Stres Kerana Tidak Dapat Menguasai Bidang Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Emel dari Eja

Salam. Sebagai pekerja baru yang belum sampai 3 bulan, saya hadapi banyak perubahan dalam cara kerja. Sedikit sebanyak ianya mendatangkan rasa stres. Ini ditambah lagi saya mengendalikan kerja bahagian pengurusan secara bersendirian. Orang lama yang sepatutnya memberi training telah berhenti. Kerja yang dihand over hanya separuh jalan dan yang selebihnya saya perlu belajar sendiri. Tidak di nafikan banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh saya perolehi di tempat kerja sekarang. Namun kadang kala saya rasa wujud perasaan tidak tahan terhadap kerja tersebut. Kerja yang diberikan overload. Hinggakan saya terpaksa menyambung kerja saya di rumah pada waktu malam atau hari minggu. Saya kerap pulang lewat hingga tidak dapat memasak untuk suami pada waktu malam seperti selalu saya lakukan semasa bekerja di tempat lama (faktor berhenti tempat lama – jarak tempat kerja dgn rumah yg jauh). Kerja- kerja harian di rumah selalu tergendala. Sekiranya saya berhenti kerja, saya tidak dapat membantu meringankan beban suami menanggung keluarga. Oleh itu saya perlu bekerja. Jalan pemyelesaian mungkin memberi sedikit masa untuk saya menyesuaikan diri dengan kerja atau mencari peluang pekerjaan yg lain. :cwy:

Respon saya:

Terima kasih kepada Pn. Eja kerana menulis sedikit pengalaman kerja puan untuk dikongsikan di sini. Sebenarnya bukan puan sahaja yang mengalami situasi sebegini. Tiga bulan bukan satu tempoh yang lama. Puan baru sahaja mula mengenali dunia kerja. Dan sudah tentu banyak sekali pembaharuan dan pengalaman yang puan sedang hadapi sekarang.

Tidak dapat menguasai bidang kerja dengan baik pastinya akan memberikan masalah kepada diri untuk melaksanakan tugas dengan pantas dan tepat kerana puan mempunyai keterbatasan itu. Masalah kerja yang sedikit pastinya akan menjadikannya lebih besar lebih-lebih lagi ia melibatkan bahagian pengurusan. Oleh kerana itulah puan terpaksa membawa pulang kerja-kerja pejabat ke rumah dan juga terpaksa bekerja lebih masa hanya kerana hilangnya faktor kemahiran kerja.

Namun puan tidak perlu risau dan berfikit untuk terus berhenti dari kerja tersebut. Tiga bulan adalah terlalu awal untuk puan mengalah. Jadikan sedikit cabaran pada diri puan. Tanpa cabaran latihan kendiri tidak akan meningkat, keyakinan diri puan juga akan tetap pada tahap yang sama. Berikan sedikit kesabaran pada cabaran ini dan puan cuba lakukan tip-tip di bawah ini:

  • Sekalipun puan bekerja tanpa mentor di pejabat, itu bukanlah alasan yang besar. Masih ramai orang lain yang dapat berikan bantuan pada puan. Paling penting puan perlu ramai kawan. Seperti apa yang puan lakukan sekarang menulis masalah ini di blog saya bermakna puan juga sedang mencari penyelesaian masalah ini dan saya sedia membantu sekadar termampu.
  • Puan juga boleh membeli buku-buku yang berkaitan dengan bidang kerja. Terus terang saya katakan di kedai-kedai buku sekarang banyak sekali buku-buku yang memberikan kemahiran kerja dalam bidang pengurusan secara spesifik. Jadikan buku-buku ini sebagai rujukan. Puan akan dapat menyelesaikan masalah puan secara perlahan-lahan.
  • Paling penting sebagai pekerja baru puan perlu menyusun kerja puan dengan tepat kerana itu semua akan membantu mengurangkan puan bekerja lebih masa. Susun ikut keutamaan yang mana perlu disiapkan dulu pada hari tersebut.
  • Jangan terus memberikan tanggapan buruk pada kerja puan kerana itu semua akan menjatuhkan motivasi kerja puan. Semakin puan asyik memikirkan masalah puan tidak akan dapat menyelesaikannya, sebaliknya cuba fikirkan cara untuk menyelesaikannya sekarang. Senaraikan apa yang boleh diselesaikan.
  • Insya Allah sebagai seorang isteri atau mungkin juga bakal ibu, saya dapat rasakan keikhlasan puan akan memberikan pemahaman kepada suami puan. Jadi jangan tunjuk puan lemah sebagai seorang isteri yang mempunyai kesabaran yang tinggi.
  • Catatkan setiap masalah yang berlaku ketika puan melaksanakan kerja puan, kerana itu semua akan menjadi mentor puan berdasarkan pengalaman. Itulah menjadikan puan lebih cekap dalam bekerja.
  • Dan jika perlu cari kursus-kursus bidang kerja yang berkaitan untuk meningkatkan kemahiran puan.