Percaya Pada Kebolehan Diri

trust yourself

Sebelum anda meneruskan bacaan posting ini hingga ke akhirnya saya minta anda untuk mengambil sehelai kertas putih. Sekarang saya berikan dua minit untuk anda senaraikan 10 kekurangan atau sikap-sikap negatif dalam diri anda.

….

Bagaimana? Sudah siap menulis 10 kekurangan diri yang saya minta. Senang bukan! Dalam masa dua minit anda sudah boleh menulis kekurangan-kekurangan dalam diri anda. Tetapi sekarang sekali lagi saya minta anda melakukan cara yang sama tetapi kali ini saya minta anda menulis 10 kelebihan diri anda dalam masa dua minit.

….

Bagaimana? Saya pasti anda tidak dapat menyenaraikan 10 kelebihan diri seperti yang saya minta. Sememangnya sifat manusia begitu. Kita selalu melihat diri sendiri dari sudut yang negatif semata-mata. Kebiasaan melihat diri dari sudut negatif menjadikan anda menutup kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT kepada diri anda. Anda jadi tidak percayakan diri sendiri. Tidak yakin dengan kebolehan yang ada dalam diri sendiri.

Bagaimana anda inginkan sebuah kejayaan dalam hidup anda jika anda masih tercari-cari kebolehan dalam diri anda. Amat rugilah jika sepanjang kehidupan anda, kebolehan itu tidak pernah digunakan walaupun sekali.

Setiap orang pasti diberikan anugerah berharga iaitu bakat dan kebolehan yang tersendiri. Cuma bagaimana anda mengenali kelebihan dalam diri anda. Jika anda sudah mengenal pasti kelebihan itu, percayalah bahawa anda mampu berjaya dengan kelebihan dan bakat yang dianugerahkan Allah itu. Tetapi bakat dalam diri ada yang diberikan secara istimewa oleh Allah SWT. Bermakna anda sangat beruntung kerana anugerah itu tidak perlukan latihan.

Tetapi ada juga kelebihan dan bakat yang memerlukan latihan demi latihan sebagai langkah untuk menggilap kelebihan dalam diri. Andai anda percaya pada diri anda, anda sudah boleh merancang bagaima yang perlu anda ketengahkannya. Semoga anda berjaya dan yakin diri anda boleh melakukannya.