Apa Paling Penting Dalam Bisnes?

Salam sejahtera buat anda semua.

Hari ini saya berkongsi bersama anda tentang satu perkara. Bisnes. Apa halangannya? Sewaktu setahun yang lepas saya melihat untuk memulakan bisnes, perkara paling penting adalah modal. Tanpa modal bagaimana bisnes dapat dijalankan. Dan hari ini saya akui modal bukanlah perkara pertama yang perlu dititikberatkan sekalipun ia perlu.

Idea

Tahukah anda hanya dengan idea anda boleh memulakan bisnes tanpa modal. Idea yang anda ada adalah peluang yang mungkin orang lain tiada. Jadi dari segi nilai idea anda mungkin sudah bernilai beribu-ribu ringgit jika berjaya dilaksanakan. Mudah bukan. Tidak semua orang menggunakan akalnya untuk berfikir dan mengintai peluang di luar sana. Cuma bantu idea anda bagaimana mekanisme untuk melaksanakannya.

Network

Pada saya selepas idea, anda perlu ada jaringan yang luas untuk perniagaan berkembang dengan cepat dan pesat. Jaringan yang besar dan berkualiti akan menambah baik idea anda yang sedia ada dan memberikan peluang lebih besar untuk dikenali. Gunakan jaringan yang anda ada.

Modal

Jadi saya meletakkan modal sebagai elemen ketiga dalam perniagaan kerana dengan idea dan jaringan telah memberikan anda ruang untuk memulakan perniagaan. Bagaimanapun modal juga diperlukan kerana ada sebahagian besar dalam bisnes melibatkan modal sebagai nilai komitmen. Gunakan modal dengan cara yang betul kerana ramai tidak sedar modal perniagaan bukan untuk beli aksesori diri, lebih-lebih lagi jika anda mendapat modal tersebut dari pinjaman.

4 comments - What do you think?

Apabila Anda Terjun Dalam Dunia Bisnes…

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tahukah anda seronok melihat orang lain berjaya dalam perniagaan. Wangnya nilai jutaan. Benarlah rezeki dalam berniaga disebutkan oleh Rasulullah 9/10 rezeki adalah dari bidang perniagaan. Tetapi adakah anda tahu bahawa risiko untuk gagal juga adalah 9/10. Jadi mereka yang berjaya tentunya mereka yang telah memiliki prinsip yang hebat.

Seorang kawan pernah berkata kepada saya bahawa apabila ingin terjun dalam dunia bisnes anda perlu ada empat perkara. Saya terfikir juga dan saya bersetuju kerana ianya berdasarkan pengalaman bukan teori. Jatuh bangun seorang ahli perniagaan adalah asam garam yang menjadi permainan dan ibarat satu perjudian.

Keputusan

Perkara paling penting ialah adakah anda sudah bersedia untuk meletakkan satu tanda aras baru dalam diri anda. Dulu kerja makan gaji anda tidak perlu fikirkan sangat apa inisiatif untuk kehidupan anda kerana cukup bulan akan dapat gaji. Tetapi apabila anda telah membuat keputusan untuk mulakan dunia perniagaan anda pastinya berubah sama sekali. Tidak boleh meletakkan pergantungan pada orang lain. Segalanya anda yang usahakan. Apabila anda nekad dengan keputusan ini bersedialah untuk hadapi ujian dan cabarannya.

Komitmen

Keputusan sahaja belum cukup untuk pastikan anda berjaya. Nekad untuk jadi ahli perniagaan tetapi komitmen anda umpama orang yang kerja makan gaji, hasilnya tidak akan ke mana. Anda perlu usaha 120% setiap masa. Dalam perniagaan segalanya perlu cepat dan pantas. Peluang tidak boleh ditangguh kerana esok pasti akan jadi milik orang lain. Jika tidak mampu ayuh lupakan keputusan anda. Kembalilah kepada kerjaya anda untuk berkhidmat dengan orang lain.

Keyakinan

Komitmen adalah usaha. Keyakinan terhadap usaha akan membuahkan hasil yang baik. Keyakinan juga menjadikan anda mampu bangun sekalipun gagal. Tidak semua ahli perniagaan mempunyai kecenderungan menjadi seorang yang berjaya. Tetapi mereka meletakkan keyakinan pada usaha mereka. Itulah yang tidak mampu dilihat oleh mata orang lain. Apabila anda melihat sesuatu peluang di hadapan mata, sekalipun orang lain melihatnya dengan keadaan berbeza, lakukanlah dengan yakin.

dan Ketabahan..

Akhir sekali yang sangat saya rasa mampu membakar jiwa saya bila disebut tentang ketabahan. Keputusan, komitmen dan keyakinan akan hilang jika tiada ketabahan. Nilai ketabahan sangat besar untuk diertikan di sini. Tapi saya percaya kunci utama mereka yang berjaya adalah kerana K yang keempat ini.

2 comments - What do you think?

Bekerja Ibarat Membuat Rumah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

sekadar gambar hiasan

Sejak saya bekerja sendiri sekarang saya sering berjumpa dengan orang-orang di luar sana yang dapat merangsang jiwa dan minda saya. Sebab itu nilai kerja tidak boleh dinilai hanya pada wang ringgit. “Bekerja ibarat anda sedang membina sebuah rumah, kerana itulah kerja menjadi satu kemuliaan kepada diri anda.” Saya begitu termotivasi apabila ada seorang sahabat yang mengatakannya kepada saya.

Setiap hari anda perlu siapkan rumah anda walaupun sedikit demi sedikit. Bagi anda yang bekerja di bawah orang lain pasti tidak merasakan perasaan seumpama ini. Setiap hari perlu ada usaha yang kental dan gigih untuk menyiapkan rumah untuk anda. Jika anda tidak fokus pasti rumah anda tidak siap dan bagaimana pula anda ingin memberi perlindungan kepada keluarga khususnya.

Bagaimana rumah yang anda kehendaki pasti anda akan berusaha ke arah itu. Rekaannya, binaanya, lokasinya, saiznya, atau aksesorinya adalah anda yang tentukan sepenuhnya. Tetapi bila ditanya pada diri pastinya kita ingin menyiapkan rumah yang terbaik untuk keluarga dan diri sendiri kerana selain dari nilai duit di dalamnya paling penting adalah nilai usaha dan kepercayaan kepada diri sendiri.

Be the first to comment - What do you think?

Berapa Nilai Kerja Yang Anda Lakukan Hari Ini?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa khabar anda hari ini? Agak lama saya membiarkan laman kesayangan ini tanpa pengisian untuk diri dan anda. Ketika saya menulis posting ini saya sedang berada dalam satu program bersama anak-anak kakitangan Bernas di Sarawak. Semasa menaiki flight ke sini saya melihat begitu banyak tanah yang diusahakan, begitu tekun pesawah membanting tulang, begitu gigih juga nelayan menangkap ikan di bawah teriknya mentari. Dan begitu juga anda dan kerja yang anda lakukan seharian? Tahukah anda berapa nilai kerja yang anda lakukan? Dan tahukah anda bagaimana mengira nilai kerja yang anda lakukan?

Jika anda dapat menghitung nilai ini anda akan tahu betapa perlunya anda bekerja. Jika anda menilai RM pada kerja yang anda lakukan hari ini nilainya mungkin RM50, RM100, RM1500 atau mungkin lebih tinggi dari itu. Jika anda bekerja sebagai pengurus bank saya percaya nilainya lebih tinggi dari seorang pekerja kontrak. Tetapi adakah nilai kerja anda hanya setakat itu? Saya pula tidak melihatnya begitu.

Kerja seorang petani yang saya sebutkan tadi mungkin nilainya lebih tinggi dari kerja anda yang memegang jawatan sebagai pengurus bank. Kerana seorang petani telah berbakti pada tanah, menghidupkan banyak tanaman untuk orang lain, tekun membaja dan menjaga tanaman, kemudian menuainya untuk diri sendiri dan orang lain. Jika dihitung nilai ini, kerjanya tidak lagi bernilai dengan RM tetapi sudah menjadi tidak ternilai kerana memberikan kehidupan kepada orang lain.

Begitulah juga dengan kerja anda? Jika duit yang anda hitung nilainya mungkin tinggi tapi masih dapat dihitung dalam kiraan. Namun jika dilihat pada aspek kehidupan nilainya menjadi tinggi dan tidak ternilai. Adakah anda masih bekerja untuk RM atau untuk memberikan harapan atau kehidupan kepada orang lain?

7 comments - What do you think?

Mydin Mentor 100 Kedai Runcit

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Posting sebelum ini saya ada menulis tentang tranformasi peruncit yang menceritakan usaha kerajaan dalam menaiktaraf golongan peruncit dalam membina keuntungan dengan lebih tinggi dan lumayan. Antara yang terlibat dalam usaha ini ialah Mydin, Carrefour dan Tesco yang bertindak sebagai mentor kepada peruncit-peruncit yang terpilih.

Kesannya sangat positif apabila Mydin mula melatih 100 peruncit untuk membina perniagaa mereka. “Dua kedai di Melaka (yang sudah ditranformasikan) dalam tempoh dua hari sudah meningkat jualan lebih 30 peratus,” katanya kepada Bernama di sini. Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan sehari ke negeri ini, sempat meluangkan masa melawat dua kedai kedai runcit Mydin berkenaan di bandar baru Merlimau yang terlibat dalam program itu.

“Sejak transformasi dua hari lepas perniagaan saya meningkat asalnya antara RM1,700 dan RM1,800 sehari sekarang sudah mencapai antara RM2,300 dan RM2,500 sehari. Saya macam tidak percaya Perdana Menteri sudi datang kedai saya dan beliau berkata sangat puas hati tengok transformasi yang dilakukan di kedai ini,” katanya. (Sumber: Berita Harian)

Sebenarnya program seumpama ini sudah lama dilaksanakan kerana dalam perniagaan tiada ilmu yang lebih baik melainkan pengalaman. Pembelajaran formal pun hanya menyumbang sedikit sahaja kepada pembangunan perniagaan. Mydin yang telah mempunyai 50 cawangan di seluruh negara pastinya pengalaman dalam membina empayar perniagaan seperti mereka bukan sedikit, jadi ianya adalah kurikulum yang baik untuk peruncit dalam membina hasil perniagaan yang lebih lumayan.

http://www.motivasi-kerja.com/info-kerjaya/tranformasi-peruncit

4 comments - What do you think?

Energi Bertambah Bila Berinteraksi Dengan Orang Lain

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa khabar anda semua? Panjang sedikit tajuk entri hari ini. Sejak Sabtu yang lepas sehingga semalam boleh dikatakan setiap hari saya berjumpa klien serta menghadiri meeting berkaitan bisnes dan juga hal-hal yang lain. Dan hari ini saya mula merasakan energi saya semakin bertambah.

Saya kini memahami mengapa orang yang mempunyai hubungan sosial yang baik lebih sihat, lebih berenergi untuk melakukan sesuatu. Mereka sebenarnya mendapat banyak energi dari interaksi dan komunikasi dengan individu yang mereka jumpa. Walaupun hanya sekadar bertemu untuk pamerkan senyuman atau hanya berborak kosong sebenarnya interaksi tersebut adalah proses pemindahan energi.

Lebih-lebih lagi jika anda bertemu dengan mereka yang mempunyai kredibiliti tertentu, kemahiran tertentu, jawatan tinggi dan dihormati pastinya anda akan dapat merasakan energi positif berpindah masuk dalam diri anda. Rangsangan positif berlaku kerana anda mula berfikir untuk menjadi seperti mereka. Melihat perwatakan mereka yang senang berbicara, personaliti yang segak dan anggun, idea yang bernas, cara penyampaian yang meyakinkan pastinya sedikit sebanyak akan membantu anda untuk menjadi seperti mereka.

Jadi jika hari ini anda rasa lemah dan tidak bermaya, atau malas nak berfikir jangan terus laksanakan kerja anda. Ambil sedikit masa untuk jumpa rakan sekeliling atau orang yang anda hormati untuk mendapatkan energi mereka supaya masuk ke dalam diri anda. :smile:

10 comments - What do you think?

Hargailah Pekerja Anda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bagaimana anda sebagai majikan perlu menghargai pekerja anda? Banyak berlaku pada hari ini majikan hanya mengaut keuntungan berganda-ganda tetapi kebajikan dan hak pekerja tidak diendahkan. Mengapa begitu? Sedarilah bahawa keberkatan anda sebagai majikan terletak bagaimana anda menjaga dan menghargai pekerja anda.

Membayar gaji tepat pada masa

Saya memetik satu hadis: “Berikanlah kepada pekerja upahnya sebelum kering keringatnya.” (HR Ibnu Majah)

Jelas sekali bahawa memberikan gaji sebelum keringatnya kering sebagai satu perumpamaan dan kiasan bahawa membayar gaji kepada pekerja tidak boleh dilewat-lewatkan. Bahkan jika prestasi kerja meningkat majikan wajar memberikan bonus atau bayaran tambahan yang setimpal dengan apa yang diusahakan oleh pekerjanya.

Sebagai majikan perlu menyedari hakikat ini sedalam-dalamnya agar anda tidak menganiayai orang lain yang berusaha dengan penuh ikhlas dan komitmen. Berjanji untuk memberikan ganjaran tertentu juga mesti dilaksanakan kerana itu semua dianggap satu perkara yang besar di dalam hati seorang pekerja.

Namun jika anda sebagai majikan mungkin mengalami situasi yang tidak terjangka dalam bisnes atau organisasi, budi bicara sebagai majikan ialah perlu berbincang dengan pekerja tentang masalah kewangan syarikat serta masalah yang melibatkan gaji mereka. Menipu dan berjanji itu dan ini tidak akan membantu pekerja memberikan sangkaan baik pada anda. Percayalah! Berkomunikasilah dengan baik agar pekerja anda memahami bersama masalah yang dihadapi.

Be the first to comment - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline