Selamat Hari Guru

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Hari bahagia buat mereka yang membina kerjaya sebagai warga pendidik pada hari ini kerana 16 Mei setiap tahun adalah hari untuk mengingati warga pendidik yang kita panggil guru. Tahniah kepada semua guru! Tidak semua insan di dunia ini cekal untuk memberikan ilmu kepada orang lain dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Bagi anda yang telah lama menjawat kawatan guru mungkin bahagianya pada hari ini anda menerima ucapan Selamat Hari Guru dari anak-anak murid yang telah pun berada di posisi yang berbeza dari dulu bahkan mungkin lebih berjaya dari karier seorang guru.

Teruskan perjuangan dalam mendidik anak bangsa dengan ikhlas. Panjatkan doa dalam setiap episod pengajaran kepada murid-murid, pelajar-pelajar, siswa-siswi agar mereka bukan sahaja menjadi pelajar celik minda tetapi celik akhlak dan juga celik spiritual kepada Allah SWT.

Di kesempatan ini saya ingin mengalungkan jutaan terima kasih kepada insan-insan ini kerana telah memberikan ilmu dan tunjuk ajar sepanjang hidup saya. Tanpa seorang guru mana mungkin saya boleh berada di tahap ini. Harapan saya jadilah seorang pendidik bukan hanya seorang pengajar di sekolah. Guru adalah ibu bapa kedua dan pada anda yang masih belajar hormatilah dan sayangilah guru kerana keberkatan ilmu hanya ada apabila anda menghormati mereka.