4 ‘Be’ Latihan Untuk Bercakap

Sebelum anda membaca sepenuhnya artikel ini, seeloknya anda cuba membaca posting saya yang lepas berkenaan topik ini. Adakah bercakap di khalayak masih menjadi sebahagian ketakutan anda? Jangan bimbang dan jangan putus asa untuk terus berusaha. Bercakap di khalayak adalah satu kemahiran yang tidak akan berjaya dengan sekali percubaan. Ia memerlukan percubaan yang berkali-kali sehingga anda mahir.
Beberapa perkara penting juga perlu diberikan perhatian apabila anda ingin bercakap di hadapan orang lain. Tidak kiralah sama ada anda bercakap sebagai seorang penceramah, seorang pembentang kertas kerja, seorang pengajar atau sebagainya.
Be Prepared
Jika anda ingin bercakap di hadapan khalayak pastikan anda sentiasa bersedia. Ambil semangat dari kata-kata Abraham Lincoln yang sangat berpengaruh, “If I have 8 hours to chop down a tree, I would spent the first 6 hours sharpen my axe.” Bermakna persediaan amat penting sebelum anda bercakap di hadapan orang lain. Pastikan semuanya persediaan bukan sekadar 50% atau 90%, tetapi anda perlu bersedia 120% supaya keyakinan dalam diri anda tidak mudah luntur ketika anda bercakap di hadapan audien anda. Dan cara terbaik untuk itu ialah teruskan latihan demi latihan. Ingat bahawa ‘practise makes perfect’.
Be early
Tunjukkan diri anda di tempat anda akan menyampaikan kata-kata anda lebih awal. Seeloknya sejam lebih awal. Datang awal akan dapat membantu anda untuk melihat keadaan tempat tersebut dan juga melihat situasi yang berlaku. Sedikit sebanyak anda boleh terus meransang diri dan keyakinan anda untuk melakukan yang tebaik ketika anda bercakap di hadapan audien nanti. Perhatikan keadaan di tempat itu dan juga pentas yang menjadi tempat anda bercakap. Andai ada kekurangan yang mungkin berlaku ketika itu anda boleh terus memperbaikinya sebelum anda mula bercakap.
Be friendly
Ketika anda bercakap di hadapan audien anda, jangan malu dan kaku untuk berinteraksi dengan mereka. Bertanyalah kepada mereka dan jadilah seorang yang peramah dan mudah tersenyuk di hadapan mereka. Tanpa anda sedari dengan cara demikian anda mula digemari dan diminati oleh audien anda. Apabila mereka mula meminati anda, setiap kata-kata anda sudah pasti akan diberikan perhatian dan tumpuan. Tidak sukar bukan?
Be honest
Tidak dapat tidak percakapan dan kata-kata anda biarlah dari hati anda. Kata-kata yang datang dari hati sudah tentu juga akan sampai ke hati. Bercakaplah sesuatu yang benar-benar anda fahami. Andai anda mula menyelami hati dan emosi audien anda pastikan bahawa perasaan itu bukan dibuat-buat kerana audien yang mendengarnya akan dapat menilai sejauh mana kejujuran anda menuturkan kata-kata tersebut.
Jadi teruskan latihan anda. Selamat mencuba!
