Perancangan Menghadapi Ramadhan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Selalunya perancangan tahun baru adalah perkara utama yang dititikberatkan oleh kita semua. Bermulanya kalendar tahun baru bermakna banyak perancangan sepanjang tahun yang ditulis pada diary atau planner. Bagus kerana merancang pengisian tahunan dengan perkara-perkara yang penting.

Tetapi sepatutnya kita juga boleh menggunakan cara yang sama untuk mengisi aktiviti di bulan Ramadhan ini. Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan hanya sebulan. Sudah pasti jika tidak dirancang, pengisian Ramadhan anda mungkin sama sahaja atau mungkin juga lebih buruk dari tahun sebelumnya.

Rasulullah bersabda:

“Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satupun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satupun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.” (HR Tirmizi)

Mengapa Allah SWT membuka pintu syurga jika tidak ingin melihat kita merancang sebaik mungkin ibadah dalam bulan Ramadhan ini. Lakukanlah ibadah dengan terancang supaya tidak rasa terbeban dengan kesihatan dan juga mudah-mudahan dapat merasakan manisnya ibadah. Dan paling penting ketika anda terfikir untuk perancangan ibadah Ramadah anda, Allah telah pun memberikan pahala di atas niat yang baik ini.