagai pekerja. Tetapi sampai satu masa apabila anda sudah mendapat gaji yang berbaloi tetapi mengapa masih tidak ada kepuasan dalam bekerja? Apa yang anda inginkan lagi? Saya bekerja hampir empat tahun. Pada saya sekarang gaji dan elaun bukan lagi persoalan besar bagi saya. Namun dalam kualiti kerja, saya masih tidak berpuas hati. Mengapa?

Percayalah di samping upah kerja yang menjadi hak anda dalam bekerja, dalam bekerja kita mendambakan pembaharuan dalam kerjaya yang kita ceburi. Pembaharuan gaya kerja akan memberikan semangat dan motivasi kerja yang anda inginkan. Pembaharuan yang saya ingin sebutkan di sini melibatkan anjakan paradigma keseluruhan. Anda mungkin pernah mendengar ‘rebranding’. Pembaharuan adalah rebranding yang akan menaiktaraf segala sudut bidang kerja anda. Inilah yang akan memberikan kepuasan dalam bekerja.

Bayangkan anda bekerja di sesebuah organisasi selama 10 tahun, tetapi potensi anda hanya berkembang 20%. Kecekapan anda, kemahiran, idea-idea baru juga masih di takuk lama pastinya anda tidak akan teruja untuk ke pejabat melakukan tugas-tugas anda. Jadi binalah kerjaya yang mampu memberikan kepuasan kepada anda pada tahap yang maksima. Jangan biarkan potensi diri anda berkembang pada tahap yang rendah!

Jauhi Zon Selesa

Posted by admin | Posted in Tips Kerjaya Dan Motivasi | Posted on 12-05-2010

3

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ketika bermula kehidupan sebagai pekerja, pastinya anda akan mengalami kesukaran untuk mendapat keselesaan bekerja memandangkan ilmu, kemahiran dan profesionalisme anda sebagai pekerja masih di tahap permulaan. Namun bagusnya anda tidak lokek berusaha kerana anda menyedari situasi anda yang memerlukan banyak input-input baru bagi memastikan anda dapat menguasai bidang pekerjaan yang anda ceburi.

Namun apabila tempoh pekerjaan anda mula masuk 2-3 tahun anda sudah berada di alam pekerjaan, anda mula merasakan keselesaan kerana perlahan-perlahan anda mula melangkah menjadi senior, anda juga sudah dapat menguasai tahap kerjaya anda. Perjalanan kerja juga semakin hari semakin pantas. Dan anda mula selesa dengan keadaan ini.

Dari pemerhatian, apabila anda mula masuk ke dalam zon ini, anda mula hilang momentum usaha anda yang dulu. Sebaliknya anda terus dalam graf sama rata setiap hari. Anda tidak berusaha untuk terus mengembangkan potensi diri yang masih banyak tidak diterokai dalam diri anda. Segala tugasan kerja anda sudah mula bertangguh-tangguh atau serahkannya pada orang lain. Jika situasi ini berlaku dalam tempoh yang lama, sedari atau tidak anda hanya menerima upah atas usaha anda yang sederhana itu. Tetapi peningkatan pada diri hanya terhenti setakat itu kerana anda sudah selesa dan tidak mahu membina perubahan untuk lebih maju ke hadapan.

Metodologi Menangani Stres (6)

Posted by admin | Posted in Tips Kerjaya Dan Motivasi | Posted on 11-05-2010

3

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya terbaca satu cara dalam menangani stres menggunakan kaedah IDEAL. Kuasailah kaedah ini mudah-mudahan stres dan tekanan kerja harian makin dapat diselesaikan dengan bijak.

I (Identify the problem) - Kenal pasti masalah yang sedang anda hadapi. Tidak ramai yang mampu memikirkannya. Sebaliknya bila tertekan terus menunjukkan ekspressi akibat tekanan yang diterima. Jadi sudah pasti masalah tetap juga tidak akan selesai.

D (Describe posibble options) - Masalah sudah dikenal pasti, maka teruskan langkah kedua dengan menyenaraikan segala pilihan yang ada untuk menyelesaikan masalah anda tersebut. Senaraikan semuanya.

E (Evaluate consequences of each option – the pro’s and con’s) - Setiap pilihan yang disenaraikan tidak semuanya tepat maka anda perlu menganalisis setiap pilihan tersebut sama ada sesuai atau tidak. Fikirkan baik buruknya juga sebelum anda menetapkan keputusan.

A (Act) – Bertindaklah mengikut pilihan terbaik yang anda ada. Analisis yang telah dilakukan akan memberikan tindakan yang tepat kepada masalah anda.

L – (Learn) - Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Belajarlah dari pengalaman anda terhadap sesuatu masalah. Tidak salah juga jika anda menulis masalah tersebut dan menyimpannya sebagai satu cara untuk membantu anda menghilangkan masalah stres.

Amalan Perubahan Diri (12)

Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 10-05-2010

0

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Belajar memaafkan orang lain sebelum tidur

Meminta maaf kepada orang yang melakukan kesilapan bukan perkara mudah kerana ia melibatkan memecahkan rasa ego dalam diri. Sebab itu tidak ramai orang bersalah tetapi mampu meminta maaf di atas kesilapan dirinya. Hanya kerana ego maaf tidak dituturkan di bibir. Kesalahan diri dianggap perkara kecil yang boleh disembunyikan.

Namun perkara lebih besar dari meminta maaf kepada orang lain, memberi maaf juga melibatkan keegoan dalam diri. Kita yang tidak bersalah belum tentu mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain yang telah dilakukan kepada kita. Oleh kerana itulah ada seorang sahabat Rasulullah s.a.w, baginda telah menyebut-nyebut namanya di hadapan sahabat-sahabat yang lain sebagai ahli syurga.

Hairan para sahabat kerana Rasulullah menyebut namanya sebagai ahli syurga sebanyak tiga kali di hadapan mereka. Maka para sahabat mula menyiasat dan bertanya kepada sahabat tersebut. “Wahai sahabat apakah rahsia yang menyebabkan Rasulullah s.a.w menyebut namamu sebagai ahli syurga?” Maka sahabat tersebut menjawab, “Tiada apa yang istimewa yang saya lakukan dalam hidup saya melainkan saya selalu memaafkan kesalahan orang lain terhadap saya sebelum tidur.”

Meminta maaf atas kesilapan kerana sebagai pengakuan kita bersalah, tetapi orang yang memberi maaf benar-benar menunjukkan anda seorang yang berjiwa besar.

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.